Ucapan Aidiladha pertama Dr Faishal selaku Pemangku Menteri Ehwal Masyarakat Islam, seru perpaduan dan semangat pengorbanan
Dalam ucapan Hari Raya Aidiladha pertamanya sebagai Pemangku Menteri yang Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim menyeru masyarakat Melayu/Islam untuk bersatu hati dan melangkah bersama ke arah masa depan yang lebih gemilang.
Ucapan itu disampaikan menerusi satu klip video yang dimuat naik ke laman Facebook beliau pada Jumaat (6 Jun) menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha esok.
KOMITMEN UNTUK MENDAMPINGI DAN MEMPERKASA MASYARAKAT
Dr Faishal menegaskan komitmennya untuk terus mendampingi masyarakat Melayu/Islam, memahami keperluan dan aspirasi mereka, serta menjadi suara mereka dalam usaha memperkukuh visi Masyarakat Gemilang.
“Sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura yang baru dilantik, saya sangat-sangat bersyukur atas kepercayaan dan amanah besar yang anda berikan kepada saya,”kata Dr Faishal.
“Saya berazam untuk mendekati anda, memahami aspirasi dan keprihatinan anda, dan menjadi suara anda supaya kita dapat sama-sama melangkah maju ke hadapan memperkukuh visi Masyarakat Gemilang kita. Inilah iltizam saya dan pasukan saya kepada anda, masyarakat kita demi Singapura," kata beliau.
AIDILADHA LAMBANG PENGORBANAN, KEIKHLASAN DAN KESYUKURAN
Dr Faishal turut mengajak masyarakat untuk menghayati makna sebenar Hari Raya Aidiladha sebagai satu peringatan tentang nilai-nilai murni yang membentuk asas kehidupan beragama dan bermasyarakat.
“Hari Raya Aidiladha mengingatkan kita tentang nilai-nilai murni seperti pengorbanan, keikhlasan dan kesyukuran,” ujarnya.
Dr Faishal juga menghargai kemurahan hati masyarakat yang bukan sahaja membantu golongan memerlukan di dalam dan luar negara.
"Alhamdulillah tahun ini, persiapan menyambut Aidiladha berjalan dengan lancar di merata Singapura. Saya bangga, usaha-usaha pelbagai pihak seperti badan-badan Melayu/Islam dan masjid-masjid kita melalui SalamSG Korban mendapat sokongan padu daripada anda semua.
"Ramai di kalangan anda begitu murah hati, menghadiahkan daging korban kepada insan-insan yang ditimpa bencana di seluruh dunia termasuk penduduk Palestin yang terjejas akibat krisis kemanusiaan di Gaza. Di Singapura, para penerima zakat dan keluarga yang memerlukan tidak dilupakan. Terima kasih kepada anda semua termasuk para sukarelawan atas kerja keras dan sumbangan anda untuk memastikan syiar Islam terus terpelihara di sini," ujarnya.

Dr Faishal turut melahirkan rasa syukur apabila semua jemaah haji dari Singapura dilaporkan selamat menjalani kemuncak ibadah di Arafah dan telah menyambut Hari Raya di Tanah Suci.
“Saya gembira dimaklumkan bahawa semua jemaah Haji kita selamat berwukuf di Arafah semalam, iaitu kemuncak Haji. Saya doakan agar mereka terus sihat supaya dapat menyempurnakan ibadah Haji mereka,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru seluruh masyarakat Islam di Singapura untuk terus berganding bahu bersama beliau dan pasukannya dalam membina masa depan yang lebih cemerlang untuk semua.
“Bak aur dengan tebing, ayuh kita bersatu hati, dan melangkah bersama untuk mencorak masa depan yang lebih cerah. Kepada semua umat Islam, Selamat Hari Raya Aidiladha. Maaf Zahir Batin,” kata Dr Faishal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.