Tuan rumah diarah mahkamah SG bayar kos S$200 selepas ikuti kursus online ketika perbicaraan
Seorang tuan rumah diarah membayar kos S$200 kepada bekas penyewanya selepas didapati mengikuti kursus online ketika perbicaraan di Tribunal Tuntutan Kecil (SCT) sedang berlangsung.
Pertikaian sewa rumah itu melibatkan wang cagaran S$6,000 yang ditahan tuan rumah atas dakwaan kerosakan pada unit yang disewakan. (Gambar: iStock)
- Di Singapura, seorang penyewa warga asing menyewa apartmen selama dua tahun mulai Mac 2024, tetapi tuan rumah menahan deposit S$6,000 atas dakwaan kerosakan dan membuat tuntutan balas.
- Penyewa menuntut pemulangan deposit serta pampasan kos pendingin hawa; Tribunal membenarkan potongan kira-kira S$4,565 bagi tiga kerosakan, memberikan S$350 untuk pembaikan alat hawa dingin dan menolak tuntutan gas penyejuk S$100.
- Dalam perbicaraan video selama dua hari, tuan rumah lewat hadir, cuba mengulang isu prosedur dan menggunakan hujah AI yang tidak difahami atau disahkan.
- Beliau turut mengikuti kursus dalam talian ketika perbicaraan walaupun permintaan menukar tarikh ditolak, lalu Majistret Leon Abraham Tan mengarahkannya membayar bekas penyewa S$1,785 serta kos S$200 kerana mengganggu prosiding.
Tuan rumah itu juga menggunakan kecerdasan buatan generatif (AI) untuk menyediakan hujah undang-undang yang tidak difahami sepenuhnya dan tidak disemak kesahihannya.
Selain itu, dia lewat menghadiri kedua-dua hari perbicaraan yang dijalankan menerusi sidang video.
Menurut alasan penghakiman yang diterbitkan pada Isnin (19 Okt), kelakuan tuan rumah tersebut mengganggu prosiding dan menyebabkan perbicaraan berlarutan.
Selain kos S$200, tuan rumah itu turut diarah membayar S$1,785 kepada bekas penyewanya berhubung pertikaian wang cagaran sewa rumah.
PERTIKAIAN WANG CAGARAN S$6,000
Menurut dokumen mahkamah, penyewa warga asing itu menyewa sebuah apartmen satu bilik tidur selama dua tahun bermula Mac 2024.
Selepas tempoh sewaan tamat, tuan rumah menahan keseluruhan wang cagaran S$6,000, bersamaan sewa dua bulan, atas dakwaan terdapat beberapa kerosakan pada unit tersebut.
Tuan rumah itu turut membuat tuntutan balas S$473.83.
Si penyewa pula menuntut S$6,450, merangkumi pemulangan wang cagaran sepenuhnya dan pampasan S$450 bagi kos berkaitan alat hawa dingin.
Dia mempertikaikan kesemua 10 kerosakan yang didakwa tuan rumah, termasuk jubin bilik air yang sumbing, langsir yang mempunyai kesan kotoran, permukaan kaunter dapur yang retak dan sarung sofa yang kotor.
Tribunal itu juga mendapati tuan rumah berjaya membuktikan haknya untuk membuat potongan kira-kira S$4,565 bagi tiga kerosakan, iaitu permukaan kaunter dapur yang retak, dinding yang dicat secara tidak rata serta kerosakan aksesori televisyen.
Majistret Tribunal Leon Abraham Tan turut membenarkan tuntutan penyewa sebanyak S$350 bagi kerja membaiki alat hawa dingin kerana kos tersebut merupakan tanggungjawab tuan rumah.
Bagaimanapun, tuntutan S$100 bagi menambah gas penyejuk hawa dingin ditolak kerana kos itu merupakan tanggungjawab penyewa.
IKUTI KURSUS ONLINE KETIKA PERBICARAAN
Menurut Encik Tan, pertikaian sewa rumah itu merupakan kes biasa yang tidak memerlukan alasan penghakiman bertulis, sekiranya bukan kerana kelakuan tuan rumah sepanjang dua hari perbicaraan.
Selain hadir lewat, tuan rumah itu cuba membangkitkan semula isu prosedur yang sudah diputuskan sebanyak tiga kali.
Dia juga mengakui menggunakan AI generatif untuk menyediakan hujah undang-undang tanpa memahami atau mengesahkan sepenuhnya kandungannya.
Tuan rumah tersebut sebelum itu memohon supaya tarikh perbicaraan hari kedua ditukar kerana mahu menghadiri kursus online anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Namun, permohonan itu ditolak kerana tarikh perbicaraan sudah ditetapkan selepas dia mengesahkan kelapangannya.
Pada kira-kira 10.46 pagi hari kedua perbicaraan, Encik Tan terdengar suara seseorang di latar belakang.
Apabila ditanya, tuan rumah itu mengaku sedang mengikuti kursus berkenaan menerusi telefon bimbitnya ketika perbicaraan berlangsung.
Encik Tan menegaskan bahawa perbuatan itu sama sekali tidak boleh diterima dan mengarahkannya supaya berhenti.
Tuan rumah tersebut mendakwa dia hanya menyertai kursus itu lebih awal untuk merekodkan kehadiran sebelum keluar daripada sesi berkenaan.
Namun, Encik Tan menolak penjelasan tersebut kerana kursus itu dijalankan menerusi Zoom dan memerlukan nombor mesyuarat serta kata laluan khusus.
Menurutnya, seseorang tidak mungkin menyertai mesyuarat Zoom secara tidak sengaja.
MAHKAMAH TEGAS TERHADAP KELAKUAN TUAN RUMAH
Encik Tan berkata kemudahan menghadiri perbicaraan menerusi sidang video diberikan untuk memudahkan pihak yang terlibat dan bukan suatu hak mutlak.
Beliau mendapati tuan rumah itu hanya memberikan sebahagian perhatiannya kepada perbicaraan, sekali gus menunjukkan sikap sambil lewa terhadap prosiding mahkamah.
Kelakuannya juga menyebabkan prosiding terganggu dan membebankan penyewa secara tidak adil.
Atas sebab itu, Encik Tan memutuskan adalah adil dan munasabah untuk mengarahkan tuan rumah membayar kos S$200 kepada bekas penyewanya.
Beliau turut menegaskan bahawa jumlah tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai kadar rujukan atau had maksimum bagi kos yang boleh dikenakan terhadap pihak yang berkelakuan sedemikian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.