Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Trend jahit baju Raya sendiri, lebih ramai ikuti kursus jahit baju kurung, kebaya

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Lebih ramai individu kian berminat untuk belajar menjahit baju Hari Raya mereka sendiri.

Trend ini disaksikan sendiri syarikat 'Fashion Makerspace' yang menerima sehingga 20 peratus lebih ramai peserta tahun ini bagi kelas-kelas menjahit baju Hari Raya yang ditawarkannya.



Syarikat itu menawarkan kelas menjahit baju tradisional seperti Baju Kebaya, Jubah, Baju Melayu dan Baju Kurung Pesak sejak 2016.

"Tahun ini, respons untuk bengkel baju raya ini lebih tinggi daripada tahun-tahun yang lepas. Mungkin kerana ramai yang mula sedar ia lebih berbaloi untuk membuat baju sendiri dan mereka datang ke bengkel ini, bukan sahaja untuk meraih kemahiran ini untuk diri sendiri tetapi untuk membantu dalam tahun-tahun ke hadapan," kongsi Jurulatih Kanannya, Cik Fathimah Ath-Thoohiroh kepada BERITAmediacorp.


Paling Kiri: Fathimah Ath-Thoohiroh

Menurutnya lagi, idea untuk menawarkan kelas-kelas menjahit Baju Hari Raya itu tercetus apabila terbitnya permintaan ramai yang sukar mendapatkan rekaan Baju Raya di pasaran yang tepati citarasa mereka.

"Ramai yang meminta untuk membuka kelas Baju Kurung kerana mereka mendapati diri mereka susah untuk mendapatkan orang meminda baju yang mereka sudah beli," menurut Cik Fathimah.

"Ada juga yang ingin baju sedondon dengan keluarga mereka jadi mereka membeli kain yang sesuai," tambahnya.


(Gambar: Fashion Makerspace)

Fashion Makerspace menawarkan dua jenis kursus berdasarkan tahap pengalaman pelajar.

Yurannya juga bergantung pada tahap pengalaman mereka dan rekaan baju yang ingin dipelajari peserta dan harganya antara S$298 hingga S$488.

(Gambar: Fashion Makerspace)

Bagi baju yang lebih rumit untuk dijahit seperti baju kebaya, ia boleh mengambil masa hingga lapan sesi untuk selesaikan kursus.

"Peserta-peserta yang kita dapat tahun ini daripada bermacam-macam latar belakang. Ada yang merupakan ibu, ada suri rumah, ada yang bekerja dan selepas itu datang sini pada waktu malam," ujar Cik Fathimah.

BELAJAR MENJAHIT SATU "KEMAHIRAN BERGUNA"



Antara yang terdorong untuk mengikuti kelas menjahit baju Melayu tahun ini ialah Cik Inna Angullia, 44 tahun.

"Saya berminat (belajar) menjahit kerana menjahit ini lebih murah dan anda boleh menjadi kreatif untuk melakarkan rekaan anda sendiri dan anda juga boleh memilih kain yang lebih selesa," kongsi Cik Inna.

"Ini juga 'made-to-order' atau disesuaikan mengikut tempahan. Lagipun sekarang, upah untuk tempahan menjahit sangat mahal sebab itu saya minat ingin belajar menjahit," tambah Cik Inna.



Bagi kelas itu, Cik Inna belajar menjahit jubah untuk dirinya serta baju kurung pesak tetapi dipadankan dengan seluar 'palazzo' daripada kain pilihannya sendiri.

"Wadah ini sangat bagus kerana pada zaman mak-mak kita dahulu, semua isi rumah tahu menjahit tetapi sekarang, anak-anak muda dalam generasi baru ini, ramai yang tidak menunjuk minat dalam menjahit," tambah suri rumah itu.

Lantaran itu, Cik Inna berpendapat bahawa platform sebegini dapat meneruskan tradisi menjahit, iaitu satu kemahiran yang "sangat berguna".

BERI NAFAS BARU KEPADA PAKAIAN LAMA, PADAN DENGAN BENTUK BADAN



Seperti Cik Inna, Cik Firqin Sumartono, 31 tahun, juga sanggup meluangkan masa untuk belajar menjahit baju rayanya sendiri.

Ini meskipun bekerja sepenuh masa.

"Saya rasa kursusnya itu sangat seronok dan saya suka hobi-hobi di mana hasilnya dapat dipegang, dipakai dan dapat dimanfaatkan," kongsi Cik Firqin yang sering ikuti kelas-kelas malam.

"Ia memberi orang ramai peluang untuk memberi nafas baru kepada mungkin pakaian lama mereka dan mungkin dapat mengubahnya dan satu hobi yang seronok," tambah beliau.



Cik Firqin juga ingin mengikut jejak langkah ibu, nenek dan kakaknya yang menjahit baju kurung mereka sendiri.

Selain itu, ia juga bagi menjahit baju yang padan dengan bentuk badannya.

"Saya memilih menjahit baju kebaya sebab baju kebaya yang saya beli semua tidak muat dan saya ingin sepasang baju kebaya yang saya boleh muat," kata Cik Firqin.

Bagi kedua-dua individu itu, Hari Raya kali ini lebih istimewa kerana mereka tidak sabar untuk mengenakan Baju Raya mereka hasil rekaan dan jahitan mereka sendiri.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan