Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tular di media sosial, Ground Floor Coffee buat beberapa penyesuaian agar patuhi peraturan bagi HBB

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Setiap perniagaan dari rumah (HBB) perlu mengikut undang-undang yang ditetapkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). 

Salah satu perniagaan HBB, Ground Floor Coffee menjadi tular di media sosial baru-baru ini kerana konsepnya yang unik. 

Ia juga menarik perhatian pihak berkuasa yang perlu memperbetulkan beberapa aspek perniagaan tersebut. 

UNIK! JUAL KOPI DARI TINGKAP RUMAH 

Lain daripada yang lain. Mengambil pesanan air kopi bukan daripada pintu rumah tetapi menerusi tingkap bilik. 

Itulah keunikan yang disajikan kepada para pelanggan bagi perniagaan dari rumah, Ground Floor Coffee yang terletak di Pasir Ris.  

Bermula hanya sebagai hobi dan minat membuat 'eksperimen' dengan pelbagai jenis biji kopi yang dibelinya, Encik Muhammad Adhwa Hasif Johari, 30 tahun mengambil langkah berani untuk memulakan perniagaannya sendiri. 

Beliau juga menceritakan bagaimana ilham tercetus bagi konsep unik perniagaannya itu.  

"Selalunya HBB lain, cara mereka melayan pelanggan adalah letak barangan di pagar pintu atau meninggalkan di dalam kotak di luar rumah. Kita nak ubah cara berinteraksi antara para pelanggan dan pemilik perniagaan." 

"Ia adalah satu perubahan kecil tetapi orang tidak pernah terfikir nak buka tingkap. Kita pada mulanya agak was-was sebab privasi kita tetapi ia juga akan menarik perhatian mereka yang lalu-lalang mereka akan terfikir kenapa mereka buka tingkap dan orang ambil barang bukan?" tambah Encik Hasif. 

Buat sekarang ini, Ground Floor Coffee menjual sekitar enam jenis minuman kopi serendah S$4 secawan dan beroperasi hanya pada hujung minggu sahaja. 

TULAR DI MEDIA SOSIAL, TURUT TARIK PERHATIAN PIHAK BERKUASA...  

Bukan sahaja menarik perhatian jiran tetangganya, konsep unik perniagaan Encik Hasif juga tular di media sosial, terutamanya di TikTok dan Instagram. 

Dalam masa dua bulan sahaja, jumlah pengikut akaun Instagram Ground Floor Coffee sudah melebihi 11 ribu pengguna. 

Encik Hasif juga mengatakan bahawa jumlah pesanan yang diterimanya boleh mencecah sehingga 50 setiap hari. 

Semasa memulakan Ground Floor Coffee, Encik Hasif tidak menjangkakan akan mendapat sambutan luar biasa. 

Encik Hasif berkata: "Kita mulakannya sebagai satu hobi, bukan satu perniagaan. Kita sebenarnya inginkan jiran tetangga sahaja sebagai pelanggan tetapi sekarang sudah ada para pelanggan dari Jurong, Sengkang yang datang. " 

Namun, ia turut mendapat perhatian pihak berkuasa. 

Pada awal bulan lalu, rumah Encik Hasif dikunjungi para pegawai Agensi Makanan Singapura (SFA). 

Encik Hasif berkata: "Apabila Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menghantar para pegawai SFA, mereka melihat bagaimana perniagaan ini dijalankan dan mereka menyatakan bahagian mana yang tidak patut kita lakukan, mana yang boleh, mana yang tidak." 

APA YANG SALAH SEHINGGA DITEGUR PIHAK BERKUASA?

Meskipun tiada niat mahu meniru konsep seperti sebuah kafe, beberapa ciri perniagaannya itu dilihat seakan-akan dengan konsep tersebut. 

Encik Hasif menjelaskan: "Pada mulanya kita membuat 'setup' di halaman rumah utama. Kita pun dahulu menerima pesanan 'walk in'. Kita adakan menu dengan harga air kopi kita."

"Ramai orang datang dan berkerumun di luar dan ia menimbulkan rasa tidak selesa jiran-jiran di atas," tambah ayah dua orang anak itu. 

Lantaran itulah, pihak berkuasa datang untuk memaklumkan Encik Hasif beberapa perubahan yang perlu dilakukannya. 

"Pertama yang mereka nasihatkan kita adalah tentang menu. Kita tidak boleh adakan menu di luar rumah."

"Kita juga tidak boleh meletak papan besar di tingkap. Meskipun itu adalah tempat letak air, supaya para pelanggan tidak perlu memegang air dan menghulurkan duit. Papan itu juga perlu disimpan sebab ia membuatkan tempat ini sebagai kafe." 

"Mereka juga tidak benarkan kami adakan kerusi lipat untuk mengurangkan jumlah pelanggan di luar rumah," jelas Encik Hasif kepada BERITAmediacorp. 

AMBIL IKTIBAR, IKUT UNDANG-UNDANG, RANCAKKAN PERNIAGAAN

Bagi Encik Hasif juga, beliau mengambil iktibar daripada kesalahan yang terjadi. 

"Alhamdulillah, kita belajar. Kita tahu bahagian mana yang boleh kita berikan fokus dan memperbaikinya. Mana yang mereka kata tidak boleh, kita jangan buat. Jadi ia membuat kita memikirkan cara lain untuk memperbaiki perniagaan," jelas Encik Hasif. 

Dengan undang-undang yang perlu beliau patuhi, Encik Hasif juga perlu mengubah beberapa aspek perniagaannya. 

"Sekarang kita sudah tukar daripada tingkap di halaman rumah utama ke tingkap belakang ini, di bilik kerja saya. Ini dapat mengurangkan para pelanggan yang berkerumun di luar rumah kita," kata Encik Hasif. 

Sekarang ini juga, perniagaan Ground Floor Coffee sudah menghentikan khidmat 'walk-in' dan hanya menyediakan minuman bagi para pelanggan yang sudah membuat pesanan secara online terlebih dahulu.  

"Kita bekerjasama dengan seorang pembangun web dan membuat kedai online. Di sana, para pelanggan boleh membeli air kopi untuk penghantaran atau mereka boleh mengambil di sini. Jadi mereka boleh membuat pesanan dan datang untuk ambil sahaja," tambah beliau. 

Langkah tersebut sememangnya untuk mengurangkan jumlah pelanggan di pekarangan rumahnya. 

Encik Hasif berkata: "Untuk mengurangkan para pelanggan pada satu-satu masa, kita sekarang juga cuba membahagikan masa untuk para pelanggan mengambil pesanan mereka. Jadi sekiranya pada slot masa itu ada 10 pelanggan, kita akan aturkan masanya supaya mereka tidak akan datang serentak." 

Maklumat lanjut mengenai peraturan yang ditetapkan bagi perniagaan dari rumah boleh didapatkan di laman berikut: 
https://www.hdb.gov.sg/residential/living-in-an-hdb-flat/home-business/home-based-business-scheme

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan