Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Transformasi kepimpinan MUIS, MENDAKI adalah langkah bina lapisan kepimpinan kukuh

Transformasi kepimpinan dua badan Melayu/Islam - MUIS dan MENDAKI yang diumumkan pada Khamis (9 Jan) adalah satu langkah membina lapisan kepimpinan yang lebih kukuh. Ini agar masyarakat Muslim di sini disediakan dengan pengalaman dan sumber-sumber baru daripada barisan kepimpinan yang terlatih. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Transformasi kepimpinan dua badan Melayu/Islam - MUIS dan MENDAKI yang diumumkan pada Khamis (9 Jan) adalah satu langkah membina lapisan kepimpinan yang lebih kukuh. Ini agar masyarakat Muslim di sini disediakan dengan pengalaman dan sumber-sumber baru daripada barisan kepimpinan yang terlatih.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli berkata demikian hari ini (10 Jan) sebagai responsnya menyusuli pelantikan Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir selaku Mufti Negara, serta Cik Zuraidah Abdullah yang kembali menggalas tanggungjawab CEO Yayasan MENDAKI.

Ditemui pihak media petang tadi semasa satu acara, Encik Masagos Zulkifli berkata penggantian kepimpinan MUIS dan MENDAKI memberi penanda bahawa dua institusi penting bagi masyarakat Muslim itu sentiasa memikirkan tentang pembaharuan untuk masyarakat.

Malah Encik Masagos menambah, transformasi itu bukan sesuatu yang janggal, sebaliknya seiring dengan apa yang selalunya dipraktikkan dalam setiap pengurusan besar.

Namun lebih penting lagi Encik Masagos menarik perhatian perubahan pucuk kepimpinan itu adalah satu strategi untuk membina lapisan kepimpinan berkaliber.

"Kita mesti harus ada lapisan bakat-bakat dalam setiap institusi kita, apakah itu MUIS ataupun MENDAKI jadi dalam kita membina lapisan bakat tersebut kita juga harus memberi isyarat bahawa kepimpinan akan berubah dan mereka yang ada di bawah akan diberi peluang untuk naik ke atas," kata Encik Masagos.

DR FATRIS TOKOH BANGUNKAN BIDANG AGAMA S'PURA

Mengulas tentang sumbangan Mufti Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram selama sembilan tahun memimpin MUIS, Encik Masagos berkata beliau merupakan tokoh yang sudah membangunkan bidang keagamaan Singapura, khususnya menerusi pembangunan asatizah tempatan.

Menerusi pelibatan beliau dalam Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Ustaz Dr Fatris berjaya membangunkan golongan asatizah yang diyakini.

Encik Masagos berkata: "Ini adalah hasil kerja kuat Mufti Dr Fatris bersama jajaran di Pejabat Mufti, mendapat kepercayaan para asatizah supaya mereka menyelaraskan pandangan, haluan tuju demi kebaikan umat di Singapura"

PUJI KEPIMPINAN RAHAYU BUANG SELAMA 3 TAHUN

Dalam pada itu, Encik Masagos turut memuji MENDAKI di bawah kepimpinan Cik Rahayu Buang selama tiga tahun.

Cik Rahayu katanya bukan sahaja berjaya memperluaskan program-program MENDAKI. Lebih dari itu beliau juga memperkukuhkan lagi rangka kerja M³.

"Puan Rahayu semasa saya mengambil alih telah menjalankan banyak penggubalan dalam program-program yang dijalankan oleh MENDAKI. Antara lain adalah mengembangkan lagi program-program induk seperti KMM (KelasMateMatika) di mana suatu waktu dahulu mungkin hanya 300 peserta yang dapat memanfaatkannya.

"Tetapi dengan beliau, beliau telah berjaya memanfaatkan rangkaian M³ untuk menggandakannya hingga lebih 1,200," jelas Encik Masagos.

Cik Rahayu akan kembali berkhidmat di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Dalam pada itu, Cik Rahayu Buang yang ditemui di acara yang sama, melahirkan penghargaan diberi peluang selama tiga tahun untuk menerajui badan bantu diri itu.

Beliau melihat sendiri dedikasi para kakitangan bekerja rapat dengan keluarga-keluarga Melayu dan percaya usaha seperti itu penting untuk terus dapat mendampingi masyarakat.

"Pengalaman ini juga memberi saya pelajaran tentang bagaimana pentingnya agensi-agensi masyarakat bekerjasama dengan agensi-agensi Pemerintah di mana kita sama-sama boleh membantu dan mengeratkan lagi kerjasama untuk memberikan khidmat yang terbaik untuk keluarga," kata Cik Rahayu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan