Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ubat 'Panadol Cough and Cold' kehabisan ekoran permintaan tinggi dan isu rantaian bekalan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Adakah anda mendapati sukar untuk mendapatkan beberapa jenis ubat untuk merawat demam, batuk dan selsema seperti ubat 'Panadol Cough and Cold' kebelakangan ini?

Tinjauan BERITAmediacorp di beberapa farmasi, pasar raya, kedai serbaneka dan kedai runcit seperti Cold Storage, NTUC Fairprice, 7-Eleven, Watsons dan Guardian mendapati beberapa jenis ubat dari jenama popular seperti Panadol dan Decolgnen kehabisan stok.

Walau bagaimanapun, masih terdapat sejumlah kecil Panadol biasa dan Panadol Extra tetapi 'Panadol Panadol Cough & Cold' yang khusus digunakan untuk melegakan simptom yang disebabkan oleh demam atau selesema sudah kehabisan sejak beberapa minggu lalu.
Gambar: Farmasi Guardian
RAMAI RAWAT COVID SENDIRI DI RUMAH

Seorang jurucakap Guardian memberitahu BERITAmediacorp bahawa "Kekurangan Panadol di seluruh negara adalah disebabkan oleh peningkatan permintaan global kerana lebih ramai pesakit COVID-19 yang mengubati diri sendiri. Selain itu, terdapat peningkatan kes demam, batuk dan selesema baru-baru ini."

Menurutnya, rangkaian farmasi itu akan terus memantau keadaan dan bekerjasama rapat dengan syarikat pembekal untuk memastikan bekalan produk itu stabil dan mencukupi.

Kekurangan bekalan beberapa jenis ubat itu seperti 'Panadol Cough and Cold' juga pernah berlaku pada awal tahun ini
Gambar: Farmasi Watsons

Ini apabila kes COVID-19 tempatan meningkat lagi pada tiga bulan pertama tahun ini akibat gelombang Omicron.

Walau bagaimanapun, bekalan kembali pulih pada pertengahan bulan Mac.

HALEON TINGKATKAN PENGELUARAN PANADOL

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, syarikat pengeluar ubat-ubatan Panadol iaitu Haleon berkata: "Kami sedang menghasilkan jumlah rekod Panadol di kilang-kilang kami, menambah kapasiti bekalan dengan ketara dan bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk membawa masuk lebih banyak bahan mentah yang baru.

Ia menarik perhatian bahawa "sejak beberapa tahun kebelakangan ini, permintaan terhadap produk kesihatan pengguna untuk mengawal simptom demam dan selesema, seperti Panadol (pada kadar sebegini) tidak pernah berlaku sebelum ini dan tidak dapat diramalkan."
Gambar: Farmasi Watsons
Keadaan diburukkan lagi dengan cabaran yang dihadapi merentasi semua rantaian bekalan global sehingga menjadikan pengguna sukar untuk mendapatkan jenis Panadol yang mereka inginkan.

Rangkaian farmasi Guardian pula menjangkakan bekalan Decolgen dan Panadol akan "pulih dan stabil" menjelang akhir bulan ini.

Sementara itu stok ubat demam dan selesema jenama Guardian serta jenama lain masih boleh diperolehi di semua 115 cawangannya.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/NA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan