Tokokan SkillsFuture bagi pekerja pertengahan kerjaya; lebih banyak sokongan bagi lulusan ITE
(Gambar fail: iStock)
Hasil tinjauan Melakar Hala Tuju Singapura didedahkan pada Jumaat (27 Okt), menyusuli libat urus selama 16 bulan dengan lebih 200,000 rakyat Singapura.
Laporan itu memberi tumpuan kepada dua anjakan utama bagi masyarakat Singapura: Pertama, untuk menimba ilmu melangkaui kecemerlangan akademik; dan kedua, setiap pekerjaan dihormati dan diberi ganjaran.
Antara pendekatan yang diketengahkan bagi mencapai matlamat ini adalah tokokan kredit SkillsFuture bagi rakyat matang dalam golongan pertengahan kerjaya untuk menimba kemahiran baharu dan menajamkan lagi kemahiran sedia ada.
Pada masa yang sama, lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) digalak mempertingkatkan diri lebih awal bagi merapatkan jurang antara gaji permulaan mereka dengan graduan universiti.
"Anjakan pemikiran sahaja tidak dapat membawa perubahan kepada masyarakat. Jenis pekerjaan dalam ekonomi kita, peringkat gaji bagi pekerjaan dan prospek kerjaya untuk berbilang industri juga mesti konsisten dengan apa yang kita hargai," menurut laporan itu.
BERI PERMULAAN BAIK KEPADA SETIAP KANAK-KANAK
"Permulaan yang baik" bukan sahaja tentang persiapan akademik, tetapi juga memupuk nilai-nilai betul dan cinta kepada pembelajaran dalam diri kanak-kanak". Ini termasuk melabur ke dalam pendidikan prasekolah, jelas laporan itu.
Rancangan kini dilaksanakan bagi memastikan 80 peratus kanak-kanak mempunyai tempat di prasekolah yang disokong pemerintah menjelang sekitar 2025.
Pada Oktober tahun lalu, Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) mengumumkan ia akan menyediakan lagi 22,000 tempat kosong bagi prasekolah sepenuh masa dengan lima pengendali utama.
Pada bulan yang sama, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli berkata para pendidik dalam prasekolah yang disokong pemerintah boleh menjangkakan gaji bulanan lebih tinggi sebanyak 10 hingga 30 peratus menjelang 2024.
"Perhatian khusus" akan diberikan untuk merapatkan jurang pembangunan awal bagi kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah. Jumlah murid prasekolah yang mendaftar dan hadir ke sekolah bagi kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun biasanya lebih rendah berbanding purata nasional, menurut laporan itu.
IKTIRAF PELBAGAI LALUAN PENDIDIKAN, KERJAYA
Di sekolah, menyokong lebih banyak laluan bermakna "mengimbangi semula keutamaan kita - dari menumpukan secara khusus kepada prestasi akademik dan kelayakan, kepada mendakapi keupayaan lebih meluas, kemahiran hidup dan beberapa ciri peribadi lain", dedah laporan itu.
Kekerapan peperiksaan sekolah bagi semua peringkat juga dikurangkan bagi memberi lebih banyak masa dan ruang untuk kanak-kanak membesar. Kemasukan berdasarkan kecenderungan dan kebolehan ke dalam universiti berautonomi juga sudah diperluaskan.
Pemerintah juga sedang meneroka bagaimana teknologi pembelajaran yang boleh disesuaikan, Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi analitik membolehkan kurikulum untuk dikhususkan lagi mengikut keperluan pelajar.
Ia akan meningkatkan sokongan bagi pelajar dengan keperluan pendidikan khas di sekolah aliran biasa dan pendidikan khas (SPED), serta di Institut Pengajian Tinggi (IHL).
Selain menyediakan lebih banyak sumber dan latihan bagi kakitangan dalam sekolah aliran utama dan IHL, pemerintah juga akan mengukuhkan pembangunan profesional pendidik di sekolah-sekolah SPED.
Bagi memperluaskan takrifan merit, lebih banyak penekanan akan diberikan kepada "pendidikan holistik". Dalam proses Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA), sokongan akan dipertingkat bagi pelajar dari latar belakang kurang bernasib baik.
Namun sekolah saja tidak dapat membantu pelajar mencapai aspirasi yang berubah-ubah atau mentakrifkan semula kejayaan.
Oleh itu, pemerintah akan menjalin lebih banyak kerjasama dengan sekolah, seperti bagi kegiatan luar darjah, bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada pelajar.
Rakan-rakan masyarakat dan para pemain industri juga digalak bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) dan institusi-institusi pendidikan lain berhubung modul pendidikan bagi pelajar biasa dan pelajar matang.
TIMBA KEMAHIRAN BAHARU
Mengiktiraf pelbagai pilihan kerjaya turut meliputi memberi layanan adil bagi semua jenis pekerjaan.
Inisiatif sedia ada seperti Workfare (Daya Kerja), Model Gaji Progresif dan pendapatan kelayakan tempatan membantu merapatkan jurang gaji, tetapi laporan itu menarik perhatian bahawa lebih banyak usaha boleh dilakukan bagi mengiktiraf pekerjaan bergaji rendah.
Ini termasuk juruelektrik dan tukang paip, serta banyak lagi dalam sektor jagaan kesihatan dan jagaan warga emas.
Inisiatif baharu akan dibangunkan bagi menyokong mereka yang mahu menceburi kerjaya sedemikian.
Akhir sekali, pemerintah juga akan mengkaji bagaimana untuk membantu lulusan ITE mengurangkan kos untuk mendapatkan diploma bagi menggalak mereka untuk menajamkan lagi kemahiran mereka dan mempertingkatkan diri lebih awal, dan memberi "pengiktirafan lebih besar" kepada mereka yang berbuat demikian.
Gaji permulaan median bagi graduan universiti adalah seganda lebih tinggi berbanding lulusan ITE dan 1.5 kali lebih tinggi berbanding lulusan politeknik.
SKILLSFUTURE "TUNGGAK UTAMA"
Sesi libat urus Melakar Hala Tuju Singapura mendapati ramai rakyat Singapura tidak hanya mahu meningkatkan kemahiran mereka, tetapi juga mahu "bertukar haluan dengan ketara" dalam pertengahan kerjaya mereka bagi merebut peluang baharu.
Bagaimanapun, mereka menarik perhatian kepada cabaran-cabaran yang dihadapi: Latihan "tidak sama rata" di tempat kerja, kekurangan subsidi, perlunya mengimbangi tanggungjawab peribadi dan rasa ragu-ragu untuk kembali ke sekolah.
SkillsFuture akan menjadi "tunggak utama kompak sosial kita", menurut laporan itu.
Bagi menyokong rakyat matang dalam golongan pertengahan kerjaya, kredit SkillsFuture mereka - yang akan digunakan bagi membiayai kursus mereka - akan mendapat tokokan "lebih besar".
Elaun latihan juga akan diberikan kepada rakyat Singapura ini sebagai bantuan kewangan apabila mereka mengambil cuti dari kerja bagi latihan sepenuh masa atau bagi tempoh lama.
Para majikan juga mesti mendakapi pembelajaran sepanjang hayat, seperti mengambil pemohon matang pada pertengahan kerjaya yang menukar kerjaya mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.