Skip to main content

Singapura

Tribecar guna semula kereta BlueSG bagi armada sewa EV baharunya

Syarikat perkongsian kereta Tribecar mengguna semula kereta BlueSG untuk armada kenderaan elektrik (EV) sewa baharunya, beberapa minggu selepas BlueSG mengumumkan bahawa ia akan menggantung perkhidmatannya mulai 8 Ogos sebelum melancarkan semula khidmat itu pada 2026.

Anggaran Waktu Membaca:
Tribecar guna semula kereta BlueSG bagi armada sewa EV baharunya

Sebuah kereta BlueSG diletakkan di sebelah kereta Tribecar berwarna kuning yang diguna semula, di alamat berdaftar Tribecar di 501 Guillemard Road. (Gambar: CNA/Justin Ong)

Diterbitkan : 25 Aug 2025 11:50PM
SINGAPURA: Syarikat perkongsian kereta Tribecar mengguna semula kereta BlueSG untuk armada kenderaan elektrik (EV) sewa baharunya, beberapa minggu selepas BlueSG mengumumkan bahawa ia akan menggantung perkhidmatannya mulai 8 Ogos sebelum melancarkan semula khidmat itu pada 2026.

Dalam satu catatan Facebook pada Ahad (24 Ogos), Tribecar mengatakan bahawa ia akan melancarkan armada baharu itu dengan nama “Le Blu Frenchy”.

Gambar yang disertakan dalam catatan itu menunjukkan sebuah kereta berwarna kuning terang yang menurut ramai pengguna menyerupai kereta tiga pintu Bolloré Bluecar milik BlueSG. Ada juga yang mempersoalkan sama ada kenderaan baharu itu sebenarnya kereta BlueSG dengan cat baharu.

Pentadbir Facebook Tribecar menjawab sebahagian daripada komen-komen tersebut dengan ungkapan “tiada komen” atau emoji mulut berzip, seolah-olah memberi bayangan bahawa ianya adalah satu perkara sulit.

Ketika Mediacorp mengunjungi alamat berdaftar Tribecar di 501 Guillemard Road, sebuah kereta BlueSG dilihat diletakkan bersebelahan sebuah kereta kuning yang diguna semula di premis tersebut.

Percubaan untuk bercakap dengan kakitangannya ditolak.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap Tribecar berkata syarikat itu tidak dapat mendedahkan daripada siapa kenderaan tersebut diperoleh kerana terikat dengan perjanjian kerahsiaan.

“Apa yang boleh kami kongsikan ialah Tribecar sedang membawa masuk beberapa ratus kenderaan elektrik yang dalam keadaan baik untuk diberi nafas baharu di bawah platform kami,” kata jurucakap itu.

Kereta-kereta tersebut juga dibeli, bukan disewa, dan akan digunakan dalam model sewaan baharu.

Mediacorp turut menghubungi BlueSG, yang menyatakan bahawa pihaknya “tidak berada dalam kedudukan untuk memberi komen”.

BUKAN PERKHIDMATAN TITIK KE TITIK

Tidak seperti perkhidmatan titik ke titik BlueSG, Tribecar akan menawarkan kenderaan yang diguna semula itu untuk sewaan jangka panjang, antara tiga bulan hingga dua tahun.

Harga sewaan bulanan bermula dari S$888 hingga S$958, dengan pilihan tambahan seperti akses kepada lot pengecasan TotalEnergies Blue, insurans kemalangan dan bertukar warna.

Kereta sewaan itu juga boleh dicas di sebarang tempat pengecasan tidak kira pengendalinya, yang berbeza daripada peraturan BlueSG di mana kereta hanya boleh dicas di lot pengecasan TotalEnergies.

Apabila ditanya sama ada kereta yang diguna semula itu mungkin berada dalam keadaan usang atau lapuk serta boleh menimbulkan risiko, jurucakap Tribecar menegaskan bahawa keselamatan “sentiasa menjadi keutamaan” syarikat itu dan “usaha yang ketara” sudah dilakukan bagi memastikan setiap kenderaan memenuhi piawaian yang ketat.

“Semua kereta dinaik taraf dengan sebaiknya dan diperiksa oleh jurutera bertauliah di bawah kawalan keselamatan dan mutu yang ketat sebelum diserahkan kepada penyewa,” kata jurucakap itu.

Jika sesebuah kereta tidak boleh dipandu selama lebih daripada dua hari kerana masalah penyelenggaraan, sebuah kenderaan gantian akan disediakan.

Jurucakap itu menambah bahawa EV secara umumnya kurang mengalami kerosakan akibat penggunaan berbanding kereta petrol atau diesel.

BlueSG mengumumkan awal bulan ini bahawa ia akan menggantung operasinya mulai 8 Ogos, sambil menyifatkan langkah tersebut sebagai “penangguhan strategik” sebelum melancarkan perkhidmatan baharu yang dipertingkatkan pada 2026.

Penangguhan itu akan menyebabkan pemberhentian kerja bagi “sebahagian” tenaga kerjanya, menurut syarikat tersebut, tetapi ia enggan mendedahkan jumlah sebenar kakitangan yang terjejas.

Syarikat-syarikat perkongsian kereta, termasuk Tribecar, memberitahu Mediacorp bahawa mereka tidak akan mengisi kekosongan perkhidmatan titik ke titik buat masa ini menyusuli pengumuman BlueSG itu, dengan alasan adanya cabaran dari segi operasi.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita