Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tradisi anyam ketupat akan luput jika tidak diwarisi generasi muda

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mula belajar menganyam ketupat dari usia 24 tahun lagi, tradisi yang diamalkan hampir 40 tahun lamanya itu jelas sebati dengan naluri Cik Noormah Abdul Wahab.

Beliau kini hanya mengambil masa kurang 3 minit sahaja untuk menganyam satu kelongsong ketupat!

Bagi Cik Noormah, 62 tahun, ia sudah menjadi amalan setiap tahun untuk menyiapkan makanan tradisi setiap Raya.

--

Sambutan Hari Raya Aidilfitri rasanya tidak lengkap jika tidak ada sajian ketupat.

Ia biasanya akan disajikan dengan aneka lauk-pauk pendamping seperti rendang, sambal tumis udang dan lain-lain lagi.

Tahun ini juga lebih istimewa kerana ini kali pertama selepas dua tahun Hari Raya dapat disambut dengan penuh meriah dek COVID-19.

KETUPAT PULUT JUADAH ISTIMEWA

Antara keistimewaan ketupat yang disediakan Cik Noormah adalah penggunaan pulut dan bukannya beras - hasilnya ialah Ketupat pulut!

Menurutnya, ia adalah cara tradisi keluarganya membuat ketupat menggunakan pulut, memandangkan mereka sekeluarga memang gemar makan pulut.

"Dari generasi ke generasi, kita hanya makan ketupat berisi pulut. Pulut ini rasa lemak. Kita akan letak daun pandan, garam dan rasanya cukup semuanya," kongsi Cik Noormah mengenai keunikan ketupat pulut.

--

Dengan bantuan suaminya, Encik Mohamed Juhari Sudiman, beliau akan menganyam sekurang-kurangnya 150 biji ketupat setiap tahun.

Bagi memudahkan proses memasak ketupat pulut itu, beliau akan merebus sekitar 15 biji ketupat pulut itu di dalam periuk nasi selama 30 minit, dan proses itu akan diulangi sehingga kesemua ketupat itu sudah habis direbus.

GENERASI MUDA DIGALAK BELAJAR ANYAM KETUPAT; LESTARIKAN WARISAN

Dalam pada itu, Cik Noormah menekankan pentingnya mengekalkan warisan menganyam ketupat kerana malangnya kini ramai orang muda yang tidak tahu.

Menurutnya, hanya seorang anaknya yang pandai menganyam, manakala dua lagi tidak minat untuk mempelajarinya kerana berpendapat ia sesuatu yang rumit dan mengambil masa yang lama.

Lantaran itu, beliau menyifatkannya sebagai sesuatu yang rugi.

--

Kata Cik Noormah: "Kalau tidak ada pengganti, tradisi menganyam ketupat akan luput dan akhirnya kita sendiri akan rugi kerana ia adalah satu warisan turun-temurun daripada nenek kita."

Tambah beliau, generasi muda kini juga boleh memanfaatkan wadah online untuk mempelajari cara menganyam ketupat.

Bak pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Selain lebih muai menganyam ketupat sendiri, kepuasan yang diraih daripada menganyam ketupat sendiri juga tidak ternilai.

Apabila ditanya jika beliau pernah membeli ketupat yang sudah siap, ini jawapannya:

"Cik tak pernah beli 'instant' sebab cik tak yakin ketupat itu boleh tahan sampai pagi raya ataupun malam raya. Sebab kadang-kadang lendir, basah. Jadi kalau kita sendiri yang masak, semuanya akan cantik dan boleh dimakan," ujar Cik Noormah.

Tahun ini Cik Noormah akan menyediakan sebanyak 150 biji ketupat bagi menyambut Lebaran bersama anak menantu serta enam cucunya.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan