Tokokan Medisave S$278 juta bagi Generasi Perintis dan Merdeka
Warga tua Generasi Perintis dan Merdeka akan menerima tokokan MediSave pada Julai berjumlah S$278 juta, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (21 Jun).
SINGAPURA: Warga tua Generasi Perintis dan Merdeka akan menerima tokokan MediSave pada Julai berjumlah S$278 juta, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (21 Jun).
MediSave boleh digunakan untuk membayar premium MediShield Hayat dan pelan insurans lain yang diluluskan MediSave, serta perbelanjaan perubatan seperti kemasukan hospital, pembedahan harian dan rawatan pesakit luar.
Tokokan itu adalah tambahan kepada Baucar GST tahunan - tokokan MediSave bagi rakyat Singapura yang layak berusia 65 tahun dan ke atas.
GENERASI PERINTIS TERIMA TOKOKAN TAHUNAN LEBIH TINGGI
Mulai tahun ini, semua warga tua Generasi Perintis akan menerima tokokan tahunan MediSave lebih tinggi antara S$250 dengan S$900, naik daripada S$200 dengan S$800 sebelum ini, menurut MOF dan MOH.
Ia menambah bahawa golongan itu akan terus menerima tokokan tahunan sepanjang hayat mereka.
Selain itu, mereka yang berumur 82 tahun dan ke atas pada tahun 2021 yang mempunyai kondisi sedia ada yang serius, akan menerima tokokan tambahan antara S$50 dengan S$200 setiap tahun dari 2021 hingga 2025 untuk membantu mereka membayar premium MediShield Hayat yang lebih tinggi.
"Ini diumumkan oleh MOH pada 21 Disember 2020 sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan premium kekal dimampui oleh golongan Perintis kami yang secara amnya mempunyai simpanan MediSave yang lebih kecil berbanding warga Singapura yang lebih muda," jelas kedua-dua kementerian itu.

"Dengan peningkatan ini, warga tua Generasi Perintis berusia 87 tahun dan ke atas pada 2021 akan terus melihat premium MediShield Hayat mereka dibiayai sepenuhnya. Bagi warga tua Generasi Perintis yang lebih muda, sekitar dua pertiga premium MediShield Hayat mereka akan dibiayai," tambah MOF dan MOH.
Tokokan bagi warga tua Generasi Perintis akan bernilai sekitar S$182 juta tahun ini.
GENERASI MERDEKA
Warga tua Generasi Merdeka yang layak akan terus menerima tokokan MediSave S$200 setiap tahun sehingga 2023.
"Pakej (Generasi Merdeka), yang diperkenalkan pada 2019, menyokong warga tua (Generasi Merdeka) kita untuk kekal aktif dan sihat dan memberi mereka jaminan lebih baik terhadap kos jagaan kesihatan mereka pada usia lanjut. Ini adalah tahun ketiga warga tua (Generasi Merdeka) menerima tokokan MediSave," menurut kedua-dua kementerian itu.
Tokokan buat warga tua Generasi Merdeka berjumlah sekitar S$96 juta tahun ini.
Warga tua Generasi Perintis dan Generasi Merdeka yang layak akan menerima surat pada akhir bulan Jun yang memaklumkan mereka tentang perincian tokokan MediSave mereka untuk tahun 2021. Tokokan itu akan dimasukkan ke MediSave mereka pada Julai.
Surat itu juga akan memaklumkan mereka tentang faedah lain yang mereka layak terima di bawah pakej Generasi Perintis dan Generasi Merdeka.
Pakej Generasi Perintis diumumkan pada 2014 untuk memberi penghargaan kepada generasi awal Singapura. Rakyat Singapura yang lahir pada atau sebelum 31 Disember 1949 dan memperolehi kerakyatan sebelum hujung 1986 layak menerima pakej itu.
Pakej Generasi Merdeka diumumkan semasa ucapan Belanjawan 2019 dan ia bertujuan mengimbangi kos jagaan kesihatan bagi warga tua. Rakyat Singapura yang lahir antara 1 Januari 1950 hingga 31 Disember 1959 dan memperolehi kerakyatan sebelum hujung 1996 layak menerima pakej tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.