Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tudung khas Hari Kebangsaan oleh dua jenama tempatan dapat sambutan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam masa satu hari sahaja, kesemua 100 tudung yang direka khas sempena Hari Kebangsaan oleh pengasas jenama Hello Sumaiia, Nurul Nazira Ja'afar habis terjual.

Itu mendorongnya menghasilkan lagi 200 helai tudung itu dan apabila tempahan dibuka lagi pada pertengahan bulan lalu, kesemuanya juga habis ditempah dalam masa sehari.

"Saya hanya menghasilkan 100 helai hijab 'Kota Singa' kerana saya kurang pasti jika orang akan membelinya tetapi kesemuanya laris terjual.

"Hingga sekarang, saya sudah menjual 300 keping Kota Singa dan saya tidak lagi mengambil pesanan bagi hijab tersebut," kongsi Cik Nurul Nazira.

Gambar: Nurul Nazira

Rekaan tudung yang diberi nama 'Kota Singa' itu menggabungkan beberapa unsur yang diilhamkan daripada bentuk empat segi jubin pada meja-meja di kolong blok pada waktu dahulu, bunga anggerik dan ekor memerang yang sering dilihatnya di Lower Seletar Reservoir.

"Saya ingin hasilkan corak yang lebih seronok dan menarik. Pakaian khas NDP selalunya merah dan putih tetapi saya ingin menyampaikan kepada orang ramai bahawa Singapura amat berwarna-warni dan bukan sahaja merah dan putih," kata Cik Nurul Nazira, 31 tahun.

"Saya rasa kita harus ubah pemikiran orang ramai untuk lebih terdorong memakai baju-baju yang berkaitan dengan Singapura," tambahnya.

Beliau sudah membuka pesanan bagi hijab itu buat kali ketiga dan hijab tersebut laku dibeli oleh pelanggan berumur 19 tahun hingga 65 tahun.
Gambar: Nurul Nazira

AMBIL INSPIRASI DARI SISIK MERLION

Bagi seorang lagi pengasas jenama fesyen tudung dan pakaian, The Liyan Hata, semangat patriotik mendorong dirinya untuk hasilkan rekaan tudung khas sempena ulang tahun negara yang ke-58 tahun bagi menyemarakkan lagi sambutan tahun ini.

"Pada mulanya saya hanya melukis bunga orkid bagi memperingati arwah nenek saya kerana beliau memang suka bunga orkid.

"Apabila sampel hijab orkid sampai, saya merasa bahawa rekanya tidak secantik yang saya impikan," kongsi Cik Liyan kepada BERITAmediacorp.

Gambar: Liyan Hata

Cik Liyan kemudiannya cuba menggabungkan motif sisik Merlion pada corak hijab kerana beliau ingin menarik minat golongan muda.

Menurut beliau, bentuk atau motif sisik ikan kian menjadi trend sekarang.

Selepas beliau hasilkan dan mencetak corak baru itu, Cik Liyan menjual kepingan terhad hijab yang diberi nama 'Miss Vanda' itu di dalam saluran Telegram bagi pelanggan setianya.

Dalam masa 10 minit sahaja, hijab Miss Vanda yang dijual pada harga $39 sehelai itu habis terjual.

Bagi Cik Liyan, ini juga sebagai penghargaan buat negara yang dicintainya.

"Jika saya diberi kesempatan untuk tinggal di negara lain, saya akan tetap memilih Singapura," ujar Cik Liyan.

Dalam masa terdekat ini, Cik Liyan merancang untuk juga menghasilkan rekaan tudung khas buat sambutan Hari Guru.
Gambar: Liyan Hata
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan