Skip to main content

Singapura

Tumpahan minyak: Pelanggaran kapal bukan kerana kesesakan di pelabuhan, kata Menteri Pengangkutan

Anggaran Waktu Membaca:
Tumpahan minyak: Pelanggaran kapal bukan kerana kesesakan di pelabuhan, kata Menteri Pengangkutan

(Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 18 Jun 2024 11:44PM Dikemas Kini : 22 Jun 2024 10:20AM
SINGAPURA: Pelanggaran antara kapal pengorek dengan kapal tangki yang menyebabkan tumpahan minyak bukan disebabkan oleh kesesakan di pelabuhan, jelas Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat pada Selasa (18 Jun).

Kapal dari Belanda Vox Maxima melanggar kapal tangki berbendera Singapura Marine Honour, yang tidak bergerak di Terminal Pasir Panjang pada 14 Jun, sekali gus menyebakan minyak dari tangki kargo itu mengalir ke laut.

Limpahan minyak itu merebak ke beberapa pantai, termasuk Taman East Coast dan Sentosa.

Dalam catatan di Facebook pada Selasa, Encik Chee berkata beberapa anggota masyarakat bertanya sama ada insiden itu disebabkan kesesakan di perairan pelabuhan Singapura.

"Siasatan masih dijalankan, tetapi dapatan awal menunjukkan bahawa pelanggaran pada 14 Jun disebabkan oleh kapal pengorek yang tiba-tiba hilang kawalan enjin dan stereng kapal.

Pada 31 Mei, Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) menyatakan bahawa Singapura menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah ketibaan kapal sejak awal tahun ini.

Dalam empat bulan pertama 2024 sahaja, jumlah tan purata bulanan bagi kapal kargo yang tiba di Singapura mencecah 72.4 juta tan iaitu kenaikan lebih 1 juta tan kasar setiap bulan, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sambil memberikan garis masa insiden tersebut, Encik Chee berkata kapal pengorek itu melanggar kapal tangki tersebut pada 2.18 petang.

Pihak berkuasa dimaklumkan pada 2.22 petang, dan MPA memberi respons sebelum 2.33 petang bagi memastikan tiada lagi kebocoran berlaku di kapal tangki itu, yang masih mempunyai 400 tan metrik minyak dalam tangkinya.

Bot peronda MPA menyembur bahan kimia untuk memecahkan minyak di permukaan air.

"Ia langkah penting untuk mencegah minyak itu daripada mengeras, yang kemudian akan menjadikan operasi membersihkan minyak di laut dan darat lebih sukar lagi," jelas Encik Chee.

Pasukan kontraktor MPA juga memasang pelampung penyerap minyak di sekeliling kapal untuk mencegah lebih banyak limpahan minyak yang mungkin masih mengalir dari kapal itu.

"Walaupun pelampung pembendung itu boleh membantu mengurangkan limpahan itu daripada merebak, ia mungkin tidak sepenuhnya menghalang minyak daripada merebak kerana sebahagian minyak boleh dibawa oleh arus pasang surut dan ombak, dan berada di atas atau di bawah pelampung”, kata Encik Chee.

Beliau juga menambah bahawa MPA akan mengambil masa untuk menyelesaikan siasatan penuh dan "membersihkan limpahan minyak secara progresif".

"Kami memohon pemahaman orang ramai dan perniagaan yang terjejas oleh insiden itu. Kami akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan operasi pembersihan itu secepat mungkin," tulisnya di Facebook.

Beliau juga berkata MPA akan terus bekerjasama dengan agensi pemerintah,rakan industri, relawan dan negara jiran untuk memantau dengan teliti situasi itu dan "mengambil tindakan yang perlu".
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita