Skip to main content

Singapura

Tribunal SMC denda doktor warga asing raih pendapatan S$331,500 meski tanpa pas kerja sah

Anggaran Waktu Membaca:
Tribunal SMC denda doktor warga asing raih pendapatan S$331,500 meski tanpa pas kerja sah

Gambar fail: AFP/Joe Raedle

Diterbitkan : 28 Dec 2023 04:21PM Dikemas Kini : 28 Dec 2023 04:28PM
SINGAPURA: Seorang doktor warga asing yang menjadi doktor lokum selama kira-kira dua setengah tahun, memperoleh hampir S$331,500 daripada kerja sampingan yang dilakukan secara haram, didenda S$50,000 oleh tribunal disiplin Majlis Perubatan Singapura (SMC).

Dr Queck Kian Kheng didenda secara berasingan sebanyak S$70,000 pada Jun 2021 oleh mahkamah daerah kerana melanggar Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing dengan bekerja sendiri tanpa pas kerja yang sah.

Denda terbaharu adalah bagi satu tuduhan kelakuan tidak wajar yang membawa keburukan kepada kerjaya dalam bidang perubatan, seperti yang diperincikan dalam keputusan yang diterbitkan di laman web SMC pada Khamis (28 Dis).

Menurut semakan Mediacorp ke atas enjin carian Kementerian Kesihatan (MOH) untuk karyawan jagaan kesihatan berdaftar di Singapura, Dr Queck kini pakar neurologi di Pusat Neurologi KK Queck di Hospital Mount Alvernia.

Walaupun negara asalnya tidak didedahkan dalam alasan keputusan SMC, dia disenaraikan dalam enjin carian MOH sebagai mendapatkan ijazah kedoktorannya daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2009.

Menurut alasan keputusan tribunal disiplin SMC, Dr Queck memegang pas kerja sebagai konsultan bersekutu dengan Perkhidmatan Kesihatan Singapura pada masa kesalahan itu dilakukan.

Dia bagaimanapun tidak mempunyai pas kerja yang sah untuk berkhidmat sebagai doktor di pelbagai klinik perubatan.

Walaupun hanya memegang pas kerja tertentu yang membolehkannya bekerja untuk Perkhidmatan Kesihatan Singapura, Dr Queck menawarkan khidmat locum di 25 klinik perubatan sebanyak 511 kali antara November 2016 dan Mei 2019.

Dr Queck memperoleh pendapatan tambahan sekitar S$331,443.40 daripada kerja sampingan sebagai doktor lokum dalam tempoh kira-kira dua setengah tahun.

Dia berdepan tiga tuduhan di Mahkamah Negara kerana menjadi pekerja hijrahan yang bekerja sendiri sebagai doktor tanpa pas kerja yang sah dan dijatuhi hukuman denda S$70,000 pada Jun 2021.

Selepas sabitan mahkamah, SMC mengemukakan tuduhan terhadapnya di bawah Akta Pendaftaran Perubatan atas perbuatan atau kelakuan tidak wajar yang membawa keburukan kepada kerjaya perubatan.

SMC mengusulkan denda S$50,000, manakala peguam Dr Queck bersetuju dengan denda tetapi menyerahkan kuantum denda tersebut kepada pihak tribunal.

Pihak tribunal mendapati denda yang disarankan SMC sebanyak S$50,000 adalah munasabah dan mengenakannya ke atas Dr Queck, sambil mengambil kira bahawa dia telahpun didenda S$70,000 oleh Mahkamah Negara, antara faktor lain.

Tribunal itu juga mengarahkan Dr Queck ditegur, mengemukakan perjanjian bertulis kepada SMC bahawa dia tidak akan terlibat dalam tingkah laku sedemikian lagi dan membayar kos dan perbelanjaan prosiding termasuk kos peguam SMC.
Sumber : CNA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita