Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Trump bakal adakan jamuan tengah hari dengan Kim Jong Un

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan bertemu secara empat mata dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dengan hanya kehadiran pegawai penterjemah, dalam sidang puncak esok (12 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Trump bakal adakan jamuan tengah hari dengan Kim Jong Un

(Gambar fail: Saul Loeb/AFP)

Diterbitkan : 11 Jun 2018 11:26PM Dikemas Kini : 11 Jun 2018 11:29PM

SINGAPURA: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan bertemu secara empat mata dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dengan hanya kehadiran pegawai penterjemah, dalam sidang puncak esok (12 Jun).

Ini akan disusuli dengan mesyuarat lanjutan dua hala dan jamuan tengah hari dengan delegasi kedua-dua pihak, menurut kenyataan yang dikeluarkan Rumah Putih malam tadi (11 Jun).

Ia menambah, sidang puncak itu akan bermula pada jam 9.00 pagi esok (12 Jun). Encik Trump akan meninggalkan Singapura pada jam 8.00 malam pada hari yang sama, selepas bertemu dengan pihak media.

Anggota rombongan Amerika Syarikat di mesyuarat dua hala yang lebih besar itu akan disertai Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo, Ketua Turus Rumah Putih John Kelly dan Penasihat Keselamatan Negara John Bolton.

Setiausaha Akhbar Sarah Sanders, Duta Sung Kim dan Pengarah Kanan Majlis Keselamatan Negara Asia Matt Pottinger pula akan turut menghadiri mesyuarat jamuan tengah hari.

"Perbincangan antara Amerika Syarikat dengan Korea Utara masih dijalankan dan perkembangannya lebih cepat daripada yang dijangkakan," menurut kenyataan Rumah Putih.

Sung Kim, wakil Amerika Syarikat bagi dasar Korea Utara, sudah bertemu degan para pegawai Korea Utara di Singapura di Hotel Ritz Carlton menjelang sidang puncak itu.

Encik Pompeo sebelum itu turut mengirimkan tweet bahawa mesyuarat tersebut "substantif dan terperinci".

Seperti perincian ketibaannya di Singapura, atur cara Encik Kim tidak diuar-uarkan. Laporan Reuters menyatakan pemimpin Korea Utara itu dijangka pulang pada petang esok (12 Jun). Kedua-dua pemimpin tiba di Singapura semalam (10 Jun) dan sudah bertemu dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong secara berasingan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan