TTSH mahu guna AI, kesan barah payudara dengan cepat dan tepat
Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) menunjukkan, sekitar tiga daripada setiap 10 wanita berumur 50 hingga 69 tahun di Singapura, sudah menjalani pemeriksaan barah payudara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun, kadar tersebut kekal rendah berbanding lapan daripada setiap 10 wanita, di negara maju seperti Denmark.
Ini meskipun barah payudara merupakan penyakit yang paling lazim dalam kalangan wanita Singapura.
Kini, Hospital Tan Tock Seng (TTSH) mahu menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pengesanan penyakit barah payudara. Langkah tersebut diambil bagi membolehkan para pesakit mengesan barah berkenaan dengan lebih cepat dan tepat.
Menurut para doktor, satu dalam setiap 13 wanita di Singapura menghidap penyakit barah payudara, dan pengesanan awal boleh meningkatkan kadar penakatan.
Buat masa ini, pesakit barah payudara di Hospital Tan Tock Seng boleh menjalani x-ray payudara untuk mengesan barah itu.
"Kami sedang melakukan banyak kajian perintis dan kajian penyelidikan. Terutama yang tertumpu kepada kecerdasan buatan, dan kami berharap untuk menggabungkan kecerdasan buatan dengan kemudahan kami sekarang seperti mamografi atau ultrasonografi untuk membantu mengesan barah payudara atau lesi berisiko tinggi dengan lebih baik lagi," kata seorang Konsultan, Perkhidmatan Pembedahan Payudara, dari Hospital Tan Tock Seng, Dr Ang Wei-Wen.
"Ini agar ia boleh membimbing rawatan untuk pesakit serta membimbing langkah-langkah seterusnya," tambah beliau.
Sempena menandakan 15 tahun pembukaan klinik payudaranya, Hospital Tan Tock Seng melancarkan sebuah program yang menyediakan prostesis payudara buatan tangan secara percuma.
Program yang didorong oleh relawan itu terbuka kepada wanita yang sudah menjalani pembuangan payudara.
Pihak TTSH turut menyatakan bahawa program itu boleh membantu kesejahteraan mental pesakit dalam proses pemulihan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.