Skip to main content

Singapura

Tunas Bersama M³ beri peluang kepada karyawan Melayu/Islam asah kemahiran kepimpinan, sumbang dengan kepakaran yang ada

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bagi meluaskan lagi jangkauan dengan golongan karyawan Melayu/Islam, kohort kedua bagi program Tunas Bersama M³ kali ini melibatkan peserta bukan sahaja dari badan-badan Melayu/Islam bahkan pengerusi-pengerusi M³@Bandar dan pemimpin daripada Rangkaian Karyawan MENDAKI.

Antara karyawan yang harap dapat dilatih untuk ang meraih manfaat kali ini ialah Ketua Rangkaian Karyawan MENDAKI bagi Guaman, Ahmad Firdaus Daud, 42 tahun.

Ketua Rangkaian Karyawan MENDAKI bagi Guaman, Encik Ahmad Firdaus Daud (kanan) (Gambar: MENDAKI)

Menurutnya, ini selaras dengan matlamat M³ untuk mengajak masyarakat untuk tampil ke hadapan sebagai sukarelawan dan pemimpin muda untuk berganding bahu bagi menangani cabaran semasa.

"Kami 23 peserta bukan sahaja dapat memperolehi pengetahuan dan kemahiran yang penting, malah kami dapat peluang untuk membina rangkaian yang luas dan yang kukuh yang membolehkan kami dengan berkesan lagi di masyarakat," kongsi Encik Firdaus kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Kita peserta-peserta juga dapat melakukan projek-projek bersama. Jadi kita bergabung untuk melakukan projek dan ini menjadi peluang untuk mengaplikasikan apa yang kita pelajari kepada realiti," tambah beliau.

Dalam ucapan perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi Masyarakat Islam, Menteri Negara Kanan Zaqy Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi MENDAKI berkata bahawa program tersebut antara usaha untuk mencapai visi MENDAKI iaitu untuk menarik karyawan Melayu/Islam yang berjaya untuk melahirkan pemimpin masyarakat dan industri masa depan.

Kohort kedua itu mula menjalani program itu pada Jun 2024 dan dijangka akan menamatkannya pada Disember 2025.

MAHU GALAK LEBIH RAMAI PENUNTUT CEBURI BIDANG UNDANG-UNDANG

Ketua Rangkaian Karyawan MENDAKI bagi Guaman, Ahmad Firdaus Daud. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Bagi Encik Firdaus sendiri, program itu membolehkan peserta mendalami beberapa aspek kepimpinan termasuk Tadbir Urus, Pengumpulan Dana dan Komunikasi Awam dan Pengurusan Perubahan.

Ia selain mempelajari daripada pemimpin masyarakat yang berpengalaman menerusi sesi bimbingan dan perkongsian ilmu.

Lantaran itu, program itu antara lain membantu Encik Firdaus dalam tugasnya sebagai Ketua Rangkaian Karyawan Guaman MENDAKI.

Ini termasuk mengajak dan menanamkan minat lebih ramai penuntut Melayu untuk menceburi bidang undang-undang.

"Tumpuan kami bukan sahaja untuk membina rangkaian karyawan untuk peguam kerana itu memang ada. Malah, kami ingin menumpukan perhatian kepada isu yang lebih penting bagi kami. Kami melihat dalam satu kohort, peguam baharu hanya lima peratus sahaja yang datang daripada masyarakat Melayu/Islam," jelas Encik Firdaus yang juga merupakan Peguam Kanan dan Ketua Pasukan Undang-undang Asia Pasifik, Avaya.

"Kami mengadakan sebuah sesi untuk berjumpa dengan pelajar-pelajar muda yang mungkin ada keinginan untuk menceburi bidang undang-undang. Kami menggunakan peluang itu untuk mengenal pasti apakah yang menghalang mereka daripada mencuba. Ada yang kurang keyakinan, dan ada yang mungkin kurang tahu tentang perjalanan untuk mendaftar dan sebagainya. Jadi kita menggunakan sesi itu untuk dapat mengenal pasti, dan mereka juga dapat berjumpa dengan peguam-peguam yang berpengalaman dan dari situ kita dapat mengenal pasti apa yang menghalang mereka supaya kita dapat meningkatkan lagi daripada lima peratus kepada harap-harap 13 peratus daripada kohort peguam ini, yang datang daripada masyarakat Melayu/Islam kita," tambahnya.

Selain komited untuk memimpin rangkaian karyawannya itu, Encik Firdaus berharap dapat terus menyumbang kepada masyarakat Melayu/Islam menerusi badan-badan masyarakat lain.

"Niat saya untuk menyumbang kembali. Dalam beberapa tahun itu, saya memang ada beberapa cabaran kewangan dan dari itu, kita memerlukan pertolongan daripada MENDAKI Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) dan sumbangan daripada keluarga dan kawan-kawan. Dari situ, saya sudah rasa terhutang budi kepada orang lain dan saya rasa ingin menyumbang kembali kepada sesiapa yang memerlukan. Jadi yang penting ialah bukan di mana tetapi saya ingin terus menyumbang kepada masyarakat, insya-Allah," ujar Encik Firdaus.

BUKA MINDA KEPADA PANDANGAN LEBIH PELBAGAI

Penolong Ketua Rangkaian Karyawan MENDAKI bagi Sains Hayat, Dr Erlyani Abdul Hamid. (Gambar: MENDAKI)

Semangat menyumbang kembali ini juga mendorong seorang lagi karyawan iaitu Dr Erlyani Abdul Hamid, 39 tahun untuk turut gembleng tenaga membantu masyarakat menerusi usaha-usaha MENDAKI.

Beliau juga merupakan Penolong Ketua Rangkaian Karyawan MENDAKI bagi Sains Hayat.

Sepanjang menjalani program Tunas Bersama M³, Dr Erlyani mendapati bahawa ia telah membuka mindanya kepada pandangan yang lebih pelbagai.

Ini kerana diberikan peluang untuk bertemu dengan para pemimpin masyarakat daripada pelbagai badan masyarakat.

"Kandungan program ini merangkumi topik-topik seperti cara memimpin badan masyarakat dan juga elemen strategik untuk kami memajukan badan masyarakat yang kami mewakili," kongsi Dr Erlyani kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Saya dapat lebih memahami apakah masalah yang mereka mengalami, apakah visi yang mereka inginkan untuk masyarakat. Jadi perbincangan yang kami ada sangat membuka minda saya," tambah beliau.

INGIN GALAK BELIAU TERUTAMA WANITA CEBURI BIDANG SAINS HAYAT

Penolong Ketua Rangkaian Karyawan MENDAKI bagi Sains Hayat, Dr Erlyani Abdul Hamid. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Malah, program itu juga turut membantu Dr Erlyani dalam tugas beliau dalam industri Kesihatan Awam.

"Saya bermula kerjaya saya sebagai seorang saintis. Kemudian saya memasuki sektor korporat. Melalui program ini, saya dapat mempelajari cara-cara untuk menghimpunkan masyarakat. Ini sangat penting untuk sektor Kesihatan Global supaya kami dapat menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan tabiat gaya hidup sihat dan juga mendapatkan vaksin supaya penyakit tidak merebak," ujar Dr Erlyani.

Tahun lalu, Dr Erlyani diberi peluang oleh Yayasan Gates untuk menghadiri satu persidangan Kesihatan Awam dalam Kepimpinan Wanita di Tanzania.

Daripada pengalaman itu, beliau dapat melihat bagaimana wanita dari seluruh dunia berkumpul untuk saling membantu dan memikirkan strategi sambil berkongsi nasihat daripada pemimpin wanita yang berpengalaman bagaimana mereka dapat melakarkan perjalanan dalam kerjaya mereka.

Pengalaman itu memberinya inspirasi untuk melakukan sesuatu bagi kenalan dan rakan kerja beliau di Singapura.

Kini, dengan pengalaman yang diraih menerusi program Tunas Bersama M³, ia dapat membantunya melakukan demikian dengan lebih baik lagi dan beliau berkongsi rancangannya untuk menyumbang kepada masyarakat selepas tamat program itu.

"Sebagai Penolong Ketua Rangkaian Karyawan Sains Hayat, saya ingin menggalakkan belia menceburi kerjaya dalam sektor Sains Hayat dan terutama sekali untuk para wanita, saya ingin memberikan motivasi supaya mereka dapat menceburi kerjaya yang bermakna sambil mengimbangi komitmen lain seperti keluarga dan anak-anak," jelas Dr Erlyani.

"Secara peribadi, saya ingin menolong para wanita untuk 'break barriers' atau menembusi halangan jadi mereka boleh maju dalam kerjaya mereka," tambahnya.

Peserta kohort kedua Tunas Bersama M³. (Gambar: MENDAKI)

Senarai penuh peserta kohort kedua Tunas Bersama M³:

1. Naib Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Nur Khairah Abdul Rahim

2. Presiden Perdaus, Muhammad Hafiz Noorahman

3. Naib Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Ishlaahuddin Jumat

4. Mantan Naib Presiden Terkini Kelab MENDAKI, Nadia Yeo

5. Timbalan Setiausaha Agong Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS), Nur Hazimah Abdul Halim

6. Naib Presiden IM.PROF, Dr Raj Kamal S/O Abdul Rasheed

7. Setiausaha Kehormat PERGAS, Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid

8. Timbalan Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Syed Faisal Syed Ismail

9. Pengerusi M³@Pasir Ris-Punggol, Azuan Tan

10. Pengarah Eksekutif 4PM, Didicazli Cindy Ismail

11. Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid di Masjid Hang Jebat, Sugyanto Suryono

12. Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid di Masjid Omar Kampong Melaka, Syed Abdullah Aljunied

13. Bendahari Kehormat Dewan perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Shamir Wahid

14. Ketua Sumber Manusia Rangkaian Karyawan MENDAKI, Khairilanwar Baharudin

15. Ketua Sektor Awam Rangkaian MENDAKI, COL Muhammad Helmi Khaswan

16. Penolong Ketua Sektor Awam Rangkaian Karyawan MENDAKI, Faridah Mohd Saad

17. Ketua Perundangan Rangkaian Karyawan MENDAKI, Ahmad Firdaus Daud

18. Penolong Ketua Perundangan Rangkaian Karyawan MENDAKI, Imran Rahim

19. Penolong Ketua Teknologi Karyawan Rangkaian MENDAKI, Satria Sadon

20. Penolong Ketua Sains Hayat Rangkaian Karyawan MENDAKI, Dr Erlyani Abdul Hamid

21. Penolong Ketua Kejuruteraan Rangkaian Karyawan MENDAKI, Firdaus Hamzah

22. Penolong Ketua Perbankan dan Kewangan Rangkaian Karyawan MENDAKI, Asyraf Salman

23. Penolong Ketua Pendidikan Awal Kanak-kanak Rangkaian Karyawan MENDAKI, Noretta Jacob

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita