Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tokokan sukarela CPF naik 60%, cecah S$4.8 bilion pada 2021

Tokokan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) secara sukarela mencapai paras tinggi yang baru tahun lalu, melonjak 60 peratus kepada S$4.8 bilion.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tokokan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) secara sukarela mencapai paras tinggi yang baru tahun lalu, melonjak 60 peratus kepada S$4.8 bilion.

Secara keseluruhannya, 294,000 pencarum membuat tokokan dan pemindahan CPF ke dalam Akaun Khas atau Akaun Persaraan, dengan lebih separuh daripada mereka berbuat demikian buat julung-julung kalinya. Demikian menurut Lembaga CPF dalam laporan tahunannya yang dikeluarkan pada Isnin (4 Jul).

Pada 2020, sebanyak S$3 bilion tokokan dilakukan.

Akaun Khas adalah bagi pencarum berusia bawah 55 tahun manakala Akaun Persaraan adalah untuk mereka yang berusia atas 55 tahun.

Mulai 1 Januari 2022, CPF menaikkan had pelepasan cukai kepada S$8,000 bagi pencarum yang membuat tokokan kepada akaun mereka sendiri. Ini meningkat dari had S$7,000 sebelum ini. Mereka yang membuat tokokan untuk orang tersayang mereka pula boleh menikmat tambahan S$8,000 dalam pelepasan cukai.

Menurut laporan tahunan itu, baki pencarum CPF juga melebihi setengah trilion tahun lalu, berkembang sebanyak 9.4 peratus kepada S$505.7 bilion dari S$462.1 bilion pada 2020.

Jumlah faedah sebanyak S$18.3 bilion dibayar kepada pencarum pada 2021, meningkat dari S$16.8 bilion pada 2020.

Laporan CPF pada Isnin juga menunjukkan lebih banyak wang dikeluarkan oleh pencarum untuk membuat pembayaran bagi perumahan pada tahun lalu.

Secara keseluruhan, 996,000 pencarum menggunakan S$21.9 bilion simpanan CPF untuk keperluan perumahan pada 2021, meningkat berbanding S$17.3 bilion pada 2020.

Pada 2021, CPF mempunyai 4.1 juta pencarum, naik dua peratus dari tahun sebelumnya.

PERSARAAN

Tahun lalu juga menyaksikan sekitar 416,000 pencarum menerima bayaran persaraan CPF bulanan berjumlah sehingga S$2.2 bilion.

Lebih 85,000 daripada pencarum berkenaan berada di bawah skim CPF Hayat, yang menyediakan bayaran bulanan sepanjang hayat kepada pencarum apabila mererka berusia 65 tahun.

Pengerusi Lembaga CPF Yong Ying-I berkata Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan diperkenalkan pada 2021 untuk membantu warga emas yang belum mencapai jumlah persaraan asas untuk membuat lebih banyak simpanan bagi persaraan mereka.

Di bawah skim itu, tokokan tunai yang dibuat ke dalam akaun persaraan warga Singapura yang layak, berusia antara 55 hingga 70 tahun, dipadankan oleh Pemerintah sehingga mencecah had tahunan S$600.

Lebih 117,000 pencarum meraih manfaat daripada geran pemadanan berjumlah S$68 juta pada tahun lalu, kata Cik Yong.

Dalam laporannya, Lembaga CPF menambah bahawa 2021 "terus menjadi tahun yang mencabar buat rakyat Singapura".

Lembaga itu menyatakan ia membantu 8,496 pencarum dengan masalah kewangan dengan merujuk mereka kepada 40 agensi di bawah insiatif Protokol Pengurusan Rayuan Ditolak (RAMP).

Sementara itu, sekitar 775,000 tuntutan diluluskan tahun lalu di bawah Skim MediShield Hayat, meliputi S$1.2 juta bil hospital.

Jumlah urus niaga yang dibuat di laman CPF dan aplikasi mudah alih CPF juga meningkat hampir seganda kepada 171 juta pada 2021 dari 90 juta pada 2020.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan