TraceTogether, SafeEntry terus digunakan sehingga COVID-19 'bukan lagi epidemik': Janil Puthucheary
SINGAPURA: Langkah-langkah jejak kontak menggunakan TraceTogether dan SafeEntry, akan diteruskan sehingga pihak berkuasa Singapura yakin bahawa COVID-19 "bukan lagi satu wabak", kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary di Parlimen pada Khamis (3 Mac).
"Kita perlu tunggu sehingga kita tidak lagi memerlukan langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS). Kita perlu memastikan dahulu pandemik dan COVID-19 bukan lagi epidemik, tetapi endemik," katanya.
"Dan kita belum lagi sampai ke tahap itu lagi."
Dr Puthucheary menjawab pertanyaan Encik Leon Perera (WP - Aljunied) di Parlimen tentang keperluan berterusan TraceTogether dan SafeEntry, dan apakah kriteria yang digunakan Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menyemak langkah-langkah tersebut memandangkan terdapat kos perniagaan terhadap pematuhan tersebut.
TraceTogether dan SafeEntry terus memainkan peranan penting dalam sistem tindak balas pandemik Singapura, kata Dr Puthucheary, yang juga Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan.
Ia membolehkan pemeriksaan pengesahan dilakukan di tempat atau aktiviti di mana VDS berkuat kuasa, selain membolehkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran dan notis risiko kesihatan dengan cepat, tambahnya.
Satu kajian yang dijalankan di United Kingdom (UK) mendapati pendekatan automatik untuk mengesan kontak dapat "menyelamatkan nyawa", katanya.
"Kami mempunyai banyak sebab untuk mempercayai bahawa perkara yang sama itu berlaku di sini. Kajian yang dilakukan di UK, jika kami bandingkan dengan pendekatan di sini, anggarannya ialah antara September 2021 dengan Januari 2022 ... pendekatan jejak kontak yang kami ambil di Singapura mungkin menyelamatkan kira-kira 290 nyawa dan memperlahankan jangkitan bagi kira-kira 144,000 kes," kata Dr Puthucheary.
Beliau menambah bahawa "agak terlalu awal untuk menyatakan" bila pendekatan sedemikian tidak lagi diperlukan.
Mengenai beban pematuhan pula, Dr Puthucheary berkata keadaan itu bukan unik kepada TraceTogether dan SafeEntry atau COVID-19.
Menurut Dr Puthucheary: "Penggunaan tali pinggang keledar adalah beban kos, kita semua melakukannya sekarang selepas berdekad-dekad pendidikan kerana nilainya sudah terbukti. Jadi sebenarnya isunya ialah sama ada pendekatan yang kita ambil sudah membuktikan nilainya atau tidak.. Saya harap anggota tersebut akan bersetuju bahawa ia sudah."
Beliau berkata cara paling mudah, murah dan "kurang membebankan" untuk perniagaan sekarang ialah meneruskan dengan sistem TraceTogether dan SafeEntry, dan bukannya memasang sistem baru untuk mencapai hasil yang diperlukan.
Beliau menambah: "Kami mahu memastikan peraturan dan keperluan yang ditetapkan mudah, dan kami sentiasa menyemak keperluannya. Kami akan terus memudahkan langkah pengurusan selamat kita."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.