Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

TraceTogether, SafeEntry tidak lagi diperlukan di kebanyakan tempat mulai 26 Apr

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Apr 2022 08:28PM Dikemas Kini : 22 Apr 2022 11:16PM

SINGAPURA: Singapura akan mengurangkan penggunaan sistem pengesanan kontak TraceTogether dan SafeEntry. 

Demikian menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Jumaat (22 Apr) semasa sidang media maya Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi COVID-19. 

Mulai 26 Apr, syarat masuk berdasarkan langkah pengurusan keselamatan Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS) tidak lagi diperlukan dalam semua keadaan  kecuali bagi acara yang mempunyai lebih 500 peserta pada satu-satu masa, di tempat hiburan malam yang mana pelanggan boleh menari dan juga di tempat makanan dan minuman (F&B). 

Pihak berkuasa juga akan berhenti mengeluarkan Notis Risiko Kesihatan (HRN), kata Encik Ong. Ia adalah antara   pelonggaran sekatan COVID-19 yang diumumkan jawatankuasa tersebut. 

"Sedang VDS tidak lagi diperlukan di pelbagai tempat seperti pusat beli-belah, pasar raya, tempat ibadah, pemilik premis tersebut boleh hentikan operasi SafeEntry mereka," ujar Encik Ong. 

"Namun, di mana VDS masih dikuatkuasakan, pemeriksaan masuk SafeEntry masih diperlukan untuk mengesahkan status vaksinasi dan ujian peserta." 

Bagi restoran, kedai kopi dan pusat penjaja, VDS masih dilaksanakan, namun tiada pemeriksaan masuk SafeEntry diperlukan. Sebaliknya, akan ada pemeriksaan secara rambang terhadap individu-individu oleh kakitangan dan pegawai penguat kuasa. 

Ini sudah dilaksanakan pusat-pusat penjaja dan kedai kopi, dan akan dilanjutkan kepada restoran. 

"Pelanggan sekarang bertanggungjawab untuk memastikan mereka sudah lengkap divaksin sebelum makan di tempat F&B," katanya. 

Encik Ong berkata ini akan mengurangkan kos operasi dan satu lagi "langkah psikologi yang penting" untuk terus menjalani hidup seperti biasa. 

Beliau juga berkata memandangkan HRN tidak akan dikeluarkan lagi,pesakit COVID-19 tidak lagi perlu memuat naik data TraceTogether mereka mulai 26 April. 

"Kami akan mengurangkan penggunaan TraceTogether sebagai alat pengesanan kontak," kata Encik Ong. 

Namun, beliau menggesa orang ramai supaya terus mengekalkan aplikasi dan menyimpan token TraceTogether mereka sekiranya ada varian baru yang timbul dan langkah VDS perlu dilaksanakan semula.

"Memandangkan masih terdapat risiko, kami tidak harus mengisytiharkan 'Hari Kebebasan' sehingga pandemik benar-benar berlalu sepenuhnya. Sebaliknya, kita akan mengurangkan dan bukan memansuh langkah-langkah sepenuhnya," katanya. 

"Dengan memastikan   tahap berjaga-jaga dikekalkan, kita mengingatkan diri sendiri bahawa pandemik belum berlalu dan kita mempunyai boleh laksanakan semula langkah-langkah tertentu jika perlu" .

Encik Ong berkata pendekatan ini dijangka kekal buat beberapa bulan, sekiranya kedaan terus stabil. 

MOH juga menyatakan data yang dijana menerusi TraceTogether atau SafeEntry mungkin akan terus digunakan oleh pegawai polis dan pegawai penguat kuasa undang-undang untuk prosiding dan siasatan jenayah bagi kesalahan-kesalahan serius. 

MOH juga menyatakan ia akan berhenti menjalankan Ujian Pantas Antigen masyarakat secara percuma dan ujian Jangkitan Akut Pernafasan pada hujung minggu. 

Sedang jumlah kes jangkitan merosot dan tekanan ke atas Klinik Persediaan Kesihatan Awam (PHPC) semakin berkurangan, ujian percuma dihentikan mulai 26 April. Ujian ART berbayar masih disediakan untuk orang ramai di pusat-pusat ujian, klinik GP atau penyedia tele-ART. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan