Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tuminah Sapawi jadi CEO PPIS berkuat kuasa 1 Julai

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MENDAKI, Tuminah Sapawi, sekali lagi dilantik menjadi CEO.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Jun 2019 05:26PM Dikemas Kini : 30 Jun 2019 09:48PM

SINGAPURA: Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MENDAKI, Tuminah Sapawi, sekali lagi dilantik menjadi CEO.

Namun kali ini bagi memimpin Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) pula dan pelantikannya berkuat kuasa esok, 1 Julai.

PPIS mendedahkan demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas pelantikan tersebut, Presiden PPIS Rahayu Mohamad menyatakan, Cik Tuminah dipilih setelah badan itu menjalankan proses "pencarian yang menyeluruh".

Presiden PPIS Rahayu Mohamad.

Presiden PPIS Rahayu Mohamad. (Gambar: PPIS)

"Kami gembira mendapatkan seorang yang paling sesuai untuk mengambil alih tampuk kepimpinan (PPIS). Cik Tuminah bukan sahaja seorang tokoh yang begitu dihormati, malah adalah seorang yang sudah biasa dengan PPIS dan masyarakat," menurut Cik Rahayu dalam kenyataan badan tersebut.

"Dengan pengalaman beliau yang luas bekerja dengan masyarakat - kedua-dua dalam sektor privet dan awam - beliau membawa bersamanya kekuatan-kekuatan untuk menganjakkan badan ini ke tahap selanjutnya. PPIS yakin bahawa beliau mampu memperjuangkan visi dan misi kami iaitu Inspirasi Wanita, Memperkukuh Keluarga."

Mengulas pelantikannya pula selaku CEO terbaru PPIS, Cik Tuminah menyifatkan jawatan itu sebagai kerjaya yang semula jadi bagi beliau:

"Saya percaya lebih banyak lagi perlu dilakukan untuk masyarakat. Saya berbesar hati dilantik sebagai CEO seterusnya bagi PPIS.

"Ini bukan sahaja satu penghormatan untuk menyertai sebuah badan yang didorong oleh perjuangan-perjuangan bermakna, malah juga satu peluang baik yang sebarang pemimpin akan alu-alukan, dan saya ghairah tentang tugas-tugas penting yang menanti saya."

PENGALAMAN TUMINAH SAPAWI DALAM MASYARAKAT

Memulakan kerjaya sebagai seorang wartawan dan kemudian mengasaskan majalah keluarga MANJA bersama Mediacorp, Cik Tuminah mempunyai pendedahan meluas kepada masyarakat sejak lebih 30 tahun lalu.

Pada 2008 beliau menyertai Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF). Selaku Penolong Pengarah Kanan, beliau menyelia dasar-dasar dan program-program yang fokus kepada pengukuhan keluarga serta kumpulan-kumpulan berisiko dalam masyarakat. Ini termasuklah membangunkan kurikulum bagi kursus-kursus persiapan rumah tangga.

Selama lima tahun bersama MSF, beliau juga membantu melakar dua program masyarakat yang dikendalikan PPIS, iaitu INSPIRASI Hub yang memperkukuh perkahwinan muda, dan Vista Sakinah yang menawarkan program pengayaan dan pembangunan untuk pasangan yang berkahwin lagi.

Beliau kemudian dipinjamkan ke Yayasan MENDAKI pada November 2013 dan menjadi CEOnya selama tiga tahun.

Semasa di MENDAKI Cik Tuminah antara lain melaksanakan semakan pendidikan dan menubuhkan pusat-pusat satelit di masjid-masjid, selain merintis inisiatif Raikan Ilmu yang menggalak budaya menimba ilmu dari muda serta pembelajaran sepanjang hayat.

Setelah meninggalkan MENDAKI, beliau menyertai pula Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada 2017 dan menjadi Ketua Program Masyarakat di mana beliau menyelia program antara kementerian bagi keluarga-keluarga berisiko. Cik Tuminah juga menyelia Sekretariat M³.

Lantaran itulah PPIS menyifatkan Cik Tuminah sebagai pilihan "semula jadi" untuk menjadi CEOnya yang terbaru. 

Sumber : BERITA Mediacorp/DY/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan