Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tugas Mohammad Sulaiman Jamal sebagai pegawai penguatkuasaan mobiliti aktif bukan sekadar keluarkan saman

Konflik adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam pekerjaan beliau, tetapi Encik Mohammad Sulaiman Jamal memilih untuk melihatnya melalui lensa yang berbeza.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Konflik adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam pekerjaan beliau, tetapi Encik Mohammad Sulaiman Jamal memilih untuk melihatnya melalui lensa yang berbeza.

Baginya, tugasnya adalah untuk membantu orang dan bukan menghalang mereka.

"Saya gemar berinteraksi dengan orang lain. Apabila saya di luar sana, saya juga menjalankan tugas untuk membantu mereka," kata Encik Sulaiman yang berusia 29 tahun kepada Mediacorp.

Sebagai seorang pegawai penguatkuasaan mobiliti aktif dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Encik Sulaiman sering perlu pergi dari satu tempat dan ke satu lagi tempat bagi menjalankan operasi penguatkuasaan dan berinteraksi dengan para pengguna laluan pejalan kaki.

Antara perkara yang dipantau oleh Encik Sulaiman adalah: alat mobiliti aktif yang diubah suai tanpa kelulusan, mereka yang melanggar had laju atau menggunakan e-skuter dan basikal elektrik di laluan pejalan kaki.

Menurutnya, bukan semua orang sedia maklum mengenai undang-undang dan peraturan.

Antara kesalahan yang kerap dilakukan adalah individu yang menaiki alat mobiliti aktif di laluan yang salah.

Basikal dibenarkan untuk digunakan di laluan pejalan kaki dan laluan basikal, manakala basikal elektrik pula tidak dibenarkan digunakan di laluan pejalan kaki, namun dibenarkan di atas laluan basikal.

Walaupun alat mobiliti peribadi (PMA) dibenarkan di atas laluan basikal dan laluan pejalan kaki, alat mobiliti peribadi bermotor (PMD) dibenarkan di atas laluan basikal tetapi bukan laluan pejalan kaki.

Sesetengah pengguna laluan juga tidak tahu perbezaan antara alat-alat mobiliti aktif seperti PMD dan PMA, kata Encik Sulaiman.

PMD merujuk kepada alat-alat seperti skuter elektrik dan papan apung atau 'hoverboard', manakala PMA adalah alat-alat yang direka untuk menampung seorang individu yang tidak boleh berjalan atau menghadapi kesukaran berjalan. Ini termasuk kerusi roda elektrik atau skuter mobiliti.

"Kebanyakan maklum balas yang saya terima (dari keluarga dan teman-teman) adalah saya sering berdiri di luar sana untuk mencari orang untuk mengenakan saman. Jawapan saya adalah saya tidak selalu kenakan saman... Kami cuba membantu mereka yang benar-benar tidak tahu tentang undang-undang Singapura.

"Mereka lakukan sesuatu, ia satu kesalahan, tetapi mereka benar-benar tidak menyedari bahawa ia melanggar peraturan.

"Ia tanggungjawab kita sebagai pelindung laluan."

"KITA TIDAK BERSEMBUNYI"

Tempat-tempat bagi operasi penguatkuasaan sedemikian lazimnya ditentukan berdasarkan maklum balas awam, kata Encik Sulaiman.

"Kadangkala apabila saya tidak bertugas, apabila saya melihat mana-mana tempat yang mempunyai pengguna laluan yang tidak mematuhi peraturan, saya akan membuat nota dan kongsikannya dengan pasukan saya dan mungkin kita boleh merancang untuk melakukan pengerahan ke tempat itu pada masa hadapan."

Setiap pegawai dikerahkan secara berpasangan dan mereka akan berdiri di tempat di mana mereka dapat menghentikan para pengguna alat mobiliti aktif dengan selamat jika wajar.

Mereka lazimnya memakai seragam supaya mereka dapat dikenal pasti dengan mudah.

Walaupun para pegawai boleh memakai pakaian biasa untuk melakukan 'recce' atau menjenguk kawasan itu atau melakukan operasi secara berselindung, para pegawai tidak "bersembunyi," kata Encik Sulaiman.

Mereka juga mempunyai alat mengesan kelajuan bagi menahan mereka yang menaiki alat mobiliti aktif pada kelajuan melebihi had dibenarkan.

Had laju di laluan pejalan kaki adalah 10 kilometer sejam, manakala had laju di laluan berbasikal dan laluan penghubung taman (PCN) adalah 25 kilometer sejam.

"Kebanyakan pengguna tidak sedar tentang apa yang sedang kami lakukan atau mereka tidak pasti apa yang kami sedang pegang."

Menurutnya, sebahagian besar mereka yang melanggar had laju adalah pengayuh basikal.

"Kadangkala mereka bergegas untuk ke satu tempat lalu mereka lupa tentang had laju," katanya.

"Kadangkala kami berdiri selama 30 minit, 40 minit, tiada seorang pengayuh basikal.

"Para pengayuh basikal mungkin melihat kami dan mereka cuba membuat pusingan U. Kami tahu bahawa mereka menyedari kehadiran kami dan mereka memberitahu yang lain," katanya.

Terdapat beberapa kejadian di mana para pegawai berdepan halangan, kata Encik Sulaiman.

Ada yang merasakan bahawa para pegawai berkenaan hanya membuang masa manakala ada cuba mencari jalan keluar.

"Salah satu kes yang saya tahan baru-baru ini adalah seorang pengayuh basikal yang sedang menunggang basikal... sambil berbual di telefon," katanya.

"Sebaik sahaja melihat saya, beliau dengan segera mencampakkan telefon bimbitnya ke dalam raga basikal."

Selepas Encik Sulaiman menahannya, individu tersebut nafi menggunakan telefon bimbit semasa mengayuh basikal dan mendakwa beliau sedang menggaru telinganya.

Namun beliau mengaku kesilapannya apabila ditunjukkan log panggilannya sendiri.

Encik Sulaiman juga mengingatinya bahawa kamera yang dipasang pada seragamnya juga merakam seluruh kejadian itu.

DAMPING, DIDIK DAN KUAT KUASA

Tahun lalu, LTA melancarkan sebuah inisiatif baharu yang dinamakan S.T.A.R Path Champion untuk mengiktiraf tingkah laku positif oleh para pengguna laluan pejalan kaki.

Program tersebut dijalankan oleh pegawai-pegawai seperti Encik Sulaiman, yang mengenal pasti para pengguna laluan pejalan kaki yang menunjukkan tingkah laku yang baik dan bertanggungjawab dan menghadiahkan kepada mereka kad hadiah dan rantai kunci.

"Kami selalu memberi tumpuan kepada 3 E ini - engage (damping), educate (didik) dan enforce (kuat kuasa)," katanya.

"Kami mengadakan sesi pendampingan untuk mengongsikan tip-tip keselamatan. Contoh, mungkin mengurangkan kelajuan apabila anda menuruni cerun, berhati-hati dengan sekitaran anda, beri laluan kepada pejalan kaki terutama sekali di kawasan-kawasan seperti tempat perhentian bas dan zon sekolah."

Akhir sekali, Encik Sulaiman melihat peranannya sebagai seorang "pelindung laluan".

"Perkara paling penting sekali adalah pemikiran anda," katanya.

"Mereka boleh katakan apa-apa yang mereka mahu. Selagi anda mempunyai fikiran yang positif, kami tahu bahawa kami hanya membantu individu itu, kemudian kami jalankan tugas sewajarnya."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan