Topeng oksigen dikeluarkan ketika pesawat Scoot mendarat di Taipei
Topeng oksigen dikeluarkan dalam sebuah penerbangan Scoot dari Singapura semasa ia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan di Taipei pada Ahad (24 Mac).
Topeng oksigen dikeluarkan dalam sebuah penerbangan Scoot dari Singapura semasa ia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan di Taipei. (Gambar: 张福麟/8WorldNews)
SINGAPURA: Topeng oksigen dikeluarkan dalam sebuah penerbangan Scoot dari Singapura semasa ia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan di Taipei pada Ahad (24 Mac).
Tiada kecederaan dilaporkan ke atas kesemua 178 penumpang dalam pesawat itu. Namun menurut syarikat penerbangan itu, seorang penumpang melaporkan bahawa bayinya muntah ketika pesawat berkenaan mendarat.
"Scoot mengesahkan bahawa topeng-topeng oksigen dikeluarkan semasa pesawat TR996 dari Singapura ke Taipei mendarat," menurut Scoot dalam jawapannya kepada pertanyaan Mediacorp.
"Pesawat itu tiba dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan pada sekitar 1.15 tengah hari waktu tempatan, dan kesemua penumpang pesawat TR996 telah turun dari pesawat tersebut."
Menurut syarikat penerbangan itu lagi: "Seorang penumpang wanita yang berada dalam penerbangan itu dengan bayinya melaporkan bahawa bayinya muntah ketika pesawat mendarat.
"Penumpang itu dan bayinya diberikan rawatan perubatan. Scoot juga mengikuti perkembangan keadaan bayi itu."
Menurut laman flightradar24, operasi pesawat Airbus A320-232 itu digantung buat sementara bagi siasatan dan ini menjejas para penumpang yang menempah penerbangan pulang ke Singapura.
Penerbangan TR977, yang pada awalnya dijadual berlepas pada pukul 2.00 petang waktu tempatan, kemudian ditangguh sehingga 12.45 pagi Isnin (25 Mac), menurut Scoot.
Sebuah pesawat gantian dikerahkan, bergantung kepada kelulusan kawal selia.
"Scoot meminta maaf di atas gangguan terhadap para pelanggan kami." Ia menambah bahawa para penumpang terjejas disediakan baucar makanan.
Penerbangan pulang pesawat TR997 dari Taipei ke Singapura tiba di tanah air pada pukul 5.39 pagi Isnin (25 Mac).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.