Skip to main content

Singapura

Tugas Zainab Ash Shughra, sebagai tukang awet mayat bukan kerja kotor

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Feb 2024 10:03PM Dikemas Kini : 15 Feb 2024 10:44PM
SINGAPURA: Ramai yang mempersoalkan sama ada melakukan pekerjaan sebagai seorang tukang awet mayat dibenarkan dalam Islam.

Itulah persoalan yang perlu sering Cik Zainab Ash Shughra jawab setiap kali berkongsi tentang proses mengawet jenazah dalam ceramah di masjid-masjid.

Beliau memanfaatkan peluang sedemikian untuk menerangkan niat beliau memilih untuk melakukan tugas itu dan keadaan mengapa proses mengawet perlu dilakukan terhadap jenazah seorang Muslim.

Menurut Cik Zainab, beliau ingin membantu dalam proses menghantar pulang jenazah pekerja asing dan pelancong beragama Islam yang meninggal dunia di Singapura.

“Sebelum diterbangkan pulang, (jenazah), harus diawet. Ini adalah peraturan penerbangan antarabangsa. Kalau kita katakan mengawet mayat adalah haram, bagaimana kita hendak kebumikan jenazah-jenazah pekerja asing?” jelas Cik Zainab kepada wartawan Fatyn Afiqah Abdul Samad.
Related article image
(Gambar: Fatyn Afiqah)
TANGGUNGJAWAB KEPADA MASYARAKAT ISLAM DI SINGAPURA

Cik Zainab sebenarnya bermula sebagai seorang tukang mandi mayat dengan sebuah syarikat pengurusan jenazah Islam sejak 2018.

Salah seorang temannya menyarankan agar Cik Zainab mengambil kursus dalam proses mengawet mayat kerana tidak ada tukang awet mayat Muslimah pada masa itu.

“Saya sudah biasa mandi dan mengkafankan jenazah. Tetapi untuk mengawet jenazah, ia satu perkara yang berbeza. Ia bukan senang, hendak masukkan formalin (sejenis bahan kimia bagi tujuan mengawet), harus cari urat besar. Saya harus belah mayat,” kata Cik Zainab.

Namun beliau bertukar fikiran setelah menyedari bahawa tiada tukang awet mayat Muslimah di Singapura.

Beliau merasakan perlu untuk memikul tanggungjawab tersebut.

“Saya rasa terdapat satu amanah di bahu saya. Jika ada Muslimah yang meninggal di Singapura. Tidak kira dari Malaysia, Brunei atau Dubai dan perlu diterbangkan pulang, bayangkan sekiranya tiada tukang awet Muslimah. Saya berasa simpati dengan aurat dan kehormatan jenazah itu,” jelas Cik Zainab.
Related article image
(Gambar: Fatyn Afiqah)
JALANI LATIHAN DI FILIPINA

Beliau mengikuti kursus dalam proses mengawet mayat dengan sebuah pusat latihan di Manila, Filipina.

Selepas itu, beliau perlu menjalani latihan amali dengan seorang tukang awet mayat yang berpengalaman sdi Singapura di beberapa rumah mayat.

Beliau perlu menguruskan 25 mayat sebelum diberi pentauliahan dari dari Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Menurut Cik Zainab beliau sering ditanya soalan yang sama.

“Perkara pertama mereka akan bertanya, 'Anda seorang Muslim, bukan? Sebab mereka tahu bahawa orang Islam tidak mengawet mayat,” dedah Cik Zainab.

Walau bagaimanapun, Cik Zainab diterima dengan baik kerana para pengendali rumah mayat bukan Islam yang lain mendapati bahawa lebih mudah sekiranya jenazah seorang Muslim diuruskan orang Islam.

Buat masa ini, beliau merupakan satu-satunya tukang awet mayat Muslimah di Singapura.

“Memang sebelum ini yang mengawet jenazah Muslimah bukan yang beragama Islam. Kalau ada jenazah wanita Muslim yang terpaksa orang diuruskan seseorang yang bukan beragama Islam, ia sudah darurat.” jelas Cik Zainab kepada BERITA Mediacorp.

Tambahnya, lazimnya pengurus jenazah orang-orang Islam di sini akan berurusan dengan pihak yang menguruskan jenazah Muslim di negara asal sebelum ia diterbangkan pulang.

Sekiranya tiada syarikat pengurusan jenazah Islam di tempat berkenaan, jenazah akan dihantar terus ke rumah keluarganya.
Related article image
(Gambar: Fatyn Afiqah)
URUS JENAZAH DENGAN PENUH HORMAT

Menurut Cik Zainab lagi, beliau menguruskan semua mayat yang diterima sebagaimana beliau ingin jenazahnya disempurnakan nanti.

Baginya, setiap jenazah perlu diuruskan secara hormat dan dan teliti.

“Saya harus menghapuskan rasa ketakutan itu, saya akan membelah mayat. Jenazah dapat rasa sakit, jenazah dapat rasa apabila kita ambil wuduk, semua ia dapat rasa. Saya akan fikir, saya harus sempurnakan jenazah ini kerana di kampung, ada yang sedang menunggu,” luah Cik Zainab.

“KERJA MACAM DOKTOR MAYAT!”

Perjalanan Cik Zainab untuk menjadi seorang tukang awet mayat tidak mudah.

Sehingga sekarang, masih ada anggota masyarakat yang memandang rendah dengan pekerjaan yang beliau lakukan kerana menganggapnya 'kotor'.

“Memang ada orang pandang tukang awet mayat ini seperti orang yang membuat kerja kotor. Saya tidak rasa ini adalah satu kerja kotor seperti mencuci najis. Saya tidak kisah. Pada saya, saya lebih kepada menjalankan amanah, tanggungjawab buat masyarakat Islam setempat.

"Doktor Mayat adalah satu label yang diberikan oleh seseorang. Cik Zainab mengambil nama itu dengan tenang dan membuka laman TikTok beliau, ‘Doktermayat7’ di mana beliau berkongsi kisah-kisahnya sebagai seorang tukang awet mayat," ” kata Cik Zainab.

Cik Zainab berharap dapat memanfaatkan akaun TikTok beliau yang mempunyai 34 ribu pengikut untuk mendidik orang ramai tentang pengurusan jenazah dan prosos mengawet mayat orang Islam.

Beliau juga mengharap akan ada pelapis Muslimah di Singapura yang berani melangkah ke hadapan untuk melakukan tugas sebagai tukang awet mayat juga.

Ikuti kisah Cik Zainab dalam siri "Buat Apa Tu?" di laman media sosial BERITA Mediacorp.
Sumber : BERITA Mediacorp/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita