Trafik di pusat pemeriksaan darat SG-Malaysia dijangka sesak sempena cuti NDP2025
Para pemandu dan pelawat boleh menjangkakan kesesakan lalu lintas di pusat-pusat pemeriksaan darat Singapura dan Malaysia semasa cuti hujung minggu sempena Hari Kebangsaan, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Selasa (5 Ogos).
Gambar fail Koswe Johor-Singapura. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
Dari 8 hingga 10 Ogos, para pelawat harus menjangkakan masa menunggu yang lebih lama untuk melepasi imigresen.
Hari Kebangsaan Singapura jatuh pada Sabtu, 9 Ogos.
"ICA menasihatkan para pemandu dan pelawat supaya memeriksa dan memantau keadaan trafik di pusat pemeriksaan darat sebelum memulakan perjalanan," menurut pihak berkuasa.
Mereka yang perlu ke seberang tambak semasa waktu sibuk boleh menimbangkan untuk menaiki bas rentas sempadan bagi mengelak kesesakan, tambah kenyataan ICA.
"Kami juga memohon pemahaman para pelawat untuk bekerjasama dengan pegawai ICA, mematuhi peraturan lalu lintas dan menjaga disiplin lorong," menurut ICA, sambil menambah bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan tersebut.
Semasa cuti sekolah Jun lalu, secara purata 525,000 pelawat melintasi pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas iaitu kenaikan hampir 10 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Pada 20 Jun lalu, rekod baharu dicatatkan selepas 578,000 pelawat melintasi kedua-dua pusat pemeriksaan darat.
Jumlah itu mengatasi lebih 562,000 pelawat yang melintasi kedua-dua pusat pemeriksaan pada Disember lalu, menurut ICA.
"Para pemandu yang melakukan perjalanan semasa waktu sibuk perlu menunggu sehingga tiga jam untuk melepasi imigresen disebabkan oleh kesesakan trafik di Malaysia."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.