Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tujuh guru terima Anugerah Presiden bagi Guru 2019

Tujuh guru diiktiraf melalui Anugerah Presiden bagi Guru 2019 atas daya inovatif dan dedikasi terhadap pembangunan menyeluruh para pelajar serta memberi inspirasi kepada rakan sejawatan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tujuh guru diiktiraf melalui Anugerah Presiden bagi Guru 2019 atas daya inovatif dan dedikasi terhadap pembangunan menyeluruh para pelajar serta memberi inspirasi kepada rakan sejawatan.

Mereka dipilih daripada lebih 3,800 pencalonan.

Pengiktirafan paling berprestij buat guru-guru itu disampaikan Presiden Halimah Yacob di Istana hari ini (4 Sep).

Salah seorang penerima anugerah tahun ini ialah Encik Mohamed Azhar Mohamed Noor, 41 tahun, Ketua Jabatan (HOD) Sains di Sekolah Rendah Innova.

DAYA INOVATIF MEMBAWA KECEMERLANGAN

Dalam tempoh 10 tahun mengajar di Sekolah Rendah Innova sejak 2009, Encik Azhar sudah meraih pelbagai anugerah. Contohnya, beliau merupakan antara penerima Anugerah Innovator Cemerlang pada tahun 2016, dan Pingat Pujian Hari Kebangsaan 2017.

Anugerah-anugerah yang diraihnya itu mengiktiraf daya inovatif dan kreatif yang beliau suntik dalam bilik darjah.

Sebagai guru mata pelajaran Sains, Encik Azhar memberi para pelajar inspirasi dan mencabar semangat rasa ingin tahu untuk merealisasikan potensi mereka sepenuhnya.

CARA KREATIF AJAR MURID-MURID

Encik Azhar mengulas bahawa murid-murid dapat mengaitkan sains dengan kehidupan seharian mereka dengan lebih baik apabila mempelajari sesuatu luar daripada buku teks. Malah, mereka juga dapat menghargai alam sekitar pada masa yang sama. 

Contohnya, beliau mengambil pendekatan untuk mengajar sukatan pelajaran Sains Darjah 3 dalam bentuk penceritaan.

Murid-murid Darjah 3 beliau belajar tentang tumbuh-tumbuhan, haiwan, bakteria dan sebagainya, melalui kisah seorang budak lelaki yang cuba menyelamatkan diri sesudah terkandas di sebuah pulau.

Setiap kelas ibarat satu episod sebuah cerita. Cara mengajar itu dapat menarik perhatian para murid kerana mereka lebih cenderung mendapat tahu apa yang akan terjadi kepada budak lelaki itu seterusnya.

"Dengan mengajar daripada luar buku teks, murid-murid menanyakan soalan lebih mendalam dan mereka sungguh ghairah dalam mata pelajaran sains," ujar beliau.

Menurut beliau: "Bagi guru-guru pula, mereka dapat berfikir tentang cara-cara lain untuk mengajar secara lebih kreatif dan mereka dapat belajar bersama murid-murid mereka juga."

ANUGERAH SEBAGAI INSPIRASI UNTUK MASA DEPAN

Beliau juga banyak menggunakan permainan dan aplikasi berbilang media dalam bilik darjahnya dan berharap dapat mengongsi idea-idea serta kaedah pengajarannya itu bersama guru-guru lain.

"Saya berasa bersyukur kerana diberi penghargaan ini kerana ini memberi semangat untuk saya memikirkan cara-cara lebih berkualiti untuk mengajar murid-murid saya dalam mata pelajaran sains," ujar beliau.

GURU-GURU LAIN TURUT DIIKTIRAF

Selain Encik Azhar, enam guru lain menerima pengiktirafan peringkat nasional tahun ini.

Mereka ialah Encik Lim En-rui dari Sekolah Rendah Fairfield Methodist, Cik Sarah Koh Hui Khoon dari Sekolah Rendah Holy Innocents', Encik Chew Ansheng dari Sekolah Rosyth, Encik Syam Lal s/o Sadanandan dari Sekolah Menengah Bukit Batok, Dr Koh Noi Sian dari Politeknik Nanyang dan Cik Siu Yee Nar Ella dari Politeknik Republik.

Sembilan finalis turut diiktiraf atas sumbangan masing-masing.

Para penerima Anugerah dan finalis menerima geran pembangunan profesional untuk menghadiri sebarang sidang setempat atau di luar negara.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan