Skip to main content

Singapura

Trafik menghala ke Johor sesak sehingga jalan susur keluar di Woodlands Ave 3

Anggaran Waktu Membaca:
Trafik menghala ke Johor sesak sehingga jalan susur keluar di Woodlands Ave 3

(Gambar: LTA)

Diterbitkan : 07 Apr 2023 08:02AM Dikemas Kini : 07 Apr 2023 08:29AM

SINGAPURA: Kesesakan trafik menghala ke Koswe Woodlands untuk ke Johor Bahru pagi ini, panjang menjalar sehingga sebelum jalan susur keluar 10B BKE di Woodlands Avenue 3.

Demikian menurut kemas kini Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Facebooknya setakat pukul 7.16 pagi hari ini (7 Apr).

Menurut pemerhatian BERITAmediacorp di aplikasi Checkpoint.sg, perjalanan dari Koswe Woodlands ke Johor Bahru dianggarkan mengambil masa sekurang-kurangnya empat jam.

Kesesakan ini sudah dijangkakan oleh ICA pada Khamis (30 Mac) disebabkan perayaan Qing Ming dan hujung minggu Good Friday.

"Kelengahan dijangkakan dan para pelawat harus menimbangkan masa tambahan bagi pelepasan imigresen. Para pemandu diingatkan supaya mematuhi disiplin lorong dan memberikan kerjasama kepada para pegawai di lokasi.

"Para pelawat dinasihatkan supaya memeriksa keadaan trafik sebelum memulakan perjalanan dan mengikuti Facebook ICA bagi lebih banyak kemas kini," menurut ICA di lamannya hari ini.

Sementara itu, keadaan trafik di Pusat Pemeriksaan Tuas kelihatan lengang setakat pukul 7.20 pagi, dengan tempoh pelepasan untuk masuk ke Johor Bahru dianggarkan antara 15 dengan 25 minit, menurut Checkpoint.sg.

Sekalipun demikian, menurut perkongsian di media sosial oleh orang ramai yang tersangkut dalam kesesakan trafik di Linkedua itu pada Khamis malam (6 Apr), masa perjalanan untuk melepasi kastam mencecah hampir lapan jam. 

Aplikasi Beat The Jam, menunjukkan tempoh perjalanan untuk melepasi imigresen ke Johor Bahru dari Tuas pada 6 April mencapai kemuncaknya, iaitu melebihi lapan jam, sekitar pukul 8.00 malam. Begitu juga bagi trafik menghala ke Johor Bahru dari Koswe semalam.

Trafik pulang ke Singapura semalam turut mengalami kesesakan antara pukul 4.00 petang hingga 6.00 petang, dengan tempoh perjalanan sekitar dua jam dari Kompleks CIQ Johor melalui Koswe. Sementara ia mengambil masa antara satu dengan dua jam untuk melepasi pusat pemeriksaan di Tuas dari CIQ Linkedua.

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita