Turki, SG antara negara enggan berpeluk tubuh di tengah ketidaktentuan global: Menteri Luar Turki
Turki dan Singapura merupakan antara “segelintir negara yang bijaksana dan bertanggungjawab” yang enggan berpeluk tubuh menerima takdir di tengah-tengah aturan dunia yang semakin rapuh, sebaliknya memilih untuk mempergiat diplomasi dan kerjasama serantau, kata Menteri Luar Turki Hakan Fidan.
Menteri Luar Turki Hakan Fidan menyampaikan ceramah semasa IISS Raffles Lecture pada 2 Jun 2026. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
“Dalam hal ini, Turki dan Singapura berkongsi naluri yang sama,” kata Encik Fidan, yang menyampaikan ceramah anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) di Hotel Raffles, Singapura pada Selasa (2 Jun).
Beliau berkata dunia kini sedang melalui satu detik bersejarah yang jarang berlaku, “di mana hampir setiap garis pemisah dalam sistem antarabangsa bergerak secara serentak”.
“Kita sedang menyaksikan apa yang dirasakan seperti pergolakan geopolitik selama beberapa dekad yang dipadatkan dalam tempoh beberapa tahun,” kat beliau.
Aturan antarabangsa ketika ini tidak lagi menyerupai “satu gugusan yang tetap”, dan keadaan itu membawa “kesan yang mendalam” terhadap diplomasi dan tadbir urus negara moden.
Menteri itu turut menarik perhatian bahawa “garis pemisah tradisional” antara diplomasi dan peperangan, ekonomi dan keselamatan, serta dasar dalam negeri dan luar negara “semakin kabur secara ketara”.
“Ini mencerminkan realiti baharu yang didorong oleh peningkatan konflik hibrid, keterhubungan meluas dan penggunaan kebergantungan bersama sebagai senjata. Jadi, bagaimana para pelaku utama dunia bertindak balas terhadap perubahan berterusan dan semua cabaran ini?
“Institusi global semakin lumpuh, dan ramai pihak masih mendekati dunia yang sedang berubah dengan andaian yang lapuk. Mereka masih tidak sanggup atau tidak mampu keluar daripada zon selesa yang sekian lama membolehkan mereka beroperasi secara automatik; mungkin mereka sedang menunggu kestabilan muncul semula dalam bentuk yang mereka kenali,” kata Encik Fidan.
Menteri itu berkata pandangan sedemikian bukanlah satu bentuk tindakan yang “berhati-hati”, sebaliknya merupakan “pelepasan tanggungjawab untuk bertindak”.
Menarik perhatian kepada Singapura, Encik Fidan merujuk kepada kepercayaan Perdana Menteri pengasas Lee Kuan Yew bahawa “dunia tidak berhutang apa-apa kepada kita”, sebagai falsafah yang seiring dengan pandangan strategik Turki.
“Bagaimanakah seseorang dapat membina kestabilan dalam era ketidaktentuan yang berpanjangan? Jawapan kami berasaskan dua tonggak. Yang pertama ialah penggunaan diplomasi secara berdisiplin dengan keupayaan bertindak secara strategik,” kata beliau.
Tonggak kedua pula ialah apa yang beliau sifatkan sebagai “pemilikan serantau”, dengan berhujah bahawa rangka kerja serantau kini semakin berkesan berbanding institusi global dalam menangani cabaran moden.
Menyorot pengaruh Asia yang semakin meningkat, Encik Fidan merujuk kepada Persatuan Negar-Negara Asia Tenggara (ASEAN) sebagai sebuah model yang berjaya dalam membina konsensus dan kerjasama serantau dalam dunia yang semakin berpecah-belah.
Ceramah itu merupakan sebahagian daripada siri yang dikenali sebagai IISS Raffles Lectures, yang menampilkan para pemimpin dunia yang membincangkan perkembangan di rantau Asia Pasifik. Antara tokoh yang pernah menyampaikan syarahan sebelum ini termasuk Menteri Luar Jerman dan Finland, Johann Wadephul dan Elina Valtonen.
IISS juga dikenali sebagai penganjur sidang pertahanan serantau tahunan, Dialog Shangri-La.
Selepas menyampaikan ucapan selama 15 minit pada lewat Selasa, Encik Fidan menjawab soalan daripada para hadirin, termasuk seorang peserta yang bertanya mengenai “andaian lapuk” yang masih digunakan sesetengah negara, merujuk kepada ucapan beliau sebelum itu.
Encik Fidan berkata beliau merujuk kepada negara-negara yang “gemar melihat dunia seperti keadaannya dahulu”, ketika dunia dikuasai oleh “kuasa hegemoni”.
“Saya rasa kita tahu bahawa persekitaran strategik seperti itu malangnya sudah tiada, atau hampir lenyap, maka kita perlu menghasilkan penilaian dan penyelesaian kita sendiri bagi masalah-masalah ini yang memerlukan tahap pemilikan terhadap masalah tersebut,” kata Encik Fidan.
“Ini kerana Amerika Syarikat sudah memberitahu dengan sangat jelas bahawa sistem antarabangsa semasa dan dasar luar yang diikuti negara itu selama beberapa dekad tidak lagi berfungsi untuk memenuhi kepentingan Amerika Syarikat, maka mereka sedang menilai semula dan membentuk semula perspektif strategik mereka,” tambah beliau.
PERJANJIAN GENCATAN SENJATA AS-IRAN TIDAK SEMESTINYA MEMIHAK KEPADA KEPENTINGAN ISRAEL: FIDAN
Encik Fidan turut ditanya mengenai konflik yang sedang berlangsung di Timur Tengah, di mana beliau menyatakan keyakinan bahawa Amerika Syarikat dan Iran “ikhlas” dalam usaha mencapai perjanjian gencatan senjata.
Pada 28 Februari, Amerika Syarikat dan Israel melancarkan gelombang serangan ke atas bandar-bandar di Iran, dengan Iran bertindak balas menerusi serangan peluru berpandu ke atas Israel serta beberapa sekutu Amerika Syarikat di Teluk yang menempatkan pangkalan tentera Amerika.
Iran kemudian turut menyekat laluan perkapalan di Selat Hormuz.
“Kedua-dua pihak berada di bawah tekanan untuk membuka semula Selat Hormuz. Mereka mempunyai sebab yang berbeza, tetapi keinginan dan matlamatnya sama. Jadi, itu mendorong mereka untuk benar-benar mencapai satu perjanjian,” kata Encik Fidan pada Selasa.
Bagaimanapun, menteri itu berpendapat bahawa sekutu Amerika Syarikat, Israel, “tidak semestinya melihat manfaat” dalam perjanjian gencatan senjata tersebut, sambil merujuk kepada perbualan telefon antara pegawai Iran dengan rakan sejawatan mereka dari Turki mengenai pergerakan tentera Israel di Lubnan, yang menurutnya sudah mencapai tahap yang “tidak boleh diterima”.
“Apa yang dilakukan Israel di Lubnan jelas melanggar pemahaman kita, jadi kita boleh menjangkakan perkara sedemikian daripada pemerintah Netanyahu,” tambah beliau, merujuk kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Turki merupakan antara pengkritik lantang operasi ketenteraan Israel di Gaza, selain tindakannya di Lubnan dan Iran.
Presiden Recep Tayyip Erdoğan sebelum ini pernah mengecam keras tindakan ketenteraan Israel terhadap Iran dengan berhujah bahawa ia berisiko menyeret seluruh Timur Tengah ke dalam kancah perang serantau yang lebih luas dan berpotensi menyebabkan kemusnahan. Turki berkongsi sempadan darat sepanjang 560 kilometer dengan Iran.
Presiden Amerik Syarikat Donald Trump pada Isnin berkata rundingan dengan Iran sedang berlangsung pada “kadar yang pantas”, meskipun Tehran mengancam untuk meluaskan perang dengan meneruskan penutupan Selat Hormuz serta mengaktifkan titik-titik tekanan lain di seluruh rantau tersebut.
Pada Selasa, agensi berita Mehr melaporkan bahawa Tehran sedang meneliti perjanjian yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat tetapi masih belum memberi maklum balas terhadap teks akhir yang dicadangkan bagi perjanjian sementara itu, dan mengambil pendekatan yang “tegas” memandangkan apa yang dianggapnya sebagai sejarah ketidakpatuhan Amerika Syarikat dan ketidakpercayaan yang berpanjangan.
Beberapa minggu rundingan tidak langsung antara Amerika Syarikat dengan Iran, ancaman dan serangan udara gagal menamatkan perang atau membuka semula Selat Hormuz, laluan perkapalan utama bagi eksport minyak dan gas dari Teluk.
Pertukaran serangan semalaman terbaharu antara Amerika Syarikat dengan Iran berlaku serentak dengan peluasan serangan darat Israel di Lubnan, dengan Encik Netanyahu berikrar untuk mara lebih jauh ke dalam negara itu serta mengarahkan tenteranya untuk menyerang “sasaran-sasaran pengganas” di pinggir selatan Beirut.
Pada Selasa, Encik Fidan turut ditanya mengenai rancangan Turki untuk mewujudkan laluan alternatif bagi mengelakkan pergerakan barangan melalui Selat Hormuz.
Pada April, media Turki melaporkan bahawa Ankara sudah membangunkan lima laluan alternatif bagi bekalan minyak dan gas - termasuk koridor darat dan laut yang merentasi Iraq, Syria, koridor Suez-Laut Merah serta Oman.
Encik Fidan mengakui bahawa beliau sedang mengadakan perbincangan “dengan beberapa negara yang terlibat” dan merujuk kepada pilihan laluan melalui Syria, selain laluan kereta api antara Turki dengan Arab Saudi.
“Kami telah mula mengusahakan setiap projek berpotensi yang tersedia bagi membolehkan keterhubungan ini. Kami telah mempelajari banyak pengajaran (daripada penutupan Selat Hormuz),” kata Encik Fidan.
BAGAIMANA TURKI BERHASRAT PERLUAS KERJASAMA DENGAN ASEAN & SG
Dalam ucapannya, Encik Fidan turut menyifatkan ASEAN sebagai “rakan yang amat penting” yang boleh bekerjasama lebih rapat dengan Turki bagi memajukan mobiliti global, sambil menyatakan harapan agar kerjasama dengan blok serantau itu dapat dinaik taraf kepada status rakan dialog dalam masa terdekat.
“Kerjasama kami dengan ASEAN mencerminkan visi kami yang lebih luas terhadap Asia. Sebagai sebuah negara yang mempunyai akar dari segi sejarah yang mendalam di Asia, kami terikat dengan benua ini melalui hubungan sejarah yang berkekalan, ikatan strategik dan matlamat yang dikongsi bersama,” kata beliau.
Encik Fidan merujuk kepada “Inisiatif Asia Anew” Turki yang dilancarkan pada 2019, yang menurutnya bertujuan memberikan “dimensi strategik kepada hubungan yang sudah mempunyai asas sejarah yang kukuh".
Beliau berkata pelibatan Turki dengan Asia merangkumi pelbagai bidang, daripada dialog politik hingga kerjasama ekonomi dan teknologi, yang berteraskan nilai “saling menghormati” dan hubungan institusi.
Ini termasuk mekanisme tetap yang merangkumi majlis kerjasama strategik peringkat tinggi hingga jawatankuasa ekonomi dan perdagangan bersama, tambah Encik Fidan.
Bidang kerjasama yang berpotensi termasuk ekonomi digital, teknologi sempadan, peralihan hijau, kerjasama industri pertahanan serta usaha bersama untuk mengekalkan aturan antarabangsa yang terbuka dan berasaskan peraturan, kata Encik Fidan.
“Pada masa hadapan, Turki dan Singapura mempunyai segala sebab untuk bekerjasama dalam membentuk apa yang bakal menyusul,” kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.