Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tonton semula filem-filem klasik Mat Sentol dalam resolusi 4K

Anggaran Waktu Membaca:
Tonton semula filem-filem klasik Mat Sentol dalam resolusi 4K

Gambar: Arkib Filem Asia (AFA)

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, orang ramai berpeluang menyaksikan filem-filem arahan legenda komedi 60an, Mat Sentol seperti 'Mat Magic (1971)' dan 'Dara-Kula (1972)' yang ditayangkan dalam resolusi tinggi '4K'.

Ia antara 12 filem Mat Sentol yang kualitinya dipulih semula dan ditayangkan menerusi siri 'Restrospective: Mat Sentol' oleh Arkib Filem Asia (AFA) dari 13 Mei hingga 5 Jun.

"AFA menyasarkan karya yang baru dipulih semula dan disertakan sari kata dalam retrospektif ini untuk mencapai penonton yang baru dan lebih luas, di samping membantu penonton memahami dan menghargai artis-artis terdahulu yang menyokong industri filem Singapura dan karya yang mencorak panggung Melayu dalam 1960an dan 1970an," kata juruarkib AFA, Encik Chew Tee Pao.


(Gambar: AFA)

Menurut AFA, proses pemulihan semula kualiti filem-filem Mat Sentol (nama sebenarnya Abdul Rasip Yahya) dimulakan sejak 2007 lagi.

Sebilangan besar daripada lebih 30 karya beliau yang diterbitkan antara 1960an hingga 1970an membentuk sebahagian daripada Koleksi Klasik Melayu Cathay-Keris.

Antara filem yang kualitinya baru dipulih semula dan selesai diproses tahun ini ialah 'Pak Pandir Modern' (1960) yang merupakan filem lakonan pertama Mat Sentol, 'Mat Magic' (1971) yang diarahkan bersama dengan ahli magis dan pelakon Hollywood, John Calvert dan 'Dara-Kula'.

(Gambar: AFA)

'Mat Magic' juga merupakan filem Melayu Singapura pertama yang ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam yang ke-50, tahun lalu.

'Dara-Kula' pula adalah percubaan Mat Sentol untuk berjinak-jinak dalam filem genre seram, berbanding komedi yang cukup sinonim dengan ikon yang berusia 89 tahun itu.

Proses pemulihan semula filem-filem tersebut memakan masa antara 285 jam hingga 2,650 jam dan perlu dilakukan di makmal pemulihan semula di Jepun dan Eropah memandangkan kemahiran sedemikian tidak ada di sini.

"Kerja-kerja pemulihan semula dilakukan mengguna cetakan pameran yang sedia ada, yang dipelihara AFA. Tanpa pemulihan semula ini, penonton, pengkaji filem dan generasi baru akan terlepas peluang untuk menikmati, menghargai dan mengkaji bahagian penting dalam sejarah perfileman dan kesenian Singapura," tambah Encik Chew.


(Gambar: AFA)

Usaha ini juga selaras dengan matlamat Pelan Induk Perpustakaan dan Arkib 2025 (LAB25) Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) untuk memberi inspirasi kepada penerokaan dan mereka kisah-kisah kolektif serta menerapkan pemahaman mendalam tentang pengalaman yang dikongsi sebagai satu negara dalam konteks Asia Tenggara.

"AFA berharap lebih ramai penonton akan dapat mempelajari lebih tentang warisan dan identiti Singapura menerusi karya agung dan komedi Mat Sentol," jelas Encik Chew.

Orang ramai masih boleh lagi mendapatkan tiket untuk menonton filem-filem:
1 Jun: Anak Dara (1966)
3 Jun: Mat Karong Guni (1971)
4 Jun: Mat Magic (1971)
5 Jun: Dara-Kula (1972)

Tiket-tiket boleh didapatkan secara online di laman: www.asianfilmarchive.org/event-calendar/retrospective-mat-sentol/

Seniman kelahiran Singapura, Mat Sentol yang kini menetap bersama keluarganya di Johor Bahru baru-baru ini menjadi antara 30 penerima bantuan kempen Sinar Kasih.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa