TTSH pertahan tindakan pasukan klinikal selepas pesakit buat laporan polis, dakwa dilayan dengan tidak wajar
Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada Selasa (21 Okt) mempertahankan tindakan pasukan klinikalnya yang merawat seorang pesakit wanita, selepas pesakit itu mendakwa dirinya dilayan dengan tidak wajar dalam satu kejadian di hospital tersebut.
Kakitangan dan orang awam kelihatan di luar Hospital Tan Tock Seng di Singapura pada 30 April 2021. (Gambar fail: CNA/Calvin Oh)
“Kami sedar tentang catatan-catatan online oleh seorang pesakit yang mendakwa rawatannya di hospital kami bersifat tidak sensitif dan tidak sesuai. Kami memandang serius dakwaan tersebut,” menurut TTSH dalam satu catatan di Facebook.
“Tindakan pasukan klinikal kami dipandu oleh tanggungjawab utama kami untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pesakit.
“Pasukan kami bertindak dengan pantas, bertanggungjawab dan atas dasar keprihatinan sejati untuk melindungi pesakit dalam keadaan yang sedang dihadapi,” menurut kenyataan tersebut.
Wanita berkenaan mendakwa dalam beberapa catatan di Facebook bahawa dia ditahan dan disuntik secara paksa dengan bahan yang tidak diketahui pada 10 Oktober, semasa dia diwadkan di hospital tersebut.
Beliau juga mendakwa tidak dibenarkan menghubungi suaminya dan kemudian dihantar ke Institut Kesihatan Mental (IMH) tanpa kerelaannya.
Menurutnya, sekumpulan yang terdiri daripada sekitar 10 individu, termasuk kakitangan hospital dan anggota polis bantuan, terlibat dalam kejadian berkenaan.
Wanita tersebut membuat laporan polis pada 18 Oktober dan memuat naik imej laporan tersebut ke Facebook tidak lama kemudian.
Dalam laporan itu, beliau menuduh kakitangan hospital dan anggota polis bantuan bertindak tanpa perikemanusiaan terhadapnya, menahannya secara tidak sah dan melanggar haknya sebagai seorang pesakit.
Laporan tersebut turut menyebut nama seorang doktor yang terlibat dalam kejadian itu.
Dalam catatan Facebook pada Selasa, TTSH menyatakan bahawa kejadian seperti yang melibatkan pesakit itu “boleh disalah tafsir jika dilihat di luar konteks sebenar” dan menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan yang dimuat naik oleh pesakit berkenaan.
“Walaupun kami menghormati hak individu untuk berkongsi pengalaman mereka, kami bimbang terhadap cara kejadian itu digambarkan dan tindakan menamakan kakitangan kami secara terbuka online,” menurut pihak hospital.
“Petugas penjagaan kesihatan kami berkhidmat dengan profesionalisme, belas kasihan dan integriti, dan kami tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk gangguan atau tuduhan palsu terhadap mereka.”
Hospital itu turut menambah bahawa pihaknya kini sedang “berhubung dengan pesakit dan keluarganya.”
Sebagai maklum balas kepada pertanyaan Mediacorp, polis mengesahkan bahawa laporan sudah dibuat berhubung kejadian tersebut.
Hospital Tan Tock Seng tidak memberikan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.