Trend vape diguna untuk ambil dadah di SG makin membimbangkan

Vape yang mengandungi minyak kanabis. (Gambar: iStock)
SINGAPURA: Para penggubal undang-undang, penyedia khidmat sosial, ibu bapa dan belia di Singapura semakin lantang menyuarakan kebimbangan mengenai penggunaan alat vape untuk mengambil dadah.
Topik itu sudah beberapa kali dibangkitkan di parlimen hanya dalam tahun ini sahaja.
Pada Selasa lalu (18 Feb), Anggota Parlimen (AP) Christopher de Souza bertanya sama ada terdapat tindakan yang diambil untuk membanteras "trend baharu muncul" di mana pengedar dadah menyembunyikan dadah terkawal dalam vape, khususnya di pusat-pusat pemeriksaan Singapura.
Dalam satu jawapan bertulis, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata pihak berkuasa sedang bekerjasama untuk mengesan, mencegah dan menjalankan pemeriksaan sebelum ketibaan di pusat pemeriksaan.
Beliau juga berkata kes-kes sedemikian kekal kecil jumlahnya berbanding keseluruhan kes dadah yang dirampas.
Pertanyaan Encik de Souza dibuat menyusuli soalan AP Wan Rizal, awal bulan ini, tentang sokongan bagi golongan muda yang didapati menggunakan vape dicemari dadah, yang boleh mengandungi bahan seperti etomidate dan ketamine.
Etomidate merupakan bahan bius yang diklasifikasikan sebagai racun, sementara ketamine adalah dadah terkawal.
Pada Januari, beberapa AP juga membangkitkan soalan mengenai penilaian pemerintah terhadap risiko vape digunakan sebagai alat bagi dadah, dan sama ada Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) akan mempertimbangkan untuk memasukkan vape sedemikian dan peralatan berkaitan dalam satu kategori di bawah rangka kerja sama seperti dadah.
Menjawab pertanyaan tersebut, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Muhammad Faishal Ibrahim berkata Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) sudah berdepan "segelintir" kes sedemikian, yang membentuk sebahagian kecil kegiatan vape di Singapura.
Vape dikawal oleh HSA sementara CNB, yang tertakluk di bawah MHA, adalah agensi penguatkuasaan utama dadah.
Pada awal tahun ini, pihak berkuasa menemui beberapa "Kpods" - jus vape yang dicampur dengan etomidate - antara lebih 8,700 vape dan komponen lain yang dirampas.
Pada April 2024, 65 vape disyaki mengandungi kompaun psikoaktif utama dalam ganja juga dirampas semasa satu serbuan dijalankan.
Menjawab pertanyaan Mediacorp. seorang jurucakap CNB berkata terdapat "kes sekali sekala" di mana vape digunakan untuk mengambil dadah.
CNB menambah individu yang air kencingnya didapati positif bagi dadah terkawal, "tidak kira bagaimana ia diambil", akan disiasat di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA).
"Memiliki sebarang peralatan atau bahan, termasuk vape, untuk mengambil dadah terkawal, adalah kesalahan di bawah seksyen 9 MDA," kata jurucakap CNB itu.
BIMBANG TERHADAP "TREND BAHARU"
Semasa sesi parlimen pada Januari, AP Tan Wu Meng berkongsi dengan Dewan tentang kebimbangan yang disuarakan oleh penduduk muda di kawasan undi beliau di Clementi.
Menurut Dr Tan, seorang remaja 13 tahun khuatir tentang kegiatan vape di sekolah manakala seorang remaja 16 tahun bimbang tentang pod vape mengandungi dadah.
Bercakap kepada Mediacorp, Dr Tan berkata pelajar sekolah menengah mendengar cerita-cerita yang "disampaikan" tentang perbuatan menggunakan vape. Penuntut di institut pengajian tinggi turut berkongsi kebimbangan serupa dengan beliau dan para sukarelawannya.
"Mereka bukan pengguna vape tetapi mendengar tentang kes-kes ini," kata beliau. "Sebahagiannya mengenali rakan yang menggunakan vape, dan mereka bimbang tentang rakan mereka."
Ibu bapa juga khuatir tentang apa yang mereka lihat sebagai "trend baharu" vape mengandungi bukan setakat nikotin tetapi bahan-bahan terlarang, kata Dr Tan.
"Jika anda gabungkan kegiatan vape yang berleluasa dengan pembekal dadah yang cuba membekalkan dadah menerusi vape, ibu bapa berasa bimbang bahawa ini boleh menjadi masalah besar di Singapura."
Beliau bertanya sama ada lebih baik bagi agensi-agensi bertindak lebih tegas sekarang, "daripada menunggu masalah menjadi lebih besar".
AP Zhulkarnain Abdul Rahim, yang duduk dalam Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA) sehingga hujung tahun lalu, menyuarakan kebimbangan serupa.
Beliau memetik laporan berita tentang bagaimana satu daripada enam vape yang dirampas di sekolah-sekolah Britain tahun lalu mengandungi bahan penenang haiwan xylazine - yang lebih dikenali sebagai "dadah zombi" yang boleh menyebabkan serangan jantung, sawan dan psikotik.
Encik Zhulkarnain berkata Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang - yang dipengerusikan beliau - juga bimbang sama ada CNB boleh memainkan peranan lebih besar dalam "menyampaikan mesej berbeza daripada HSA".
Beliau bagaimanapun akur bahawa di Amerika misalnya, e-rokok tertakluk di bawah pemantauan agensi Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan.
"Saya rasa negara-negara di merata dunia melihatnya sebagai masalah kesihatan berbanding...isu antidadah."
GPC beliau sedang mencari cara untuk mempergiat pemantauan bukan sahaja ke atas penjualan dan pembelian vape, tetapi juga iklan.
PENGGUNA VAPE SEMUDA 12 TAHUN
Agensi khidmat sosial yang ditemui Mediacorp juga menarik perhatian kepada apa yang mereka lihat sebagai "trend meningkat" orang muda menggunakan vape untuk mengambil dadah terkawal.
Semasa sesi pendampingan dengan belia baru-baru ini di pusat Khidmat Masyarakat Fei Yue, sebahagiannya berkongsi tentang rakan-rakan yang menggunakan vape yang mengandungi dadah, meskipun jenisnya tidak dinyatakan, kata petugas kanan sosial, Jedidiah Chong.
Kata beliau, golongan belia mungkin tersalah maklumat dan salah faham bahawa menggunakan vape untuk mengambil dadah "lebih selamat dan kurang berbahaya berbanding mengambil dadah secara langsung; serta ia tidak boleh dikesan oleh pihak berkuasa.
Pengurus kes pusat pemulihan masyarakat Khidmat Pendampingan Panduan Belia Linus Lim menarik perhatian bahawa mungkin sukar untuk membuktikan penggunaan dadah terkawal menerusi vape, memandangkan ia seringkali dicampur dengan pelbagai kimia, menyukarkan pengesanan biasa menerusi air kencing.
Care Corner Singapore juga sudah mula mendengar lebih banyak tentang Kpods dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kata petugas kanan sosial bagi khidmat belia Flora Tan.
Kpods biasa dipasarkan sebagai kurang berbahaya, alternatif lebih mudah berbanding dadah, tidak memerlukan persediaan dan menjanjikan "rasa sedap" hanya selepas disedut beberapa kali, kata beliau.
"Kami melihat pengguna semuda 12 tahun mencuba Kpods, dan yang berusia 18 hingga 19 tahun yang kerap menggunakan Kpods."
Untuk mendapatkan Kpods, ia melibatkan rangkaian pembekal yang saling mengenali, dengan harga antara S$50 hingga S$100, kata Cik Tan.
Menurut beliau, salah satu cara untuk menangani peralatan vape yang sekarang digunakan untuk mengambil dadah adalah untuk menyampaikan "mesej lebih tegas" bahawa sesiapa yang menggunakan vape akan ditangkap.
Namun akhir-akhirnya, tambah beliau, untuk mengurangkan dan membanteras penggunaannya dalam kalangan belia bermula daripada tahap kesedaran yang tinggi dan rasa tanggungjawab.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.