Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tugas penyelia pusat pertukaran bas lebih bermakna bagi Norlin Abu selepas 'berhijrah' dari industri jenama mewah

Anggaran Waktu Membaca:
Tugas penyelia pusat pertukaran bas lebih bermakna bagi Norlin Abu selepas 'berhijrah' dari industri jenama mewah

Gambar: Tower Transit Singapore

Diterbitkan : 22 Jun 2022 10:22PM Dikemas Kini : 22 Jun 2022 10:23PM

SINGAPURA: Bilakah kali terakhir anda melangkah ke dalam sebuah butik fesyen sambil meninjau-ninjau koleksinya dan berbelanja sehingga S$5,000 dalam masa lima minit?

Bagi bekas jurujual Norlin Abu, itulah jenis pembeli yang biasa ditemui di tempat kerjanya sebelum ini.

Bekerja dalam sektor runcit mewah telah membuka mata Cik Norlin, lebih-lebih lagi memandangkan beliau baru saja menamatkan kursus NITEC Lanjutan ITE ketika itu.

Beliau sempat berkenalan dengan ahli perniagaan wanita Indonesia yang mewah, membantu peragawati di pertunjukan fesyen di dalam butik. Pada masa yang sama, beliau juga dapat menikmati keseronokan bekerja dalam industri fesyen.

Namun, selepas lima tahun bertugas dalam industri tersebut, Cik Norlin tanpa diduga 'berhijrah' dari butik-butik mewah ke suasana yang amat berbeza apabila beliau bertugas di sebuah pusat pertukaran bas.

Sekarang ini, beliau menawarkan khidmat kepada para penumpang pengangkutan awam dan bukan lagi melayani para pelanggan yang kaya-raya.

Beliau kini berurusan dengan para kapten bas yang berusia 50-an tahun dan bukan lagi dengan peragawati yang muda dan cantik molek.

cap
Gambar:Tower Transit Singapore

Sebagai seorang penyelia di Pusat Pertukaran Bas Tower Transit, Cik Norlin memastikan sistem pengangkutan awam Singapura tetap berjalan lancar meskipun dilanda pandemik COVID-19.

Beliau turut mengimbas kembali bagaimana beliau membuat keputusan untuk 'berhijrah' ke kerjaya yang berbeza lagi mencabar ini.

Wanita berusia 35 tahun itu berpendapat bahawa pilihan yang paling tidak dijangka mungkin bertukar menjadi yang sesuatu yang sangat memuaskan hati.

Bagi Cik Norlin, tragedi yang menimpa keluarganya telah mendorong perubahan tersebut.

Pada 2013, ibu Cik Norlin disahkan menghidap barah pankreas peringkat akhir.

Cik Norlin kemudian memutuskan untuk berhenti kerja dan menjadi penjaga ibunya. Beliau juga menemani ibunya menjalani rawatan kemoterapi.

cap
Gambar:Tower Transit Singapore

Meskipun rawatan kemoterapi adalah pengalaman yang sukar bagi beliau, ibu Cik Norlin berjaya melawan barah tersebut.

Dengan perasaan gembira, Cik Norlin kembali bekerja, kali ini untuk jenama mewah yang lain.

Lapan bulan kemudian, pada 2014, beliau mendapat satu lagi berita yang menyayat hati. "Doktor tiba-tiba mengatakan bahawa ibu saya cuma ada tiga bulan untuk hidup, kata Cik Norlin.

Beliau meletak jawatan sekali lagi untuk menjaga ibunya.

"Seperti yang diramalkan oleh doktor, ibu saya meninggalkan saya buat selama-lamanya tiga bulan kemudian," kongsi Cik Norlin kepada Mediacorp penuh hiba sambil menitiskan air matanya.

Cik Norlin sangat terkesan dengan pemergian ibunya dan memutuskan untuk berehat selama setahun.

Apabila beliau akhirnya bangkit semula, Cik Norlin memutuskan untuk kembali bekerja.

Walaupun tidak dapat memahami sepenuhnya mengapa beliau memutuskan untuk menukar industri, Cik Norlin mendedahkan bahawa kematian ibunya telah mempengaruhi keputusannya.

Memandangkan rakan dan saudara lelakinya bekerja dalam industri pengangkutan ketika itu, Cik Norlin memutuskan untuk mencuba nasib dalam bidang tersebut.

cap
Gambar:Tower Transit Singapore

Beliau memohon kerja sebagai seorang Pengawal Perkhidmatan untuk menyokong bas-bas Tower Transit.

Beliau bagaimanapun ditawarkan tugas sebagai Pegawai Pendapatan Khidmat Pelanggan untuk memeriksa sama ada para penumpang sudah membuat bayaran melalui kad EZ-Link dan membayar tambang yang betul.

Beberapa bulan selepas memikul tugas tersebut, beliau mendapat tahu tentang jawatan kosong sebagai Penyelia di Pusat Pertukaran Bas Jurong East.

Permohonannya bagi jawatan tersebut diterima.

Dan begitulah bagaimana Cik Norlin berhijrah dari dunia fesyen yang serba glamor ke Pusat Pertukaran Bas yang sibuk di mana beribu-ribu penumpang menggunakannya setiap hari.

Setiap pagi, Cik Norlin bangun pada pukul 4.00 pagi untuk melakukan perjalanan dari rumahnya di Chua Chu Kang ke Jurong East.

Sebaik tiba di tempat kerja, Cik Norlin akan memerika pusat pertukaran bas tersebut dengan rapi.

cap
Gambar:Tower Transit Singapore

Cik Norlin perlu bekerja dengan 100 kapten bas setiap hari. Beliau perlu memastikan para kapten bas tiba dan meninggalkan pusat pertukaran itu tepat pada masanya dan memastikan mereka mematuhi jadual yang ditetapkan.

Penyelia pusat pertukaran bas itu juga perlu menyesuaikan diri dengan kakitangan yang kebanyakannya adalah pekerja lelaki. Hanya 8 peratus kakitangan adalah wanita.

Sekalipun tugasnya tidak glamor, ia amat bermakna buat Cik Norlin.

cap
Gambar:Tower Transit Singapore

"Saya rasa industri ini membawa kesan yang besar kepada masyarakat dan ia memberikan saya peluang untuk bertemu dan berinteraksi dengan ramai orang dari semua lapisan masyarakat."

Mengimbas 'penghijrahannya' dari beg mewah ke khidmat bas tempatan, Cik Norlin berkata: "Hakikatnya, penting untuk bersikap terbuka kepada pengalaman dan pekerjaan baru. Jika anda bersedia untuk belajar, anda mungkin suka pada sesuatu yang pada mulanya tidak disukai."

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan