TTFS diperluaskan rangkumi tahap subsidi 25%, had pendapatan per kapita naik sehingga lebih 20 peratus
Pemangku Menteri Dr Muhammad Faishal Ibrahim mengumumkan demikian di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri di Parkroyal Collection Marina Bay pada Jumaat (10 Apr).
Dua penambahbaikan kepada TTFS akan diperkenalkan bermula tahun akademik 2026/2027.
Yang pertama ialah kriteria kelayakan yang dikemaskini.
Had pendapatan isi rumah per kapita dinaikkan bagi kesemua tahap subsidi.
Sebelum ini, had pendapatan per kapita untuk subsidi 100 peratus adalah sebanyak S1,400, manakala jumlah pendapatan per kapita untuk subsidi 75 peratus pula adalah sebanyak S$1,700.
Had pendapatan per kapita untuk subsidi 50 peratus pula adalah sebanyak S$2,000 sebelum ini.
Rata-rata kenaikannya sehingga lebih 20 peratus bagi kesemua tahap subsidi.
Kali terakhir skim TTFS disemak adalah pada 2018.
TAHAP SUBSIDI BAHARU - 25%
Dr Faishal juga mengumumkan tahap subsidi TTFS yang baharu iaitu 25 peratus.
Sebelum ini, skim itu hanya meliputi tiga tahap subsidi iaitu sebanyak 50 peratus, 75 peratus dan 100 peratus.
Dr Faishal berkata: "Kami juga akan memperkenalkan satu lagi tahap subsidi tambahan sebanyak 25% bagi isi rumah Melayu berpendapatan sederhana dengan pendapatan per kapita sehingga S$2,400, supaya mereka turut dapat menikmati manfaat dan menerima sokongan tertentu untuk mengurangkan kos yuran pengajian pendidikan tertiari"
Skim itu yang diperkenalkan pada 1991 oleh Yayasan MENDAKI menampung yuran tuisyen untuk para pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi termasuk universiti, politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal.
Untuk para pelajar yang sudah menerima subsidi 100 peratus, bantuan sokongan itu kekal tidak berubah.
Namun, bagi para pelajar yang menerima subsidi 50 peratus atau 75 peratus, mereka boleh mengemukakan permohonan baharu sekiranya had pendapatan per kapita mereka layak untuk mendapatkan subsidi yang lebih tinggi.
Permohonan bagi peringkat politeknik sudah dibuka setakat Jumaat (10 Apr).
Semakan kepada skim TTFS itu menurut Dr Faishal adalah untuk menyediakan sokongan yang lebih untuk para pelajar Melayu dan keluarga mereka.
"Peluasan skim TTFS ini hanyalah permulaan. Matlamat lebih luas kami adalah untuk membantu lebih ramai pelajar Melayu meraih kelayakan pendidikan pengajian tinggi di Singapura, khususnya untuk melayakkan diri ke universiti. Oleh itu, dalam tahun-tahun mendatang, tumpuan kami adalah untuk membantu pelajar Melayu, terutamanya daripada keluarga berpendapatan rendah, membuat persediaan dan menempatkan
diri mereka dengan baik untuk diterima masuk," ujar Dr Faishal.
Beliau menambah bahawa adalah penting dalam melengkapi para pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran untuk menyertai industri-industri baharu dalam sektor-sektor membangun.
"Dalam hal ini, pendidikan posmenengah adalah salah satu pemangkin paling kukuh bagi kemajuan jangka panjang. Ia membuka peluang kerjaya baharu dan meningkatkan prospek pekerjaan. Kami ingin menggalakkan seramai mungkin pelajar kami untuk melanjutkannya," ujar beliau lagi.
Dr Faishal berkata langkah itu juga demi menyediakan masyarakat Melayu/Islam untuk ekonomi masa depan terutama sekali di tengah-tengah ketidaktentuan global.
Beliau berkata: "Keadaan ini bukan mudah apabila perniagaan dan pekerjaan kita terjejas. Kita mesti saling menyokong dalam menghadapi gangguan dan peralihan, serta membantu antara satu sama lain untuk bersiap sedia dan merebut peluang baharu yang akan muncul."
Dr Faishal menyampaikan ucapannya kepada lebih 500 pemimpin masyarakat dan agama, asatizah serta rakan-rakan masyarakat.
Majlis yang bertemakan 'Bersatu Berkhidmat, Masyarakat Sepakat' itu merupakan yang pertama bagi Dr Faishal sejak menyandang jawatan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Dalam pada itu, Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad berkata: "Bagi anak-anak Melayu kita, saya rasa mereka tidak harus khuatir akan kos pendidikan kerana kami sentiasa membantu, daripada pemerintah, daripada MENDAKI, daripada usaha-usaha badan Melayu kita, untuk melihat anak Melayu kita semua berjaya di universiti dan politeknik."
"Kita akan tolong seberapa boleh untuk mereka meraih manfaat daripada TTFS dan skim-skim kita tapi saya rasa pada keseluruhannya, oleh kerana hari ini pendidikan bukan sahaja di dalam kelas, ada yang mungkin memerlukan pertolongan dalam latihan amali ataupun peluang lain, kita akan cuba membantu sebanyak boleh," tambah Encik Zaqy yang juga merupakan Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan.
Encik Zaqy juga mendedahkan bahawa lebih 10,000 pelajar Melayu meraih manfaat daripada skim TTFS itu setiap tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.