Skip to main content

Singapura

Tukar Haluan Kerjaya: Dua Graduan LASALLE Buktikan Minat Seni Buka Jalan Baharu

Anggaran Waktu Membaca:
Tukar Haluan Kerjaya: Dua Graduan LASALLE Buktikan Minat Seni Buka Jalan Baharu

Aqil Fitri (kiri) dan Ilya Suraya Ahmad Razib (kanan) merupakan antara 774 graduan LASALLE pada tahun ini. (Gambar: LASALLE)

SINGAPURA: Dua graduan Kolej Seni LASALLE, Aqil Fitri dan Ilya Suraya Ahmad Razib, memilih untuk meninggalkan kerjaya lama mereka demi mengejar minat dalam bidang seni dan media, suatu keputusan yang mengubah hala tuju hidup mereka.

Mereka di antara graduan yang diraikan di Majlis Konvokesyen LASALLE pada 8 Ogos.

Seramai 774 graduan menerima Diploma, Ijazah Sarjana Muda Seni (Kepujian) dan Ijazah Sarjana pada majlis itu.

Daripada jumlah tersebut, 16 graduan turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik LASALLE bagi pencapaian akademik cemerlang.

Dulu jururawat, kini penyanyi dan penggiat teater yang berjiwa masyarakat

Aqil, seorang bekas jururawat, kini bergelar penyanyi, penggiat teater dan pencerita, mula menanam minat dalam persembahan sejak di sekolah rendah sebelum mengembangkan bakatnya hingga ke pentas teater muzikal.

Selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Teater Muzikal di LASALLE, Aqil kini mencurahkan tenaga dalam bidang penulisan lagu, dengan ilham yang sering datang daripada pengalaman sekeliling.

Related article image
Seorang bekas jururawat, Aqil Fitri kini mencurahkan tenaga dalam bidang penulisan lagu. (Gambar LASALLE)

"Saya sedar bahawa saya mempunyai minat yang mendalam dalam bidang seni. Saya ingin meluaskan cara saya berhubung dengan orang di sekeliling saya. Saya ingin membawakan kegembiraan kepada mereka serta memberikan mereka inspirasi," kongsi Aqil.

Di luar pentas, Aqil aktif memperkasakan komuniti terpinggir melalui projek penceritaan.

"Saya percaya bahawa seni harus dikongsi dengan komuniti bukan sahaja sekadar mempersembahkan di ruang yang besar, pentas yang besar." kata Aqil.

"Jadi dengan membawa persembahan kami, mereka dapat meraikan bersama-sama komuniti mereka. Mereka dapat menyanyi, mereka dapat menari sekali bersama kami. Itu secara inklusif. Ia amat penting bagi saya kerana ia sumber untuk saya memberi kembali kepada masyarakat." tambah Aqil.

Daripada farmasi ke filem, Ilya ubah haluan demi ekspresi kreatif

Bagi Ilya, perjalanan transformasi bermula ketika pandemik.

Selepas tujuh tahun bekerja dalam sektor perubatan dan farmaseutikal, beliau berasa kerjayanya ketika itu tidak memberi ruang untuk mengekspresikan diri secara kreatif.

Related article image
Ilya Suraya (berbaju oren) memberanikan diri untuk mengikuti Diploma dalam Media Penyiaran selepas tujuh tahun bekerja dalam sektor perubatan dan farmaseutikal. (Gambar LASALLE)

“Saya rasa sesuatu yang memanggil-manggil, dan saya kurang bahagia dengan apa yang saya lakukan. Jadi saya memberanikan diri untuk mencuba sesuatu yang 180 darjah berbeza,” katanya.

Ilya memilih untuk mengikuti Diploma dalam Media Penyiaran di LASALLE, keputusan yang beliau anggap membuka banyak pintu. Sepanjang pengajiannya, Ilya menyerlah dengan karya penulisannya, mengarah tiga filem pendek berbahasa Melayu yang disiarkan di saluran televisyen Suria serta menjalani latihan industri bersama program di saluran CNA, 'CNA Insight'.

"Diploma ini sejujurnya membuka banyak pintu untuk saya. Setelah mendapat diploma ini, saya tidak rasa rugi pun. Sekarang saya berkecimpung dalam bidang media. Saya dapat bertemu dengan ahli-ahli media dan mereka membawa sesuatu yang unik. Ini yang membuat hidup saya sekarang menjadi lebih cerah," kongsinya.

Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita