Trump calonkan Anji Sinha sebagai duta Amerika ke SG
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menamakan usahawan Dr Anji Sinha sebagai calon duta Amerika Syarikat ke Singapura.

Presiden Donald Trump bercakap dengan wartawan di Rumah Putih pada 11 Mac 2025. (Gambar: AP)
Dalam catatan di laman Truth Social pada Selasa (11 Mac), Encik Trump berkata: "Anji adalah seorang usahawan yang sangat dihormati, dengan keluarga yang hebat.
"Hubungan antara Amerika Syarikat dengan Singapura adalah penting, dan saya tidak ragu-ragu lagi bahawa Anji dapat mewakili kepentingan negara ini dengan baik, dan mendahulukan Amerika."
Dr Sinha bagaimanapun tidak begitu dikenali dan beliau tidak mempunyai sebarang laman atau akaun media sosial.
Pelantikan Dr Sinha tertakluk kepada pengesahan oleh Senat.
Duta Amerika ke Singapura sekarang, Jonathan Kaplan dilantik oleh mantan presiden Joe Biden pada Julai 2021.
Semasa penggal pertama Encik Trump menyandang jawatan Presiden, kedutaan di Singapura dipimpin oleh seorang ketua misi.
Encik Trump sebelum ini mencalonkan Cik K T McFarland pada Mei 2017 sebagai duta Amerika ke Singapura, namun menarik balik pencalonan itu pada Februari 2018 selepas pencalonannya terbantut di Senat.
Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat pada ketika itu berkata pencalonannya ditangguhkan disebabkan oleh keprihatinan terhadap keterangan beliau kepada Kongres mengenai perhubungannya dengan Rusia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.