Tuduhan rasuah 3 pengarah syarikat berkaitan projek pendigitalan Masjid Sultan ditarik balik
Tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap tiga pengarah syarikat berhubung projek pendigitalan Masjid Sultan telah digugurkan selepas Mahkamah Negara membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk menarik balik semua pertuduhan.
Gambar fail Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Keputusan ini dibuat berikutan representasi yang dikemukakan oleh syarikat guaman Crescent Law Chambers LLC kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), yang kemudiannya bersetuju untuk menarik balik semua tuduhan terhadap anak guamnya, pengarah syarikat Qirom Consulting Pte Ltd Mohamad Daud A Rahim.
"Keputusan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk memohon supaya pertuduhan ditarik balik adalah berdasarkan representasi kami kepada Pejabat Peguam Negara (AGC)," kata peguam Encik Ahmad Nizam Abbas ketika dihubungi BERITA Mediacorp.
"Kami telah menulis surat representasi kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk menyampaikan versi peristiwa daripada pihak anak guam kami. AGC kemudian menggunakan budi bicara mereka untuk menarik balik pertuduhan tersebut," kata Encik Ahmad Nizam.
"Kami berterima kasih kepada Pejabat Peguam Negara kerana mempertimbangkan representasi kami dan mengambil keputusan untuk menarik balik,” tambahnya lagi.
Ketika dihubungi BERITA Mediacorp, syarikat guaman Andre Jumabhoy LLC yang mewakili dua lagi pengarah syarikat terbabit - Mohd Nasir Mohd Sairi daripada Fatiin Multimedia Pte Ltd dan Mohd Nasral Awang daripada Onaga Sys Pte Ltd mengesahkan bahawa tuduhan rasuah yang dikenakan ke atas anak guamnya juga telah ditarik balik.
Dalam kes yang melibatkan ketiga-tiga individu tersebut, Daud, 60 tahun didakwa telah mengajak Nasir dan Nasral untuk mengemukakan sebut harga palsu bagi projek pendigitalan Masjid Sultan antara Ogos dengan Oktober 2022.
Nasir dikatakan menyediakan sebut harga bernilai S$24,900 manakala Nasral menyediakan satu lagi sebut harga berjumlah S$56,000.
Kedua-dua dokumen tersebut kemudiannya diserahkan kepada Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia Masjid Sultan ketika itu, sebagai sebahagian daripada usaha untuk meyakinkan bahawa syarikat Qirom Consulting menawarkan harga yang lebih berpatutan.
Zairil, 53 tahun dilaporkan menyatakan bahawa dirinya tidak mempunyai sebarang kepentingan kewangan atau menerima bayaran daripada Qirom Consulting, walaupun beliau sedar kenyataan itu adalah palsu.
Ketika dihubungi, peguam Zairil, Encik Rohim Sarip memberitahu BERITA Mediacorp bahawa kes Zairil akan didengar di mahkamah pada November ini.
"Ia sepatutnya untuk sebutan pengakuan salah, tetapi kami akan mengemukakan lebih banyak representasi," kata Encik Rohim.
Zairil juga menghadapi satu lagi tuduhan kerana memiliki semburan pemedih mata yang ditemui pada September 2023.
Jika didapati bersalah, Zairil boleh dikenakan denda sehingga S$5,000 atau hukuman penjara sehingga 3 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.