Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Trend haiwan peliharaan diabaikan meningkat - penggunaan cip mikro dan kesedaran boleh tangani masalah ini

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Inflasi barangan yang menyebabkan kos memelihara haiwan meningkat serta peralihan aturan kerja yang memerlukan ramai kembali bertugas di pejabat dengan pelonggaran sekatan COVID-19 merupakan antara punca kenaikan kes pengabaian haiwan peliharaan di Singapura.

Trend sebegitu menurut Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) adalah sesuatu yang membimbangkan.

"Ia menimbulkan tekanan yang tidak perlu kepada haiwan ini dan juga mendedahkan haiwan ini kepada faktor luaran. Apabila seekor haiwan diabaikan, kami akan menyediakan tempat untuk, tempat perlindungan untuk mereka di sini. Kami juga akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan rumah baru bagi mereka," kongsi ketua Perkhidmatan Klinik, Khasheqin Kahlik.



"Namun, dengan peningkatan dalam nombor kes-kes pengabaian dan jumlah pengambilan haiwan peliharaan yang berkurangan, tempat di SPCA sangat terhad untuk mengambil semua haiwan ini," tambahnya lagi.

Ini lebih-lebih lagi katanya menjejas haiwan yang disifatkan sebagai 'haiwan peliharaan pandemik', iaitu haiwan yang diambil semasa tempoh pemutus rantaian COVID-19 pada April 2020.

"Semasa pandemik, trend menunjukkan peningkatan dalam jumlah pengambilan haiwan. Ini kerana mungkin ramai orang masih di rumah tetapi sekarang, apabila ramai daripada kami harus pulang ke kerja, ramai yang sedar bahawa mereka tidak boleh memberi komitmen kepada haiwan peliharaan mereka," menurut Cik Khasheqin.

Dalam sesi parlimen 1 Mac lalu, Menteri Negara bagi Pembangunan Negara, Tan Kiat How mendedahkan bahawa jumlah pengabaian haiwan peliharaan makin meningkat dalam tempoh lima tahun.

Tahun lalu sahaja, Lembaga Taman Negara (NParks) menyiasat 225 kes sedemikian.

Ini 25 peratus lebih tinggi berbanding jumlah yang dicatatkan pada 2018.

SUKAR JEJAKI PEMILIK YANG ABAIKAN KUCING PELIHARAAN

Keadaan ini lebih teruk lagi bagi haiwan-haiwan peliharaan yang tidak dipasangkan cip mikro seperti kucing.

Disebabkan itu, menjejaki pemilik yang mengabaikan haiwan-haiwan itu lebih sukar.



"SPCA menerima ataupun menyelamatkan haiwan yang kebanyakan kali tidak ada cip mikro atau ia tidak didaftarkan. Ini terutama sekali untuk kucing," ujar Cik Khasheqin.

"Lagipun di Singapura, kami belum lagi ada peraturan yang mewajibkan pemilik kucing untuk mendaftarkan ataupun mengenakan cip mikro pada kucing mereka," tambahnya lagi.

Setakat ini, hanya anjing peliharaan sahaja diwajibkan oleh pemerintah untuk dipasangkan cip mikro dan mesti didaftarkan dengan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS).

Saranan untuk memasang cip mikro pada kucing peliharaan juga diajukan dalam penetapan satu rangka kerja bagi pengurusan kucing di negara ini.

AVS kini sedang mendapatkan pandangan orang ramai mengenai rangka kerja yang diusulkan untuk menambah baik pengurusan serta kebajikan kucing.



Sekiranya satu rangka kerja pengurusannya dapat dilaksanakan, para penghuni flat HDB mungkin dibenarkan untuk memelihara kucing.

Sejak 1989, kucing dilarang disimpan sebagai haiwan peliharaan di flat HDB. Sesiapa yang didapati memelihara kucing di flat HDB mereka boleh didenda sehingga S$4,000 di bawah Peraturan (Haiwan) Perumahan dan Pembangunan.

LEBIH SENANG ABAIKAN KUCING PELIHARAAN TANPA PERATURAN YANG MEMADAI

Dengan kekurangan peraturan terhadap pemilikan haiwan peliharaan seperti kucing, ia lebih "senang" untuk si pemilik mengabaikan kucing mereka apabila tidak lagi ingin memikul tanggungjawab, menurut Cik Khasheqin.



Lantaran itu, pihak SPCA berharap agar penalti untuk pengabaian haiwan akan sentiasa disemak dan dibaiki, serta keperluan untuk memasang cip mikro pada kucing peliharaan diwajibkan.

Ini agar para pemilik kucing boleh dijejaki dan dipertanggungjawabkan.

Sentimen itu turut disokong satu lagi badan iaitu Persatuan Kebajikan Kucing (CWS).

"Untuk cip mikro dan pendaftaran, ia membolehkan untuk mengenal pasti dan pengesanan yang lebih mudah untuk kucing peliharaan dengan pemilik mereka," kongsi Pengurus Penglibatan Masyarakat CWS, Stephanie De Witt.

"Ia adalah cara terbaik untuk membuktikan pemilikan (haiwan) yang boleh membantu menghalang pengabaian," tambahnya lagi.

INFLASI, TIDAK MURAH JAGA KUCING - ANTARA SEBAB PENGABAIAN BERLAKU

Selain peralihan aturan kerja, CWS juga mendapati beberapa faktor yang menyumbang kepada kenaikan kes pengabaian haiwan peliharaan.

"Kami juga mengenal pasti antara sebab yang mengakibatkan pengabaian ialah ketidakmampuan para pemilik untuk memelihara kucing. Ia tidak murah untuk memiliki kucing terutama sekali jika kucing itu tidak dikembiri. Mereka boleh beranak dengan cepat dan meninggalkan beban yang tidak munasabah," ujar Cik Stephanie.

Beliau menambah bahawa para pemilik kucing perlu bersedia apabila ingin memelihara atau menjaga kucing kerana kucing itu mungkin mempunyai penyakit yang tidak diketahui atau jangkakan.



"Dari segi inflasi akibat makanan dan sumber yang diimport kepada Singapura, kenaikan kos juga mungkin boleh memberi kesan kepada pendapatan kewangan. Jadi dengan ini, kami ingin berkongsi bahawa persediaan harus ada apabila anda ingin memelihara atau menjaga kucing peliharaan," luah Cik Stephanie.

Menurut aplikasi PriceKaki, harga barangan keperluan kucing seperti makanan dalam tin dan makanan kering meningkat sehingga 10 peratus.

Dalam pada itu, CWS juga menyambut baik satu lagi cadangan untuk melanjutkan lagi program 'Perangkap-Kembiri-Cari Rumah Baru/Lepaskan Secara Terurus (TNRM)' kepada kucing masyarakat.



Ini menurut Cik Stephanie dapat mengurangkan dan mengatasi jumlah kucing terbiar buat satu dekad.

"CWS sudahpun menyokong ini sebagai pendekatan yang paling menyeluruh dan berasaskan sains yang berperikemanusiaan bagi pengurusan jumlah haiwan masyarakat," kata Cik Stephanie.

JADI APA YANG DILAKUKAN BUAT HAIWAN YANG DIABAIKAN?

Dengan kes pengabaian haiwan yang semakin meningkat ini, CWS mendapati bahawa kebanyakan kucing-kucing yang dibesarkan dan terbiasa dengan keadaan dalam rumah, tidak mampu hidup di luar dan perlu dijaga dan diberi perlindungan.

Besar kemungkinan, mereka juga perlu mendapat perhatian perubatan.

Lantas, jika pengembirian diperlukan, CWS akan melaksanakan program pengembirian kucingnya.

Platformnya seperti program pengambilan haiwan online juga boleh digunakan untuk memberi rumah yang baru bagi kucing-kucing itu.



"CWS juga akan membiayai pengembirian kucing peliharaan bagi keluarga yang tidak mampu untuk menanggung kos," kata Cik Stephanie.

SPCA pula akan menyediakan tempat perlindungan untuk haiwan peliharaan yang diabaikan.

"Haiwan-haiwan ini apabila di SPCA akan diperiksa untuk apa-apa penyakit dan dikembirikan sebelum diletakkan untuk pemeliharaan. Kami juga akan menyiasat kes-kes pengabaian ini dan merujukkannya kepada pihak berkuasa," menurut Cik Khasheqin.

Di samping itu, SPCA juga akan kerap mengadakan kempen untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan para pemilik haiwan peliharaan.

Pihak SPCA juga menekankan bahawa pengabaian haiwan peliharaan adalah satu perbuatan "kejam dan menyakitkan" dan ia adalah satu jenayah.

Di bawah Akta Haiwan dan Unggas, sesiapa yang didapati bersalah mengabaikan haiwan peliharaan mereka boleh dikenakan denda sebanyak $10,000 atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

SPCA juga akan berusaha untuk membantu mereka di luar sana yang menghadapi cabaran untuk menjaga haiwan kesayangan mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan