Skip to main content

Singapura

Tuntutan terhadap institusi kewangan capai paras rekod angkara kes penipuan

Anggaran Waktu Membaca:
Tuntutan terhadap institusi kewangan capai paras rekod angkara kes penipuan

Pusat Huraian Pertikaian Industri Kewangan mengendalikan pertikaian bagi pengguna, perniagaan kecil dan badan amal. (Gambar: CNA/Abigail Ng)

Diterbitkan : 24 Sep 2025 06:44PM Dikemas Kini : 24 Sep 2025 07:00PM
SINGAPURA: Jumlah tuntutan yang dibuat terhadap institusi kewangan melonjak hampir 200 peratus dari 2021 hingga 2025, terutamanya dipacu oleh tuntutan berkaitan penipuan, menurut data dari pusat huraian pertikaian.

Pusat Huraian Pertikaian Industri Kewangan (FIDReC) mengendalikan jumlah rekod sebanyak 2,646 tuntutan dalam tahun kewangan 2024/2025, yang berakhir pada 30 Jun.

Terdapat lebih 3,000 laporan termasuk kes yang dihuraikan secara langsung antara pengguna dan institusi kewangan, dan kes yang dilaporkan kepada FIDReC tetapi di luar bidang kuasanya, kata ketua pegawai eksekutif Eunice Chua semasa sidang media pada Rabu (24 Sep).

Dalam tahun kewangan 2021/2022, pusat tersebut mengendalikan kurang daripada 1,000 kes.

Dilancarkan pada 2005, FIDReC adalah syarikat bukan untung yang menghuraikan pertikaian kewangan untuk pengguna, perniagaan kecil dan badan amal melalui pengantaraan dan penghakiman.

Ia bertujuan untuk menjadi bebas dan tidak berat sebelah, serta beroperasi secara bebas daripada pemerintah, institusi kewangan dan badan pengguna.

Pertikaian biasanya dihuraikan tanpa pelibatan peguam luar.

"Jumlah tahun ini mencapai paras tertinggi yang tidak pernah dilihat sejak krisis kewangan global 2008," menurut FIDReC dalam kenyataannya.

Dalam tahun kewangan tersebut, pusat itu mengendalikan 2,257 tuntutan.

Selepas keadaan stabil, purata jumlah tuntutan setiap tahun kewangan adalah 964 selama kira-kira 10 tahun, sehingga peningkatan terkini disebabkan oleh kes penipuan.

Namun, FIDReC menjangkakan bahawa ia akan terus meningkat di tengah-tengah perbankan digital dan transaksi online yang semakin meluas.

Pembayaran insurans dan pelaburan sebelum ini menjadi punca utama pertikaian, namun penipuan membentuk 49 peratus tuntutan dari Julai 2024 hingga Jun 2025.

Jenayah terancang rentas negara dan pemindahan segera adalah antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan itu, menurut FIDReC.

Kes-kes yang sering diterima oleh pusat itu melibatkan maklumat peribadi yang dikompromi dan penipuan penyamaran.

Pautan kad ke dompet digital juga semakin membimbangkan, di mana mangsa mungkin terlepas pemberitahuan awal dan hanya mengetahui tentang pembelian menerusi dompet digital yang melibatkan penipuan itu kemudian, tambahnya.

FIDReC menyatakan bahawa ia secara konsisten menghuraikan sekurang-kurangnya 85 peratus aduan yang diterima dalam tempoh enam bulan.

Kebanyakannya diselesaikan pada peringkat pengantaraan.

Dalam kes-kes yang diteruskan ke peringkat penghakiman, institusi kewangan biasanya dapat mempertahankan diri.

Pelanggan yang melaporkan kes mereka dengan segera dan bekerjasama dengan siasatan bank atau polis juga mungkin mempunyai peluang kejayaan yang lebih tinggi.

RANGKA KERJA DIPIMPIN PEMERINTAH "TERHAD"

Rangka Kerja Tanggungjawab Bersama Singapura juga mempunyai batasan, kerana ia hanya meliputi kes penipuan yang melibatkan laman web palsu, manakala transaksi yang dibenarkan dan penipuan dari kad ke dompet tidak dilindungi, menurut FIDReC.

Garis panduan tersebut memberi tumpuan kepada kewajipan pengguna, institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi dalam mengurangkan risiko transaksi yang kelihatan seperti dibenarkan (authorised).

Ia juga menjelaskan peruntukan tanggungjawab atas kerugian yang timbul daripada transaksi sedemikian.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) mengumumkan bahawa rangka kerja tersebut akan berkuat kuasa pada Disember 2024.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita