Skip to main content

Singapura

Ubat darah tinggi ditarik balik HSA: Lebih separuh pesakit tukar ke ubat alternatif

Kementerian Kesihatan (MOH) sudah membantu lebih separuh daripada pesakit yang terjejas oleh langkah menarik balik tiga jenama ubat-ubatan tekanan darah tinggi, untuk bertukar kepada ubat lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Ubat darah tinggi ditarik balik HSA: Lebih separuh pesakit tukar ke ubat alternatif

(Gambar: Penguasa Sains Kesihatan)

Diterbitkan : 08 May 2019 01:38PM Dikemas Kini : 08 May 2019 01:45PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) sudah membantu lebih separuh daripada pesakit yang terjejas oleh langkah menarik balik tiga jenama ubat-ubatan tekanan darah tinggi, untuk bertukar kepada ubat lain, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Lam Pin Min di Parlimen pada Rabu (8 Mei).

Produk-produk terjejas, iaitu pil-pil 50mg dan 100mg jenama Losartas, Losagen and Hyperten, ditarik balik pada 28 Mac kerana mengandungi bahan-bahan melebihi paras yang diterima dan mungkin menimbulkan risiko kesihatan.

Sekitar 137,000 pesakit di Singapura menggunakan tiga jenama ubat losartan yang ditarik balik itu, menurut MOH.

Bagi kesemua pesakit yang dijadual berjumpa doktor pada atau selepas 1 Julai, institusi-institusi jagaan kesihatan awam sudah pun menghubungi mereka untuk mengaturkan tarikh lebih awal bertemu doktor.

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyatakan, beberapa jenis ubat-ubatan di luar negara telah ditarik balik sejak akhir Februari kerana mengandungi sejenis bahan nitrosamine, N-nitro-N-metil-4-asid aminobutirik (NMBA).

HSA menguji kesemua produk losartan yang dijual di pasaran tempatan bagi bahan NMBA. Setakat bulan Mac, HSA mendapati ketiga-tiga jenama losartan mengandungi NMBA pada paras yang boleh diterima.

Tujuh lagi jenama ubat losartan yang dipasarkan di Singapura tidak terjejas oleh bahan NMBA.

"Memandangkan risiko jangka pendek mengambil ubat itu adalah rendah, nasihat yang diberikan kepada para pesakit terjejas adalah untuk terus memakan ubat mereka sehingga mendapat ubatan alternatif," kata Encik Lam.

"Penghentian pemakanan ubat secara serta-merta boleh meningkatkan risiko kesihatan dengan lebih segera pada pesakit."

Dr Lam menambah: "Institusi-institusi jagaan kesihatan awam kemudian mengatur temu janji dengan para pesakit yang terjejas untuk bertukar kepada ubat alternatif."

"Institusi-institusi itu turut mengerahkan kakitangan tambahan untuk mengendalikan hotline bagi pertanyaan pesakit dan menubuhkan pusat-pusat perkhidmatan untuk membantu mereka menukar ubat. Tindakan demikian menjangkaui langkah-langkah yang dilaksanakan kebanyakan negara lain."

Sejak HSA melaksanakan langkah menarik balik itu, pihaknya telah bekerjasama dengan pembekal-pembekal dan agensi-agensi kawal selia antarabangsa untuk menentukan punca pencemaran dan menghasilkan langkah-langkah untuk menghapuskan bahan nitrosamine dalam jangka pertengahan hingga panjang," kata Dr Lam.

"HSA akan terus memantau mutu dan keselamatan ubat-ubatan demi melindungi kesihatan awam." 

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita