Skip to main content

Singapura

TP, LTA akan permudah proses penilaian perubatan pemandu warga emas teksi, kereta sewa privet

Anggaran Waktu Membaca:
TP, LTA akan permudah proses penilaian perubatan pemandu warga emas teksi, kereta sewa privet
Gambar hiasan.
Diterbitkan : 26 Jan 2026 02:07PM Dikemas Kini : 26 Jan 2026 02:13PM
SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang mengambil langkah untuk mempermudah proses penilaian perubatan bagi pemandu lesen vokasional warga emas.

Ini bagi menangani kekeliruan mengenai bilangan pemeriksaan kesihatan yang perlu mereka jalani.

Pemandu lesen vokasional berusia 65 tahun ke atas dikehendaki oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk menjalani pemeriksaan perubatan setiap tahun.

Sementara itu, Polis Trafik (TP) mewajibkan pemandu berusia 65 tahun ke atas yang memiliki lesen Kelas 2 atau Kelas 3 untuk menjalani pemeriksaan perubatan setiap tiga tahun.


Bagi mereka yang memiliki lesen Kelas 4 atau Kelas 5 - bagi bas dan kenderaan berat - pemeriksaan perubatan perlu dijalani setiap tahun.

“Buat masa ini, sesetengah pemandu lesen vokasional berusia 65 tahun ke atas mungkin tersilap menjalani dua pemeriksaan perubatan apabila mereka menerima surat pemberitahuan daripada kedua-dua TP dan LTA pada tahun-tahun apabila keperluan pemeriksaan perubatan kedua-dua agensi itu bertindih, sedangkan hanya satu pemeriksaan diperlukan,” kata polis dan LTA dalam kenyataan media bersama pada Isnin (26 Jan).

Mulai 2 Februari, pemandu lesen vokasional berusia 65 tahun ke atas hanya akan menerima satu surat pemberitahuan setiap tahun, sama ada daripada TP atau LTA, dan bukannya dua surat berasingan daripada kedua-dua agensi.

Lesen vokasional diperlukan untuk memandu teksi, bas dan kenderaan sewa privet di Singapura.

“Pemandu berusia 65 tahun ke atas yang bukan pemegang lesen vokasional akan terus menerima surat pemberitahuan pemeriksaan perubatan daripada TP,” kata agensi-agensi tersebut.

Mulai 2 Februari, klinik yang menjalankan pemeriksaan perubatan akan menghantar keputusan pemeriksaan secara langsung kepada kedua-dua pihak berkuasa.

“Dengan ini, pemandu tidak lagi perlu mengimbas dan memuat naik laporan perubatan itu sendiri,” menurut TP dan LTA, sambil menambah bahawa pemandu akan menerima pengesahan melalui kiriman SMS selepas keputusan dihantar.

Proses yang dipermudah ini juga dijalankan bagi pemandu lesen vokasional berusia antara 50 hingga 64 tahun, yang dikehendaki menjalani pemeriksaan perubatan setiap dua tahun.

Bagi mereka dengan tarikh pemeriksaan perubatan sebelum 2 Februari, mereka boleh terus mengikuti proses sedia ada.

Pemegang lesen vokasional hanya perlu menjalani satu pemeriksaan menggunakan borang LTA, yang kemudian boleh dikemukakan kepada kedua-dua pihak berkuasa.

Kos pemeriksaan perubatan ditentukan oleh klinik masing-masing, tambah TP dan LTA.
Sumber : CNA/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita