Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tujuh rakyat SG cedera dalam nahas ketika cuti di Turki

Anggaran Waktu Membaca:
 Tujuh rakyat SG cedera dalam nahas ketika cuti di Turki

Gambar hiasan daerah Yiğitali Osmangazi Mahallesi, di Turki. (Gambar: Google Street View)

BERITAmediacorp: Percutian dua buah keluarga rakyat Singapura di Turki bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan, merempuh penghadang di tepi jalan raya.

Nahas itu dilaporkan oleh portal Turki, Bursa.com dan Turkey Post, pada 22 November lalu.

Gambar yang digunakan dalam laporan Bursa.com menunjukkan sebuah kenderaan berwarna hitam remuk pada bahagian hadapan. Sebuah ambulans juga dilihat berada berdekatan kereta tersebut.

Turkey Post melaporkan lapan orang cedera, termasuk pemandu pelancong bernama Kılıç dan seorang yang cedera parah.

Pasukan polis dan perubatan dikerahkan ke tempat kejadian di daerah Yigitali, Osmangazi Mahallesi di Bursa, selepas dimaklumkan penduduk di kawasan tersebut, menurut laporan portal tersebut.

Semua yang cedera dikejarkan ke Hospital Latihan dan Kajian Yuksek Ihtias, Hospital Negeri Cekirge dan Hospital Bandar Bursa.

BERITAmediacorp difahamkan oleh sumber-sumber yang dekat dengan dua keluarga tersebut, bahawa enam rakyat Singapura berada dalam kenderaan itu.

Laporan Bursa.com dan Turkey Post juga mendedahkan nama-nama rakyat Singapura yang cedera, iaitu Mustafa Mohamed, Rohana Kassim, Muhd Arif Mustafa, Zainal Abidin Ibrahim, Noorizhan Muinuddin, Muhsin Zainal Abidin.

Kesemua yang terlibat dalam kemalangan tersebut mengalami pelbagai kecederaan, sumber itu memberitahu BERITAmediacorp.

Empat rakyat Singapura yang cedera, berupaya mendapatkan bantuan untuk pulang ke Singapura dan selamat tiba di sini pada Isnin (28 Nov) malam. Mereka kini sedang mendapatkan rawatan di hospital-hospital tempatan.

Lagi dua masih dirawat di hospital di Turki. Malah salah seorang daripada mereka tidak dibenarkan pulang ke Singapura kerana dinilai sebagai "tidak dalam keadaan untuk melakukan perjalanan".

BERITAmediacorp difahamkan salah seorang yang masih di hospital Turki itu patah gigi, rahang dan dagu, dengan serpihan kayu pada bahagian pipi serta mengalami keretakan tulang rusuk dan memerlukan pembedahan. Seorang lagi di hospital itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

Sumber juga memberitahu BERITAmediacorp bahawa anggota keluarga sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan pihak kedutaan Singapura di Turki untuk membawa kedua-duanya pulang ke tanah air.

BERITAmediacorp sudah menghubungi kedutaan Singapura di Turki untuk mendapatkan maklumat lanjut.



 
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan