Tragedi serangan Christchurch: Rakyat S'pura Rashid Omar, Hamimah Tuyan bersuara
Serangan tembakan tidak berperikemanusiaan yang berlaku semasa solat Jumaat di Masjid Al Noor, New Zealand pada 15 Mac tahun lalu masih segar di ingatan rakyat Singapura Encik Rashid Omar.

Encik Rashid Omar dan Cik Hamimah Tuyan. (Gambar: Petikan skrin dari video/YouTube)
NEW ZEALAND: Serangan tembakan tidak berperikemanusiaan yang berlaku semasa solat Jumaat di Masjid Al Noor, New Zealand pada 15 Mac tahun lalu masih segar di ingatan rakyat Singapura Encik Rashid Omar.
Anak beliau Tariq Rashid, 24 tahun, merupakan salah seorang mangsa yang ditembak mati oleh Brenton Tarrant.
Semasa Allahyarham disahkan meninggal dunia di hospital, Encik Rashid cuba tabahkan hati dan kuatkan semangat demi keluarganya.

Namun, pada Selasa (25 Ogos), apabila beliau bersama keluarga mangsa lain berdiri di Mahkamah Tinggi di Christchurch untuk bersemuka dengan pembunuh anaknya, Encik Rashid, mengaku tidak dapat menahan sebak, menurut NZ Herald.
"Saya tidak akan memaafkan apa yang kamu sudah lakukan," katanya kepada Tarrant.
"Hancur betul hati saya," tambah Encik Rashid merujuk kepada kematian anaknya Tariq.
Tarrant, 29 tahun, mengaku bersalah atas 51 pertuduhan membunuh, 40 cubaan bunuh dan satu pertuduhan keganasan di dua dua masjid di Christchurch, pada 15 Mac 2019.
Dia juga tidak menunjukkan sebarang emosi ketika semua ahli keluarga mangsa membaca kenyataan mereka.
IBU TARIQ MASIH BERDUKA DENGAN KEHILANGAN ANAKNYA
Ibu Tariq, warga New Zealand Cik Rosemary, menurunkan Allahyarham Tariq di Masjid Al Noor pada hari yang dianggap paling malang di New Zealand itu.

Allahyarham Tariq Rashid.
Beliau sedang meletakkan keretanya apabila anak sulungnya itu ditembak mati oleh Tarrant.
"Saya terpaksa menanggung penderitaan kehilangannya setiap hari... Saya terpaksa menjalani hidup dan berfungsi selangkah demi selangkah... Keluarga kami terus dibayangi kematian Tariq," kata beliau kepada NZ Herald.
"Ada ruang kosong dalam hati saya, rasa sedih dan kehilangan dalam hidup kami," luahnya.
Allahyarham Tariq seorang ahli sukan dan pemain bola sepak aktif di sebuah kelab bola sepak di Christchurch. Allahyarham juga seorang yang amat prihatin dan gemar membantu kanak-kanak serta mencintai haiwan.
"SAYA TIDAK AKAN MAAFKAN ANDA"
Encik Rashid juga berkongsi bersama NZ Herald, buat satu tempoh masa yang panjang, beliau tidak dapat berfungsi mahupun menjalankan tugas dengan selamat selepas kematian Tariq.
Beliau juga masih tidak dapat tidur lena dan kerap memikirkan bagaimana untuk melalui hari-hari selanjutnya.

"Anda telah mengambil sesuatu daripada saya dan ia merubah kehidupan saya selama-lamanya," katanya.
Encik Rashid berkata tindakan penyerang itu gagal menyebarkan kebencian dan memecahbelahkan masyarakat, tetapi membawa negara itu bersatu dan menjadikan dunia lebih sedar tentang Islam.
Meskipun beliau akur tidak akan pernah tahu sebab di sebalik tindakan Tarrant, beliau akan meneruskan kehidupan dengan mengenang kembali masa-masa gembira bersama Allahyarham.
"Saya tahu satu hari nanti kami semua akan bersama semula. Buat masa ini beginilah kehidupan saya. Saya akan menanti setiap hari untuk melihat Tariq lagi. Kami akan menjadi sebuah keluarga semula," kata Encik Rashid.
Meskipun beliau mahu melihat Tarrant menemui kedamaian di hati, Encik Rashid memberitahunya: "Saya tidak akan dapat memaafkan anda."
HAMIMAH TERBANG KE NZ UNTUK BERI KENYATAAN
Bagi seorang lagi rakyat Singapura, Cik Hamimah Tuyan, suaminya, Allahyarham Zekeriya, juga salah seorang daripada mangsa serangan tembakan di Christchurch tahun lalu.
Cik Hamimah, seorang ahli terapi pertuturan dan bahasa di Singapura, terbang sejauh 8,500 kilometer dari negara ini ke New Zealand untuk memberi kenyataan tentang kesan terhadap mangsa di mahkamah sebelum hukuman terhadap Tarrant dijatuhkan.

Beliau bercakap dengan BBC dari sebuah hotel kuarantin di New Zealand pada Ahad (23 Ogos).
"Pada mulanya saya enggan menulis kenyataan impak mangsa kerana dia akan membaca dan saya tidak mahu dia berpuas hati dengan apa yang dia sudah lakukan ke atas keluarga kami.
"Kenapa harus kita memberinya perhatian?
"Tetapi akhirnya, ia bergantung kepada kami sebagai mangsa untuk memanfaatkan peluang ini untuk menyesuaikannya kepada agenda kami.
"HAMPIR MEMAAFKAN"
Apabila ditanya tentang sama ada Cik Hamimah sudah memaafkan pembunuh suaminya itu, beliau memberitahu BBC bahawa sikap itu salah satu daripada tiga pilihan yang diberikan Islam.

Allahyarham Zekeriya. (Gambar-gambar: Petikan skrin dari YouTube)
"(Sifat memaafkan) itulah yang diberikan kepada kami, iaitu yang terbaik untuk kita sembuh.
"Secara jujur, saya hampir (memaafkan) dia, tetapi saya juga mahu orang ramai faham bahawa memaafkan bukan bermakna kita hilang pentadbiran undang-undang atau keadilan.
"Saya hampir (memaafkan) dia, tetapi saya belum lagi mencapainya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.