TraceTogether akan disemak; mungkin 'dimansuhkan' jika tidak lagi perlu
Kementerian Kesihatan (MOH) akan menyemak semula sejauh mana relevan aplikasi TraceTogether dan langkah-langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi sedang Singapura menunjukkan kemajuan dalam usaha untuk hidup bersama COVID-19.
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) akan menyemak semula sejauh mana relevan aplikasi TraceTogether dan langkah-langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi sedang Singapura menunjukkan kemajuan dalam usaha untuk hidup bersama COVID-19.
Demikian menurut Menteri Kesihatah Ong Ye Kung di Parlimen hari ini (4 Apr).
"Secara keseluruhan, kos-kos dan manfaat TraceTogether berubah-ubah sedang kita terus menunjukkan kemajuan dalam usaha untuk hidup dengan COVID-19" kata Encik Ong semasa menjawab soalan-soalan daripada Anggota Parlimen (AP) mengenai aplikasi pengesanan kontak itu.
"Pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) akan menyemak semula sejauh mana ia relevan dan juga penggunaannya, untuk memansuhkannya apabila ia tidak lagi diperlukan, di samping mengekalkan keupayaan untuk memulakannya semula jika kita berdepan dengan varian yang lebih membimbangkan."
Encik Ong menambah bahawa Kementerian Kesihatan juga akan menyemak semula langkah pengurusan selamat yang dibezakan berdasarkan status vaksinasi bergantung kepada keadaan di hospital.
TIDAK LAGI PERLU PENGESANAN KONTAK UNTUK SETIAP KES POSITIF
MOH tidak lagi perlu bergantung kepada TraceTogether bagi pengesanan kontak untuk orang awam, tambah Encik Ong.
"Kes-kes yang disahkan positif melalui ujian kendiri dan di bawah protokol dua tidak memuat naik data TraceTogether mereka. MOH beri kepercayaan kepada mereka untuk bertanggungjawab dalam memaklumkan kepada kontak rapat mereka serta melaksanakan pemantauan kendiri," kata beliau.
Namun, Encik Ong sedar bahawa agensi-agensi seperti sekolah-sekolah yang "menjaga kes daripada golongan yang mudah terjejas" masih menggunakan aplikasi TraceTogether bagi pengesanan kontak.
KEPERLUAN BAGI VDS DAN SAFEENTRY
Buat masa ini, masih terdapat keperluan bagi SafeEntry dan langkah pengurusan selamat yang dibezakan berdasarkan status vaksinasi, kata Encik Ong.
"SafeEntry adalah cara yang paling mudah untuk memeriksa status vaksinasi seseorang individu. Jika kami memilih untuk memansuhkan VDS, SafeEntry tidak diperlukan lagi," tambah beliau.
Walaupun varian Omicron tidak seteruk varian Delta, individu yang tidak divaksin atau tidak lengkap divaksin lebih mudah untuk jatuh sakit atau sakit teruk jika dijangkiti, kata Encik Ong.
Encik Ong menambah bahawa individu-individu yang memilih untuk tidak divaksin akan membawa padah kepada hospital dari segi beban pesakit, kepada perniagaan dalam melaksanakan pemeriksaan SafeEntry serta agensi penguatkuasaan dalam menjalankan pemeriksaan.
PENDEKATAN LEBIH BERHATI-HATI KEPADA PELONGGARAN SEKATAN
Encik Ong juga menjelaskan bahawa pelonggaran sekatan yang dikuatkuasakan pada 29 Mac dan rangka kerja perjalanan yang dipermudahkan pada 1 Apr adalah langkah yang "muktamad tetapi tersusun dan berhati-hati" oleh pemerintah.
Encik Ong berkata bahawa pelonggaran itu mungkin akan menyebabkan kenaikan dalam kes harian, namun penduduk Singapura dijangka boleh mengatasi masalah tersebut tanpa perubahan yang ketara kepada kesihatan awam.
Encik Ong menekankan bahawa menganggap COVID-19 sebagai penyakit endemik tidak bermakna koronavirus tidak wujud.
"Kami masih perlu terus mengambil langkah berjaga-jaga dan melaksanakan langkah-langkah pengurusan selamat yang sesuai untuk mengurangkan risiko dan kesan COVID-19."
Masih ada ruang untuk menganggap COVID-19 sebagai penyakit endemik kerana virus itu masih terus menular dan berisiko untuk mengubah menjadi varian yang lebih berbahaya, kata Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.