Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Trafik penumpang Changi bagi suku ketiga 2022 cecah 58.1% paras sebelum pandemik

Anggaran Waktu Membaca:
Trafik penumpang Changi bagi suku ketiga 2022 cecah 58.1% paras sebelum pandemik

Para penumpang di Lapangan Terbang Changi Terminal 2. (Gambar: CNA/Hanidah Amin)

SINGAPURA: Lapangan Terbang Changi mengendalikan 10 juta penumpang pada suku ketiga tahun ini, mencecah 58.1 peratus daripada paras sebelum pandemik, menurut Changi Airport Group (CAG) pada Sabtu (29 Okt).

Dalam kenyataan medianya, CAG menambah bahawa pergerakan penumpang bagi pasaran sumber terbesarnya iaitu Asia Tenggara, menjangkaui 60 peratus daripada paras sebelum pandemik buat julung-julung kalinya.

Ia juga menyaksikan 61,100 pergerakan pesawat atau 63.7 peratus daripada paras sebelum pandemik sepanjang suku tersebut.

Perangkaan itu termasuk ketibaan dan keberangkatan pesawat di lapangan terbang tersebut.

Lapangan Terbang Changi mencatatkan 3.42 juta penumpang pada September, iaitu 62.6 peratus daripada paras trafik sebelum pandemik pada bulan yang sama pada tahun 2019.

Sebanyak 20,400 pergerakan pesawat dicatatkan pada bulan yang sama, iaitu 65.6 peratus daripada paras yang dilaporkan pada September 2019, menurut CAG.

Australia, Malaysia, Indonesia, India dan Thailand merupakan pasaran trafik utama bagi suku tersebut.

CAG juga menambah bahawa trafik penumpang bagi perjalanan ulang-alik ke Amerika Utara "terus meningkat ke paras sebelum pandemik, dipacu oleh permintaan yang kukuh dan peningkatan pada kekerapan khidmat penerbangan Singapore Airlines dan United Airlines".

Pengarah Urusan CAG bagi Pembangunan Hab Udara, Lim Ching Kiat menjangkakan Lapangan Terbang Changi akan mengendalikan 80 peratus penerbangan daripada paras sebelum pandemik menjelang hujung tahun ini.

Ini sedang lebih banyak sempadan dibuka semula dan perjalanan udara semakin bertambah rancak.

"Bulan ini juga menandakan satu peristiwa penting bagi Lapangan Terbang Changi, dengan kesemua empat terminal beroperasi selepas lebih dua tahun," tambah Encik Lim.

Pergerakan muatan udara adalah 470,000 tan bagi tempoh antara Julai hingga September, turun 6 peratus berbanding setahun lalu.

Pada September lalu, muatan udara merosot sebanyak 10 peratus berbanding setahun lalu, mencatatkan 154,000 tan.


Pasaran utama untuk muatan udara bagi suku ini adalah China, Hong Kong, Australia, Amerika Syarikat dan Jepun.

Menurut CAG, 89 syarikat penerbangan mengendalikan lebih 4,800 penerbangan berjadual setiap minggu di Lapangan Terbang Changi setakat 1 Oktober, menghubungkan Singapura dengan lebih 130 bandar di 48 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan