Trafik sesak dijangka di pusat pemeriksaan SG-Malaysia jelang cuti sekolah Sep
Aliran trafik yang sesak semasa cuti sekolah September dijangkakan di kedua-dua pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas.
Aliran trafik yang berterusan dan sesak dijangkakan di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas semasa cuti sekolah September. (Gambar fail: CNA/Hanidah Amin)
Para pengunjung boleh menjangkakan tempoh menunggu yang lebih lama bagi melepasi pemeriksaan imigresen dari 5 September hingga 15 September, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Isnin (1 Sep).
Orang ramai turut dinasihatkan supaya meninjau keadaan trafik di pusat pemeriksaan darat sebelum memulakan perjalanan.
“Mereka yang perlu melakukan perjalanan semasa tempoh sesak ini boleh menimbangkan untuk menaiki perkhidmatan bas rentas sempadan bagi mengelakkan kesesakan,” menurut ICA.
“Para pelawat juga digalakkan untuk menggunakan kod QR yang dijana daripada aplikasi mudah alih MyICA bagi memudahkan pelepasan imigresen tanpa pasport.”
Bagaimanapun, ICA menambah bahawa pasport tetap perlu dibawa kerana ia mungkin diperlukan di luar negara.
Hampir dua juta pengunjung melepasi pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas semasa cuti hujung minggu Hari Kebangsaan baru-baru ini dari 8 Ogos hingga 11 Ogos, menurut ICA.
Jumlah pengunjung mencapai paras tertinggi pada 8 Ogos, dengan lebih 558,000 orang melepasi imigresen di pusat pemeriksaan darat dalam tempoh sehari.
Mereka yang melakukan perjalanan dengan menaiki kereta semasa waktu sibuk perlu menunggu sehingga tiga jam untuk melepasi imigresen, disebabkan kesesakan trafik dari Malaysia.
ICA turut mengingatkan para pelancong supaya memastikan pasport mereka mempunyai tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan.
Semua pelawat jangka pendek, termasuk mereka yang memegang kelulusan prinsip bagi pas jangka panjang, mesti menyerahkan Kad Ketibaan Singapura dengan pengisytiharan kesihatan melalui aplikasi MyICA dalam tempoh tiga hari sebelum tiba di Singapura.
Penduduk tetap Singapura yang sudah memperbaharui pasport juga harus memastikan permit masuk semula (re-entry permit) turut dipindahkan ke dokumen baharu mereka.
Pemegang pas jangka panjang juga diwajibkan memberi kemas kini kepada ICA atau Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berhubung sebarang perubahan pada butiran pasport mereka sebelum masuk semula ke Singapura.
Pemandu turut diingatkan supaya memastikan Permit Masuk Kenderaan (VEP) mereka masih sah.
Mereka yang tidak memiliki kad Autopass yang sah, emel kelulusan VEP daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), atau insurans yang sah akan ditolak.
Pelawat juga dinasihatkan supaya membayar segala saman yang tertunggak dengan agensi pemerintah berkaitan, kerana mereka yang mempunyai saman tidak berbayar boleh ditolak masuk ke Singapura.
ICA turut menegaskan bahawa barang larangan dan terkawal tidak boleh dibawa masuk ke negara ini.
“Kami memohon kerjasama para pelawat supaya mematuhi arahan pegawai ICA, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengekalkan disiplin lorong,” menurut pihak berkuasa itu.
“ICA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelawat yang mengingkari arahan pegawai dan melakukan kesalahan di pusat pemeriksaan.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.