Skip to main content

Singapura

Tuan tanah, penyewa runcit harus patuhi kod tatalaku kontrak pajakan bermula Februari

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tuan tanah dan penyewa premis runcit harus mematuhi kod tatalaku bagi kontrak pajakan bermula Februari tahun depan.

Ini setelah parlimen meluluskan satu Rang Undang-Undang baharu pada Khamis (3 Ogos).

Kod tersebut menetapkan prinsip-prinsip pajakan seperti tuan tanah tidak dibenarkan menaikkan kadar elektrik. Tuan tanah juga tidak boleh menamatkan pajakan awal atas alasan harus melakukan kerja-kerja pembangunan semula kecuali mereka memenuhi syarat-syarat tertentu, seperti memberi notis sekurang-kurangnya enam bulan kepada penyewa.

Kod itu akan meliputi semua pajakan runcit dengan tempoh sekurang-kurangnya satu tahun. Kedai makan, pusat tuisyen dan gim merupakan di antara jenis perniagaan yang dilindungi. Begitu juga bagi perniagaan-perniagaan di dalam pusat beli-belah secara amnya.

Rang undang-undang itu juga menubuhkan mekanisme pertikaian. Jika kod tersebut tidak dipatuhi dan pengantaraan gagal, tuan tanah dan penyewa boleh diarahkan untuk mengubah perjanjian pajakan atau membayar pampasan.

Kod itu akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Industri Penyewaan Adil (FTIC) dan akan berubah berdasarkan maklum balas industri, kata Menteri Negara, merangkap Perdagangan dan Perusahaan Low Yen Ling.

Semua tuan tanah pemerintah dan sembilan tuan tanah utama sektor privet, termasuk CapitaLand Group dan Frasers Property Singapore, sudah mematuhi kod tatalaku itu secara sukarela sejak Jun 2021.

KEBIMBANGAN PENGGUBAL UNDANG-UNDANG

Anggota Parlimen (AP) mengalu-alukan lengkah tersebut untuk menangani kuasa yang tidak seimbang antara penyewa dengan tuan tanah. Namun mereka mengemukakan kebimbangan dan mencadangkan beberapa perkara:

Kenaikan harga sewa sehingga 40 peratus dari paras sebelum COVID, dialami pemilik perniagaan sendiri

Lebih banyak ketelusan diperlukan daripada tuan rumah terhadap metrik runcit utama, seperti jumlah pelanggan dan jualan

Lebih banyak ketelusan diperlukan daripada tuan tanah terhadap caj perkhidmatan

Lebih banyak butiran diperlukan terhadap kod tatalaku mekanisme pertikaian, kekerapan pengubahsuaian dan usaha menolong peruncit kecil

Meluaskan kod tatalaku kepada perjanjian pajakan dalam sektor komersial dan perindustrian lain

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai, yang menyokong Rang Undang-Undang itu, menggesa pemerintah supaya mengharamkan struktur penyewaan "tidak adil".

AP Lim Biow Chuan (PAP-Mountbatten) menyuarakan keprihatinan ketika meminta parlimen untuk menggubal perkara yang "patut ditentukan oleh keadaan pasaran".


RESPONS PEMERINTAH

Ketika menamatkan perbahasan, Cik Low berkata pemerintah tidak berpaling daripada pendiriannya terhadap prinsip-prinsip pasaran bebas, dan Rang Undang-Undang itu bertujuan untuk menjadikan suasana runcit di Singapura lebih berdaya saing.

Mengenai risiko kecenderungan menyebelahi pihak penyewa atau tuan rumah, Cik Low merujuk kepada usaha untuk mengimbangi keperluan kedua-dua pihak, tidak kira besar atau kecil, untuk membangunkan kod tersebut.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita