Tukang gunting rambut selama 15 tahun bersyukur ada bantuan TRF; mata pencarian terjejas dek 'circuit breaker'
Ibarat kais pagi, makan pagi, mata pencarian seorang tukang gunting rambut bernama Rahim bergantung kepada bilangan pelanggan.
Encik Rahim bekerja sebagai tukang gunting rambut selama 15 tahun. (Gambar: Prof Madya Muhammad Faishal Ibrahim/Facebook)
SINGAPURA: Ibarat kais pagi, makan pagi, mata pencarian seorang tukang gunting rambut bernama Rahim bergantung kepada bilangan pelanggan.
Sudah 15 tahun lelaki berusia 57 tahun itu memberi khidmat gunting rambut kepada pelanggan di sebuah kedai di Bukit Batok.
Namun, sejak langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dikuat kuasa, mata pencariannya terjejas kerana jumlah pelanggan yang berkunjung ke kedai itu semakin berkurangan. Keadaan lebih buruk apabila langkah pemutus jangkitan terus diperketat dan dilanjutkan.
Mujur, anak-anak Encik Rahim memberitahu beliau tentang Dana Bantuan Sementara (TRF) iaitu skim bantuan buat tukang gunting rambut serta individu yang menjalankan perniagaan makanan kecil-kecilan di rumah yang mungkin mengalami kesempitan wang akibat kesan pandemik COVID-19.
Kini, Encik Rahim sudahpun memohon bagi TRF di Pejabat Khidmat Sosial @ Bukit Batok bagi meringankan sedikit beban yang dipikul.
Berkongsi kisah Encik Rahim di laman Facebooknya hari ini (30 Apr), Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata beliau senang hati bahawa TRF dapat memberikan bantuan yang diperlukan oleh golongan tersebut di masa sukar ini.
"Beliau menerima bantuannya pada 29 April 2020. Beliau amat berterima kasih atas bantuan yang dihulurkan tepat pada masanya dan berharap keadaan COVID-19 segera reda," tulis Dr Faishal menukil Encik Rahim.
"Kita tahu ini adalah masa mencabar untuk ramai orang tetapi kita akan berjasama untuk mengatasi tempoh sukar ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.