Tuan Mufti Berjasa Abadi
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengumumkan pemergian Sheikh Syed Isa Semait, Mufti Singapura yang paling lama berkhidmat, pada 7 Julai 2025. (Gambar: Facebook/Halimah Yacob)
Sudah terkenal Mufti Negara
Pemimpin Islam di Kota Singa
Syed Isa Semait itulah nama
Jawatan dipegang banyak jasa
Sosok peribadi tokoh ilmuan
Majlis Fatwa ia pimpinan
Juga memandu hal khutbahan
Hukum syariat juga dijelaskan
Sikap sederhana senyum bahagia
Tampil menyejuk mudah menyapa
Menghargai hadir tua dan muda
Itulah tanda sifat mulia
Berjasa lama jadi saksian
Singapura ligat pemodenan
Kehidupan Muslim wajar bersesuaian
Di situlah Mufti beri pimpinan
Majlis Ugama Islam itulah tempat
Itulah pejabat Tuan berkhidmat
Segala pertanyaan segala hajat
Tuan jalankan sampai manfaat
Sebagai Mufti yang berjasa lama
Banyak pengalaman banyak cerita
Tabahnya tuan ketua agama
Timbangkan akhirat juga dunia
Keeping The Faith itulah riwayat
Dirakam jasa dan khidmat
Kami tabik serta hormat
Tuan berbudi sepanjang hayat
Pada yang membesar dekad lalu
Pasti teringat dan rindu
Suara Tuan berkhutbah selalu
Jumatan Lebaran pesanan padu
Bila tiba pengumunan Raya
Ditunggu Tuan itulah suara
Selepas diumum merata negara
Barulah Takbir mula bergema
Itulah kenangan itulah zaman
Tuan memimpin seiring keadaan
Masyarakat moden banyak cabaran
Tuan mengemudi dengan hemahan
Kini 11 Muharam tercatat pilu
Tuan pergi dipanggil Yang Satu
Al-Fatihah dibaca kami menyeru
Dicucuri Rahmat Tuhan Merahmatimu
Kami umat dan warga berdiri
Tabik ke Tuan alim dan ilmi
Jasa Tuan terpatri abadi
Moga termulia di sisi Ilahi
Selawat Salam Junjungan Baginda
Ayuhlah bersama kita berdoa
Dilafazkan Surah al-Fatihah
Tuhan merahmat insan berjasa.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.