Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Trend belia jadi radikal di SG 'membimbangkan'; 9 ditangani di bawah ISA sejak 2015: Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
Trend belia jadi radikal di SG 'membimbangkan'; 9 ditangani di bawah ISA sejak 2015: Shanmugam

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam bercakap kepada para wartawan pada 1 Feb 2023. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Sejak 2015, Singapura menangani sembilan remaja yang menjadi radikal di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam menyifatkan trend tersebut sebagai "membimbangkan".

Perangkaan tersebut termasuk kes terbaru itu, seorang penyokong ISIS berusia 18 tahun, yang ditahan pada Disember tahun lalu setelah dia merancang untuk menyerang beberapa sasaran seperti sebuah kem tentera Singapura dan sebuah tapak perkuburan di sebuah masjid.
 
Daripada sembilan remaja tersebut, enam ditahan. Tiga yang lain dikenakan perintah sekatan, yang tidak membenarkan mereka untuk melakukan perjalanan ke luar Singapura dan menukar alamat atau pekerjaan mereka, tanpa kelulusan.

Mereka juga tidak dibenarkan untuk menggunakan Internet atau media sosial, mengeluarkan kenyataan awam, berucap di mesyuarat awam atau mencetak, mengedar atau menyumbang kepada sebarang penerbitan tanpa kelulusan.

Bercakap kepada para wartawan pada Rabu (1 Feb), Encik Shanmugam menyuarakan kebimbangannya terhadap trend yang melibatkan golongan muda menjadi radikal secara sendiri.

"Sejak 2015 - genap tujuh tahun lalu - kami telah menangani tujuh individu muda, berusia 20 tahun ke bawah, di bawah ISA. Jadi, ya, ia merupakan satu trend yang membimbangkan," kata beliau.

"Tiga kes baru-baru ini yang kami kesan kesemuanya belia lelaki, yang menjadi radikal online."

Pada Mac 2021, seorang belia berusia 20 tahun ditahan di bawah ISA selepas dia membuat rancangan dan persiapan secara terperinci untuk melaksanakan serangan bersenjatakan pisau terhadap penganut Yahudi di Saumaah Maghain Aboth.

Dalam satu kes lagi, seorang pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun ditahan pada Disember 2020. Dia merancang untuk menyerang penganut Islam di dua masjid di Singapura menggunakan parang.

"Kami tidak suka perangkaan tersebut - sembilan sejak 2015 - tetapi berbanding dengan negara-negara lain, ia adalah sangat kecil," ujar Encik Shanmugam.

Beliau memuji masyarakat Melayu-Islam di Singapura atas pendirian kukuh dan jelas terhadap keganasan, yang menyumbang kepada jumlah tahanan sedemikian yang berdasarkan perbandingan adalah rendah.

"Saya fikir kebanyakan orang di Singapura memahami bahawa tidak kira apa juga agama anda, anda jangan menuju ke arah keganasan," kata beliau.

PEMULIHAN

Memberi kemas kini mengenai sembilan belia yang ditangani di bawah ISA, Encik Shanmugam berkata bahawa kebanyakan daripada mereka mencapai "kemajuan yang baik" dalam proses pemulihan mereka. Beliau malah, mendedahkan bahawa seorang daripada mereka dibebaskan daripada tahanan pada Januari tahun lalu.

Menurut menteri tersebut, semasa dia ditahan, dia menduduki peperiksaan peringkat GCE N dengan bimbingan beberapa pendidik. Setelah dia dibebaskan, dia dapat menuntut di sekolah pilihannya dan terus membuat kemajuan yang baik dalam proses pemulihannya.

Empat lagi sudah kembali ke dalam masyarakat dan tidak lagi berada di bawah sebarang bentuk perintah keselamatan dalam negeri.

Di bawah pendekatan pemulihan tersebut, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) bekerja rapat dengan rakan-rakannya untuk membantu para belia yang menjadi radikal, agar menghindarkan diri daripada keganasan dan melakukan perkara bermakna dalam kehidupan mereka menerusi kaunseling keagamaan dan sokongan psikologi sosial.

"Kami menyelamatkan mereka daripada memusnahkan kehidupan mereka dan orang lain dan pada masa yang sama, memberi makna kepada kehidupan mereka," kata Encik Shanmugam.

Remaja berusia 18 tahun, Muhammad Irfan Danyal Mohamad Nor, yang ditahan pada Disember lalu, juga akan melalui proses pemulihan.

Encik Shanmugam menambah bahawa ISD sudahpun membuat aturan dengan sekolah remaja itu untuk membolehkannya meneruskan pendidikannya dan supaya dia dapat menduduki peperiksaan ketika ditahan.

Sekarang ini, 16 individu masih ditahan di bawah ISA.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan