Skip to main content

Singapura

Trafik dijangka sesak di pusat pemeriksaan darat jelang Deepavali; tahap keselamatan diperketat: ICA

Anggaran Waktu Membaca:
Trafik dijangka sesak di pusat pemeriksaan darat jelang Deepavali; tahap keselamatan diperketat: ICA

Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 29 Sep 2023. (Gambar fail: CNA/Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 06 Nov 2023 12:50PM Dikemas Kini : 06 Nov 2023 12:51PM
SINGAPURA: Para pemandu boleh menjangkakan pergerakan lalu lintas yang sangat sesak di Pusat Pemeriksaan Tuas dan Woodlands pada hujung minggu panjang Deepavali, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Isnin (6 Nov).

Deepavali jatuh pada hari Ahad, bermakna Isnin, 13 Nov, adalah cuti umum.

Memandangkan cuti sekolah akhir tahun sudahpun bermula bagi sesetengah pelajar, lalu lintas yang sangat sesak boleh dijangkakan dari Khamis hingga 14 Nov, dedah ICA dalam maklumannya.

Para pelawat juga boleh menjangkakan masa menunggu yang lebih lama di tengah-tengah tahap keselamatan yang diperketatkan.

"Memandangkan keadaan di Timur Tengah masih bergolak, ICA telah meningkatkan langkah-langkah keselamatan di pusat-pusat pemeriksaan," menurut penguasa tersebut.

Para pelawat dinasihatkan supaya mengambil kira masa menunggu tambahan untuk pelepasan imigresen.

"Kami memohon persefahaman dan kerjasama para pelawat untuk bersabar, mematuhi peraturan lalu lintas, menjaga disiplin lorong dan bekerjasama dengan para pegawai di lokasi apabila menggunakan pusat pemeriksaan darat."

Para pemandu juga boleh memeriksa keadaan lalu lintas di pusat-pusat pemeriksaan sebelum memulakan perjalanan. Mereka boleh berbuat demikian melalui laman web One Motoring Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

"Para pemandu yang menggunakan pusat pemeriksaan darat harus mengelak daripada memotong barisan kerana ia boleh menyebabkan kesesakan yang teruk dan menjejas keselamatan pemandu lain," menurut pihak berkuasa.

"ICA sedang bekerjasama dengan Polis Trafik untuk menjaga disiplin jalan raya di persimpangan kritikal dan jalan-jalan yang menghala ke pusat-pusat pemeriksaan darat. Para pemandu yang memotong barisan akan diarahkan supaya beratur semula.

"Dalam kejadian baru-baru ini pada 15 Okt 2023, ICA bertindak sedemikian terhadap empat kereta di Pusat Pemeriksaan Tuas kerana memotong barisan ketika memasuki Singapura."

Dalam maklumannya, ICA turut mendedahkan bahawa hujung minggu Hari Kanak-Kanak dari 6 Okt hingga 8 Okt menyaksikan lebih 1.27 juta orang menggunakan pusat-pusat pemeriksaan darat.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita