Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

TP jadi institusi pendidikan pertama di SG ada loji ubah minyak masak terpakai jadi biodiesel

Melibatkan para pelajar secara langsung dalam proses merubah minyak masak terpakai menjadi bahan api lebih mesra alam untuk pengangkutan boleh tingkatkan kesedaran dan minat mereka dalam menjaga alam sekitar.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Melibatkan para pelajar secara langsung dalam proses merubah minyak masak terpakai menjadi bahan api lebih mesra alam untuk pengangkutan boleh tingkatkan kesedaran dan minat mereka dalam menjaga alam sekitar.

Ini dapat dilakukan sekumpulan penuntut Politeknik Temasek (TP) dengan adanya loji kimia itu yang baru dilancarkan.

Loji yang terletak di kampus TP di Tampines itu boleh memproses minyak masak terpakai untuk hasilkan bahan api atau biodiesel.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Ini sekali gus menjadikan kampus itu yang pertama di Singapura untuk mempunyai loji seumpama itu yang menepati standard industri.

"Memang Singapura sekarang ke arah ekonomi yang lebih mampan di mana kita dalam loji ini cuba menukarkan bahan yang tidak berharga kepada bahan yang berharga. Seperti minyak masak itu kalau kita boleh ubahkannya kepada biodiesel, ia boleh jadi sumber tenaga alternatif negara.

"Selain daripada itu, kita juga melihat permintaan tenaga kerja berkaitan dengan kemampanan. Melalui loji ini kita dapat melatih para pelajar untuk bekerja dalam tenaga kerja yang berkaitan dengan kemampanan pada masa hadapan," kata Pensyarah dan Pengerusi Domain bagi Teknologi Air, Bong Chee Keong.


Loji yang terletak di aras pertama Blok 2 bangunan Sekolah Sains Gunaan itu terbahagi kepada empat bahagian - penghasilan biodiesel, rawatan air kumbahan, sudut keselamatan dan bilik kawalan yang diedarkan (DCS).

Dengan adanya loji sebegitu di kampus, para pelajar boleh didedahkan kepada pelbagai jenis teknologi yang digunakan seperti yang digunakan di dalam industri.


Ini dapat dilakukan mereka sewaktu kelas praktikal yang diadakan sepanjang tiga jam.

"Selain daripada belajar dekat bilik darjah, mereka akan datang sini untuk latihan 'hands-on' seperti praktikal macam mana nak mengoperasikan unit. Selain daripada itu, mereka juga akan melihat peralatan yang serupa dengan taraf industri. Ini boleh membantu mereka menyesuaikan diri dengan lebih mudah apabila mereka menyertai industri," tambah Encik Bong.

Selain itu, loji tersebut turut dilengkapi dengan teknologi realiti tambahan (AR).

Dengan AR, para pelajar hanya perlu mengimbas kod-kod yang tertera pada beberapa bahagian paip di loji itu untuk mengetahui tentang fungsinya.


Ia juga dapat dimanfaatkan para kakitangan yang bertugas di dalam loji itu kerana ia dapat membantu mereka memantau proses rawatan yang sedang dijalankan.

"Dahulu sebelum CPP ini dibina, kita ada juga kelas praktikal tapi praktikal kita ini menggunakan set yang lebih kecil. Kami mempunyai peralatan atas meja yang lebih kecil. Walaupun pelajar boleh belajar konsep itu tapi mereka tidak boleh membayangkan seluruh industri bagaimana peralatan itu digabungkan dalam loji sebesar ini," ujar Encik Bong yang sudah mengajar di situ sejak enam tahun yang lalu.

JANA KUASA UNTUK NDP 2024

Kesemua minyak terpakai yang digunakan di loji tersebut dibekalkan syarikat janakuasa, Alpha Biofuels.

Di bawah satu kontrak perkhidmatan selama setahun dengan institusi tersebut, TP dijangka berupaya menghasilkan sekitar 200 hingga 250 liter biodiesel setiap bulan.

Ia kemudian akan disalurkan bagi kegunaan pengindustrian termasuk maritim dan penerbangan.

"Perkara pertama yang kami akan lakukan dengan mereka ialah menerima biodiesel yang mereka buat, memasukkannya ke dalam stok kami dan menggunakannya untuk banyak aplikasi maritim kami yang lain, automotif, pembinaan dan yang paling menarik yang akan kami lakukan kali ini ialah menggunakan biodiesel ini untuk Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas, Alpha Biofuels, Encik Allan Lim.

BERI PELAJAR LEBIH KEYAKINAN UNTUK 'INTERNSHIP'

Para penuntut kursus Diploma dalam Kejuruteraan Kimia seperti Auni Batrisyia Mohamad Ardi Shah amat menghargai peluang mempelajari tentang loji tersebut dengan lebih dekat lagi.

Beliau yang akan menjalani latihan amali tahun hadapan berasa lebih yakin.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Ia memberi saya lebih keyakinan untuk mengoperasikan sistem-sistem ini dan saya harap bila saya keluar dalam dunia sebenar, saya boleh rasa lebih yakin," kata Auni.

Sebagai seorang anak muda juga, beliau berbangga kerana dapat memainkan peranan dan menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar.

"Saya berasa bangga kerana saya dapat menyumbang kepada kemampanan dan juga meluaskan pengetahuan saya macam bagaimana hendak menyelamatkan bumi dan bagaimana biodiesel dibuat," jelasnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Sentimen serupa turut dikongsi pelajar tahun ketiga, Akmal Hakim Fadhil.

Memandangkan tugas di industri itu lebih berisiko tinggi, aspek keselamatan juga dititikberatkan dan dapat diamalkan para penuntut dari sekolah lagi.

"Sudut latihan keselamatan yang disediakan oleh CPP telah berikan saya pengalaman yang penting yang perlu di tempat latihan saya dan juga DCS telah memberikan saya pengalaman yang seperti cara-cara untuk kawalkan peralatan dari jauh," kata Akmal.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Selain biodisel, loji itu juga berupaya menghasilkan beberapa produk lain.

Misalnya, air yang terhasil melalui proses mengubah sisa minyak masak itu akan dirawat dan kemudian disalurkan ke saluran air PUB.

Menurut Encik Bong, pasukan kajiannya juga sedang menguji bagaimana untuk menghasilkan produk-produk kosmetik dengan bahan 'glycerol' yang terhasil menerusi proses perubahan minyak masak terpakai itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan